Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) bermula di Indonesia pada 1995 ketika membantu memenuhi keperluan perubatan susulan gempa kuat di Gunung Kerinci di Jambi, Sumatera Tengah. Antara 1995 hingga 2009, organisasi ini memberikan bantuan perubatan semasa kecemasan dan bencana alam di pelbagai provinsi di Indonesia, selain bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan projek berfokus HIV/AIDS dan tuberkulosis.
Pada 2015, MSF kembali ke Indonesia melalui Memorandum Persefahaman bersama Kementerian Kesihatan (MoH) untuk menumpukan kepada pembangunan kapasiti dalam kesihatan remaja. Selepas pandemik COVID-19 menular, MSF bergabung dengan MoH dalam memerangi COVID-19 dengan fokus utama kepada daerah tertentu di Jakarta dan Banten. Hari ini, organisasi ini masih berada di negara ini untuk membantu MoH dalam pelbagai aktiviti meliputi peningkatan kapasiti, penyediaan latihan, pendidikan kesihatan, penyediaan perkhidmatan kesihatan remaja, kesediaan dan tindak balas kecemasan, respon kepada COVID-19 dan lain-lain. Di Indonesia, organisasi ini juga dikenali sebagai Dokter Lintas Batas.
Garis Waktu: Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) di Indonesia
- 1995: MSF memulakan operasi di Indonesia ketika membantu memenuhi keperluan perubatan susulan gempa besar di Gunung Kerinci, Jambi. Antara 1995 hingga 2009, organisasi ini memberikan bantuan perubatan semasa kecemasan dan bencana alam di pelbagai provinsi di Indonesia dan bekerjasama dengan MoH untuk menjalankan projek berfokus HIV/AIDS dan tuberkulosis.
- 2015: MSF kembali untuk membantu pelarian dan masalah keracunan metanol serta bencana alam skala kecil lain. MSF berkolaborasi dengan Pusat Krisis Kementerian Kesihatan (MoH) dan pemerintah daerah Aceh untuk khidmat kecemasan dan bantuan dalam penyediaan kesihatan mental, serta kegiatan psikososial bagi pelarian Rohingya yang terdampar di Laut Andaman.
- 2016: MSF menangani keperluan pasca gempa bumi di Aceh; dan mengendalikan intervensi pendidikan psikososial di empat daerah di Kabupaten Pidie Jaya iaitu Bandar Baru, Pante Raja, Meuredu dan Tringgading dengan kerjasama pihak berkuasa kesihatan tempatan.
- 2017: Mengendalikan Latihan Pertolongan Cemas Psikologi (PFA) untuk 32 petugas kesihatan dan 11 Puskesmas, yang disahkan Kementerian Kesihatan Republik Indonesia dengan kerjasama Kantor Kesihatan Daerah Pidie Jaya sebagai sebahagian respon kepada gempa bumi Pidie Jaya.
- 2018: Mengendalikan beberapa siri latihan: 1) Latihan Kesihatan Reproduktif untuk guru dan siswa sekolah rendah di Kepulauan Seribu hasil kerjasama dengan Kantor Kesihatan Daerah DKI Jakarta, dan 2) Latihan keracunan metanol di tiga kota iaitu Jakarta, Yogyakarta dan Surabaya. Tahun ini, MSF turut memulakan projek kesihatan reproduktif remaja di Kecamatan Labuan dan Carita di daerah Banten. Sementara itu, petugas tempatan bertindak balas terhadap gempa bumi yang melanda Pulau Lombok pada Julai dan August, selain tiga bencana meliputi gempa tiga, tsunami dan liquefaksi melanda Palu di Sulawesi Tengah pada September. Pada Disember pula, berikutan letusan gunung berapi Krakatoa, tsunami melanda pantai Selat Sunda. Daerah Pandeglang, di mana MSF menjalankan projek kesihatan reproduktif remaja, juga terjejas teruk. Organisasi ini segera menggerakkan pasukan tindakan perubatan untuk mereka yang ditimpa bencana.
- 2019: MSF meneruskan projek kesihatan remaja di daerah Pandeglang, Provinsi Banten. Organisasi ini juga mengendalikan pasukan perubatan bergerak di komuniti yang terjejas akibat tsunami Selat Sunda yang berlaku pada Disember 2018.
