Skip to main content

Sejak tahun 2015, Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) terus menyalurkan bantuan kesihatan kepada pelarian, pemohon suaka dan komuniti migran tanpa dokumen di Malaysia. Dalam kalangan mereka, masyarakat Rohingya — populasi tanpa kerakyatan terbesar di dunia — hidup dalam keadaan penuh derita, sama ada melarikan diri daripada penindasan di Myanmar atau terperangkap di kem pelarian di Bangladesh.

Ramai sanggup mempertaruhkan nyawa merentasi Laut Andaman menaiki bot usang — sebahagiannya tidak pernah tiba ke daratan. Ada yang berdepan penolakan di laut, terdampar tanpa arah tuju. Di darat pula, perjalanan mereka tidak kurang bahaya; menyusuri hutan tebal, menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan kekejaman yang meninggalkan luka fizikal serta trauma yang mendalam.

 

A woman looking out the window

I wish I could make everyone understand that no one is choosing to leave Myanmar or Bangladesh by choice. No one wants to embark on those boat journeys in fear of our lives. We are solely fleeing persecution or containment, in search of freedom to live. What other options do we have?

Saya berharap semua orang dapat memahami bahawa tiada siapa yang memilih untuk meninggalkan Myanmar atau Bangladesh atas kehendak sendiri. Tiada siapa yang ingin menaiki bot dan meredah lautan sambil mempertaruhkan nyawa. Kami melarikan diri bukan kerana mahu, tetapi kerana terpaksa — daripada penindasan dan kehidupan terkurung — demi mencari kebebasan untuk hidup seperti manusia lain. Apakah pilihan lain yang kami ada?
Seorang sukarelawan MSF

Sehingga Mei 2025, terdapat lebih daripada 170,000 pelarian dan pemohon suaka dari Myanmar yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia. Daripada jumlah ini, lebih 110,000 merupakan masyarakat Rohingya, manakala selebihnya — lebih 60,000 orang — terdiri daripada kumpulan etnik lain yang turut melarikan diri daripada penindasan di Myanmar.

Berbeza dengan banyak negara lain, pelarian di Malaysia hidup di pinggir masyarakat — sering terperangkap dalam ketidaktentuan selama bertahun-tahun, menunggu berita penempatan semula ke negara ketiga.

Walaupun Malaysia membenarkan UNHCR mendaftarkan pelarian, negara ini bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 atau protokol tambahannya. Ketiadaan status sah ini menyebabkan mereka berdepan pelbagai sekatan dan cabaran besar untuk mendapatkan akses kepada rawatan kesihatan, pendidikan, serta peluang pekerjaan yang sah.

Hand holding infant

Kadar bayaran kesihatan bagi warga asing amat tinggi — khususnya bagi rawatan kehamilan. Sebagai contoh, kos bagi kelahiran biasa sahaja dianggarkan antara RM4,000 hingga RM5,000. © Annice Lyn

Mereka yang memiliki kad UNHCR memang layak menerima diskaun bagi perkhidmatan kesihatan, namun diskaun ini hanya terpakai kepada kadar warga asing — menjadikan kos rawatan masih terlalu tinggi dan sukar ditanggung.

Bagi mereka yang tidak berdaftar atau belum memiliki kad UNHCR, risiko yang dihadapi jauh lebih besar. Selain berdepan ancaman penangkapan dan tahanan sewenang-wenangnya semasa operasi imigresen, Surat Pekeliling Kesihatan 10/2001 daripada Kementerian Kesihatan turut mewajibkan penyedia perkhidmatan kesihatan melaporkan pendatang tanpa dokumen kepada pihak berkuasa. Keadaan ini menambah ketakutan dalam kalangan pelarian dan menyebabkan ramai menangguhkan rawatan — sehingga penyakit yang boleh dicegah menjadi semakin serius.

Sebagai contoh, meskipun vaksin kanak-kanak 6-dalam-1 (HEXA) disediakan secara percuma untuk semua, sebanyak 56% kanak-kanak berumur bawah lima tahun tetap mendapatkan rawatan di klinik Doctors Without Borders.

djeide
Saya perlukan rawatan untuk kecederaan saya, tetapi halangan kewangan membuatkan ia mustahil dicapai,” luah seorang pelarian dengan nada hampa. “Kami hanya mampu menunggu di rumah... tanpa rawatan, tanpa harapan.
Seorang pesakit MSF

Tindak balas Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF)

Bagi menangani pelbagai cabaran dalam akses kesihatan, Doctors Without Borders telah menjalankan pelbagai aktiviti di Pulau Pinang yang merangkumi rawatan kesihatan primer, perkhidmatan kesihatan mental, dan sokongan psikososial kepada pelarian serta pemohon suaka. Sebuah klinik tetap telah ditubuhkan di Butterworth pada tahun 2018 dan kini memberi rawatan kepada kira-kira 12,000 pesakit setiap tahun.