- 2020: Projek kesihatan remaja dikendalikan MSF di provinsi Banten perlu dilanjutkan dalam MoU baharu bersama Kementerian Kesihatan. Dengan kehadiran pandemik COVID-19, organisasi ini bekerja dengan pihak berkuasa setempat di Banten dan Jakarta untuk melatih pekerja kesihatan, mempromosikan kesihatan, serta membantu petugas tempatan dalam pengesanan kontak dan pengawasan, serta pencegahan dan pengendalian jangkitan. Elemen baharu dalam MoU yang akan datang adalah untuk membantu Pusat Krisis MoH dalam pengembangan kapasiti berhubung kesiapsiagaan dan maklum balas kecemasan.
Projek Kesihatan Remaja di Indonesia
Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) kini menjalankan Projek Kesihatan Remaja di Indonesia, menumpukan kepada penyediaan pendidikan kesihatan reproduksi untuk anak-anak dan guru sekolah, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan. Pembabitan meliputi penyelarasan strategi untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan pembiakan diyakini, yang disesuaikan dengan keperluan khusus orang muda dan remaja.
Di Banten, projek ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pilihan penjagaan kesihatan dalam kalangan remaja, serta meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada. Ini termasuk menggalakkan fasiliti kesihatan tempatan meningkatkan perkhidmatan mereka seperti mewujudkan Perkhidmatan Kesihatan Mesra Remaja (AFHS).
Kisah dari lapangan
MSF Indonesia: Bekerja di sekolah rintis dan kemudahan kesihatan untuk mempromosikan kesihatan remaja
Bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan dan akses kepada penjagaan kesihatan anak muda Indonesia, Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) memulakan program promosi dan pendidikan kesihatan remaja untuk sekolah rintis di Provinsi Banten. Program berasaskan sekolah ini dijalankan di lima sekolah menengah di Labuan dan Carita. Ia sebahagian komponen projek kesihatan remaja MSF yang meluas, selain pengaktifan kembali program promosi kesihatan sedia ada oleh kerajaan Indonesia untuk golongan dewasa muda, yang dilaksanakan sejak 1950-an lagi. MSF kini menyokong program promosi kesihatan remaja ini, termasuk inisiatif pemekaan pendidikan kesihatan, bekerjasama dengan sekolah setempat dan kemudahan kesihatan awam.
Ai. Uniati, pengetua sekolah menengah SMP N 1 Carita berkata, dengan memperkenalkan program kesihatan remaja MSF di sekolahnya, dia menyedari bahawa pelajar menjadi lebih peka dengan kesihatan mereka dan menemui pegawai kesihatan juga menjadi semakin biasa.
“Sebelum ini, pelajar lebih suka pulang kerana tidak ada ruang khusus untuk promosi kesihatan di sekolah. Kami biarkan mereka. Pelajar juga takut untuk memeriksa kesihatan mereka kerana menyangka akan disuntik. Tetapi dengan program kesihatan remaja peringkat sekolah dikendalikan MSF, pelajar kini mempunyai tempat untuk mengetahui lebih banyak mengenai kesihatan mereka dan siapa harus didekati. Kami juga merekodkan keadaan kesihatan pelajar dan merujuknya jika simptomnya serius,” kata Risna Eliasari, seorang guru dan penyelaras program kesihatan SMP N 1 Carita.
Selepas pengaktifan semula program kesihatan remaja sekolah di SMP N 1 Carita, pelajar kini tahu ke mana mereka harus pergi jika mempunyai masalah kesihatan. © Eka Nickmatulhuda
Sehingga 2017, hampir satu pertiga penduduk Indonesia atau lebih 65 juta adalah golongan muda, berusia antara 10 hingga 24 tahun. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kumpulan ini sangat rentan dan berdepan kekangan dari segi akses serta penggunaan perkhidmatan kesihatan, termasuk kekangan sosial.
Impak signifikan
Hingga kini, projek kesihatan remaja Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) di provinsi Banten menyediakan pendidikan kesihatan kepada 2,656 remaja; menyokong 5,349 perundingan penjagaan kesihatan remaja di dua kemudahan kesihatan; dan menjalankan 62 sesi kaunseling. Program promosi dan pendidikan kesihatan remaja di sekolah pula memberi sumbangan besar untuk mendorong anak muda Indonesia di Labuan dan Carita supaya lebih peka terhadap keperluan kesihatan mereka dan cara mengakses perkhidmatan kesihatan.
"Menerima sokongan daripada MSF, khususnya berkaitan kesihatan remaja sangat membantu," kata Endang Yuningsih, penyelaras program PKPR di Puskesmas atau pusat kesihatan masyarakat di Labuan. Menurutnya, jumlah remaja yang kini mengunjungi Puskesmas meningkat.
Selain itu, program ini juga membawa perubahan tingkah laku positif. Baihaki, pengetua sekolah menengah SMP N 1 di Labuan mengatakan ketika beliau pertama kali datang ke sekolah itu, ia sangat kotor dengan sampah di sekitar kampus. Program promosi kesihatan remaja MSF turut memberi fokus kepada persekitaran yang bersih untuk mencegah penyebaran penyakit.
Dengan campur tangan guru dan MSF, pelajar lebih peka terhadap persekitaran mereka. Kini, terdapat pasukan pelaksanaan kesihatan sekolah yang sangat aktif terdiri 11 orang pelajar yang memastikan kampus itu bersih. Terdapat juga dasar sekolah di mana pelajar harus membawa peralatan makan mereka sendiri sehingga tidak perlu membeli makanan dengan pembungkusan yang tidak perlu. Mereka juga menyerahkan sekurang-kurangnya satu sampah sebagai tiket untuk melepasi pintu pagar sekolah. Semua ini bukan hanya membantu menjadikan kampus bersih, tetapi juga meningkatkan kebersihan diri pelajar.
Mahesa S.P. membentangkan hasil perbincangan kumpulannya selepas menonton filem pendek mengenai perkahwinan pada awal usia. Mahesa dan 10 rakannya adalah anggota pasukan pelaksanaan kesihatan sekolah SMP N 1 di Labuan. Mereka mendapat pendidikan kesihatan daripada penganjur kesihatan masyarakat MSF supaya dapat menyampaikan pula mesej kesihatan kepada rakan sebaya. © Eka Nickmatulhuda
Program promosi kesihatan berterusan
Untuk memastikan kejayaan program berterusan, Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) bekerjasama dengan staf Puskesmas dengan memberi panduan, latihan dan bimbingan kepada guru dan kader. Program ini juga diawasi pihak berkuasa daerah.
Sementara itu, pasukan pelaksana kesihatan sekolah pula terdiri pelajar yang mewakili majlis pelajar bersama anggota ahli Palang Merah, guru serta ibu bapa sebagai anggota lembaga, manakala pengetua sebagai ketua, dan ketua kecamatan serta ketua klinik kesihatan masyarakat sebagai penasihat. Kerjasama antara pihak berkepentingan ini terikat dengan dekri.
“Dekri ini menjadikan semua pihak - dari peringkat sekolah hinggalah pentadbiran kecamatan – mempunyai hak ke atas program ini. Semua orang mengetahui fungsi masing-masing dan bekerjasama untuk menjalankan serta memelihara program ini,” kata Baihaki.
Melihat kejayaan program ini, Puskesmas itu kini berusaha mereplikasi model MSF mengenai promosi kesihatan remaja di sekolah. Menurut Abdurrachman Fauzi, penyelaras kesihatan sekolah dari Puskesmas Labuan, mereka kini berusaha menjayakannya dan membantu 33 program seumpamanya di sekolah rendah Labuan.
Sementara itu, di Jakarta, MSF bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan tempatan untuk menggalakkan budaya mencari kesihatan, terutama dalam kalangan orang muda di perkampungan nelayan dan bandar di daerah tertentu di Jakarta.
Tindakan Bencana
Sekiranya berlaku gempa bumi lebih besar, banjir, tsunami dan kecemasan lain, Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) membantu Pusat Krisis MoH dalam penilaian awal kesihatan, memberikan pertolongan cemas dan sokongan psikologi termasuk latihan, menyumbang kit kebersihan, dan lain-lain.
Gempa bumi dan tsunami adalah endemik di Indonesia: liquefaksi banjir lumpur, fenomena di mana tanah kehilangan kekuatan atau kepadatan dan berubah menjadi lumpur, serta tanah runtuh menyebabkan kerosakan dan kehilangan nyawa yang besar di kawasan terjejas. Apabila ini berlaku, akses kepada rawatan kesihatan segera sangat penting. MSF menyediakan rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan mental kepada masyarakat yang dilanda bencana untuk menyelamatkan nyawa.
Pasukan MSF di kampung terpencil di Kabupaten Mamuju, Sulawesi Barat, selepas gempa melanda Majene pada 14 Januari 2021. Sekurang-kurangnya 77 orang mati, lebih 820 cedera dan sekitar 15,000 meninggalkan rumah mereka setelah gempa besar bermagnitud 6.2 itu. Ada berlindung di pergunungan, manakala lain pergi ke pusat pemindahan yang sempit. © Tommy Onsent / MSF
Pasukan kami dibarisi pelbagai kepakaran seperti doktor perubatan, jururawat, bidan, ahli psikologi, logistik, pakar air dan sanitasi serta banyak lagi. Bergantung jenis dan kesan bencana, pasukan tindak balas boleh jadi kecil atau sangat besar, yang mana mereka ini akan memberi pelbagai bantuan berdasarkan situasi spesifik di daerah terkena bencana.