Selain itu, Doctors Without Borders turut mengendalikan klinik bergerak setiap minggu bagi membolehkan pelarian yang tinggal di kawasan terpencil sekitar Pulau Pinang mendapat akses kepada rawatan asas. Organisasi ini juga bekerjasama dengan hospital dan klinik tempatan untuk merujuk pesakit yang memerlukan rawatan pakar. Di samping itu, Doctors Without Borders turut menyediakan sokongan perubatan di dua Depot Tahanan Imigresen (DTI) serta menjalankan aktiviti pembinaan kapasiti di tiga DTI lain.

MSF doctor talking to patient

Dr. Sara Ruth, Pengurus Aktiviti Perubatan bagi misi Doctors Without Borders di Malaysia, sedang berbincang mengenai kes seorang pesakit bersama ahli pasukannya. © Annice Lyn

Selain menyediakan rawatan perubatan, Doctors Without Borders turut memperjuangkan perubahan dasar kesihatan bagi memperbaiki keadaan pelarian dan pemohon suaka. Usaha ini termasuk menyeru agar Surat Pekeliling Kesihatan 10/2001 dimansuhkan, mendesak agar pelarian yang terkandas di laut dibenarkan berlabuh dengan selamat, serta menggesa penamatan penahanan terhadap pelarian — khususnya kanak-kanak yang masih ditahan tanpa sebab munasabah dan individu yang berada dalam keadaan kesihatan lemah di pusat tahanan.

Doctors Without Borders juga bekerjasama rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan tempatan, organisasi berasaskan komuniti serta institusi kerajaan bagi merapatkan jurang akses kesihatan dan menggalakkan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan kesihatan yang boleh diakses oleh golongan pelarian.

Cabaran berterusan

Pelarian di Malaysia terus berdepan pelbagai halangan besar untuk mendapatkan akses kepada rawatan kesihatan, pekerjaan formal dan pendidikan. Ramai yang menangguhkan rawatan perubatan disebabkan oleh kos yang tinggi, kebimbangan terhadap risiko penangkapan serta kekangan bahasa. Isu asas yang paling ketara ialah ketiadaan status sah, yang menghalang mereka daripada benar-benar menjadi sebahagian daripada masyarakat serta menikmati kemudahan asas seperti warganegara lain.

Walaupun Doctors Without Borders diberi kebenaran untuk melawat Depot Tahanan Imigresen (DTI), usaha memastikan akses yang adil dan penyampaian perkhidmatan kesihatan berkualiti tetap menjadi cabaran — sebahagiannya akibat kekurangan sokongan penterjemahan.

Namun begitu, Doctors Without Borders kekal komited untuk memberikan perkhidmatan kesihatan dan memperjuangkan pembaharuan dasar bagi memperkukuh perlindungan serta kesejahteraan komuniti pelarian di negara ini.

Kisah berkaitan

Usaha kolektif membina laluan ke arah pemulihan maruah pelarian
Usaha kolektif membina laluan ke arah pemulihan maruah pelarian
Realiti yang kami saksikan setiap hari amat menyedihkan — seperti kisah Muhib, seorang sukarelawan Rohingya yang terselamat daripada pelayaran maut me...
“Tak ada yang ingin pergi dari Myanmar atau Bangladesh atas kemauan sendiri”
“Tak ada yang ingin pergi dari Myanmar atau Bangladesh atas kemauan sendiri”
Saya lahir di Bangladesh, meski keluarga saya berasal dari Myanmar. Ayah saya melarikan diri dari Myanmar pada 1992 untuk menghindari kekerasan dan pe...
Doctors Without Borders  mendesak ke arah polisi yang menjaga kesihatan dan maruah  pelarian
Doctors Without Borders mendesak ke arah polisi yang menjaga kesihatan dan maruah pelarian
Kuala Lumpur, Feb 6, 2024: Pertubuhan kemanusiaan perubatan antarabangsa Doctors Without Bordersmenyatakan kebimbangan serius terhadap laporan terbaru...