Keutamaan bagi pasukan adalah memberi sokongan kepada pusat kesihatan di daerah terpencil dan sukar dijangkau bagi memastikan penyediaan penjagaan kesihatan primer dan pencegahan wabak seperti cirit-birit, penyakit kulit dan campak.
Disebabkan bangunan Puskesmas (pusat kesihatan masyarakat) setempat rosak akibat gempa, orang ramai tidak menerima akses perkhidmatan kesihatan seperti biasa. Rakan sekerja MSF bekerjasama dengan pejabat kesihatan setempat untuk menjalankan khidmat perawatan di satu kem IDP, Kecamatan Dolo Selatan, Kabupaten Sigi di Sulawesi Selatan.
Tindakan terhadap COVID-19
Pada Mac 2020, kerajaan Indonesia mengisytiharkan COVID-19 sebagai darurat kesihatan awam kebangsaan. Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) perlu menilai semula beberapa elemen dalam projek kesihatan remaja di Banten untuk memberi ruang kepada usaha membantu persiapan kemudahan kesihatan tempatan menangani pandemik itu, termasuk penyusunan protokol kesihatan COVID -19 dan penyediaan bahan pendidikan di kemudahan tersebut.
Fokus di Banten untuk memperkemas koordinasi tindak balas COVID-19 di peringkat jawatankuasa khas kecamatan, 19 pasukan petugas desa dan pusat kesihatan masyarakat; meningkatkan peranan sektoral (pendidikan, agama, kawasan pelancongan) dan pelbagai komuniti sebagai tindak balas terhadap COVID-19; menyedikan bantuan teknikal dan peningkatan keupayaan lain untuk kader kesihatan serta kumpulan belia untuk pendidikan kesedaran kepada masyarakat; penyediaan langsung aktiviti kesedaran awam COVID-19 untuk pelbagai kumpulan masyarakat, baik secara bersemuka atau melalui media digital; menyokong mitigasi kes COVID-19; perkhidmatan kaunseling dan pendidikan psikososial untuk pesakit dan keluarga serta pelan pembangunan MHPSS dalam tindakan COVID-19 di kecamatan Labuan dan Carita, Kabupaten Pandeglang.
Di Jakarta, MSF mengadakan latihan berkaitan COVID-19 untuk kader kesihatan yang merangkumi promosi kesihatan, pemantauan, bimbingan dan tindakan susulan. Kami juga menyediakan sokongan kesihatan mental dan psikososial (MHPSS).
Kisah tindakan terhadap COVID-19
Indonesia: Memerangi COVID-19 dengan pendidikan dan pemerkasaan
Pada Jun 2020, kebimbangan besar mula tersebar dalam masyarakat Indonesia ketika kes COVID-19 mula dilaporkan pihak berkuasa kesihatan. Khabar angin, mitos dan berita palsu semakin meningkat. Pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa dihujani pertanyaan daripada anggota masyarakat yang merayu kepada fakta jelas mengenai COVID-19.
"Kami menerima banyak maklumat," kata Muchtar Lufti, ketua unit komuniti Rukun Warga 5 (RW5), sebuah sub-divisi desa Kalibata di Jakarta Selatan. "Sebilangannya tepat, tetapi ada juga boleh dijelaskan sebagai berita palsu. Ia sangat sukar untuk disaring dan orang ramai bingung."
Terlalu banyak maklumat datang daripada sumber yang terlalu banyak - media sosial, kumpulan sembang dan laporan berita di TV, radio serta media cetak. Keadaan bertambah buruk ketika desa Kalibata, di kecamatan Pancoran, diisytiharkan sebagai zon merah COVID-19.
“Pada masa itu, orang marah dan memprotes. Mereka ingin tahu kenapa mereka disurun tinggal di rumah. Saya tidak tahu bagaimana menjawabnya, melainkan berkata bahawa pemerintah yang meminta kita berbuat begitu,” kata Halimah, anggota pasukan petugas COVID-19 masyarakat.
Pendidikan, latihan dan pemerkasaan bersama MSF
Petugas Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) menilai keadaan di kampung Kalibata. Pasukan ini mengenal pasti kekeliruan dan ketakutan begitu berleluasa di Jakarta Selatan serta sukar bagi kebanyakan orang untuk mencari sumber maklumat COVID-19 yang dipercayai.
"Kami dapati pusat kesihatan masyarakat atau puskesmas, sangat mengharapkan sokongan kami," kata Dr Dirna Mayasari, timbalan koordinator perubatan MSF di Indonesia. “Kami perlu membantu mereka mencari jalan untuk mendidik dan memaklumkan masyarakat dengan cepat serta dalam skala besar. Rasa takut itu sama bahayanya dengan COVID-19."
Puskesmas mengundang pemimpin masyarakat, pemimpin agama dan mereka yang terlatih untuk melatih orang lain bagi menyuarakan kebimbangan mereka dalam pertemuan bersama MSF.
“Masyarakat perlukan nasihat jelas bagaimana untuk melindungi diri daripada COVID-19. Tetapi mereka juga mahu bercakap. Semua maklumat yang mereka terima hanyalah bersifat komunikasi sehala,” kata Mayasari. “Masyarakat inginkan peluang untuk mengajukan pertanyaan, membincangkan kebimbangan mereka dan menjelaskan kaedah terbaik untuk mencegah virus baharu ini. Mereka juga ingin berkongsi cara menyebarkan maklumat dalam komuniti mereka." Jadi, MSF memutuskan untuk membawa maklumat kepada mereka dan mula mengadakan latihan bersemuka untuk ketua isi rumah yang membentuk unit komuniti RW5.
Di venue latihan, petugas MSF menyiapkan bahan visual termasuk poster COVID-19 berkaitan peraturan mengadakan pertemuan pada pintu venue terbabit. Semasa pengenalan, fasilitator mengingatkan peserta tentang peraturan ini dan menggalakkan mereka mematuhi langkah-langkah tersebut. © Cici Riesmasari / MSF
MSF bermula dengan melatih wakil daripada 10 isi rumah di RW5. Sesi latihan dihadiri 10 orang dan berlangsung dua jam. Mereka kemudian memperluaskan latihan merangkumi kejiranan lain di kawasan itu. Antara Jun hingga Julai, MSF berjaya meliputi lebih 150 orang.
“Kami percaya pemerkasaan komuniti adalah kunci dalam menangani wabak ini. Jika masyarakat dalam komuniti kita kekal sihat, mereka tidak perlu pergi ke kemudahan kesihatan," kata Mayasari.
Sesi itu dikendalikan secara interaktif – mengalakkan perbincangan, menggunakan visual dan permainan peranan. "Ia ruang belajar yang selamat," kata Halimah. "Seronok belajar dengan menggunakan kad imbas, manakala doktor dan kakitangan perubatan lain menyampaikan maklumat dengan cara mudah. Sekarang, kami faham bagaimana virus itu tersebar, apa harus dilakukan jika terdapat kes positif COVID-19 dan langkah yang setiap daripada kita boleh lakukan untuk melindungi diri masing-masing. Sekarang orang mula keluar kerana sekatan pergerakan dilonggarkan, kita dapat lihat kebanyakan mereka memakai pelitup muka, dan mereka berusaha menjarakkan diri antara satu sama lain.
Seorang peserta cuba menentukan aliran kad imbas yang betul mengenai penyebaran virus COVID-19. Latihan COVID-19 dikendalikan petugas perubatan MSF dan dihadiri oleh remaja di Kecamatan Kalibata, Desa Kalibata di Jakarta Selatan, Indonesia. © Sania Elizabeth / MSF
Mengatasi stigma COVID-19
Sesi pendidikan kesihatan Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) menekankan stigma yang wujud terhadap mereka yang dijangkiti COVID-19 memburukkan keadaan, contohnya menyebabkan masyarakat enggan menjalani ujian COVID-19 percuma yang disediakan oleh puskesmas.
Namun, sejak sesi latihan yang mendapat kerjasama MSF dan perkongsian maklumat dimulakan, pemimpin masyarakat melihat stigma ke atas mereka yang dijangkiti virus itu berkurang dalam kejiranan mereka. Halimah turut menyedari perbezaannya, “Saya dapat merasakan ada perubahan dalam tingkah laku masyarakat kita. Dengan pengetahuan baharu kami mengenai COVID-19, orang yang takutkan penyakit ini berkurang, mereka mematuhi langkah keselamatan dan tidak lagi mewujudkan stigma terhadap mereka yang jatuh sakit."
Selepas beberapa sesi latihan MSF, seorang pegawai dari puskesmas memberitahu MSF bahawa jumlah orang yang disaring semakin meningkat.