Skip to main content

Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) mula beroperasi di Filipina pada 1984. Sejak itu, kami bergerak ke Luzon, Visayas dan Mindanao menangani tuberkulosis, HIV/AIDS, serta memberi tindak balas bencana dan COVID-19. 

Garis Masa: Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) di Filipina

  • 1984: Projek awal di Filipina untuk memberi bantuan perubatan sebagai tindak balas kepada keperluan kesihatan disebabkan kecemasan dan bencana alam. 
  • 1989 hingga 1995: Projek kawalan tuberkulosis dilancarkan di Davao City.  
  • 1992: Projek Metro Manila menawarkan bantuan perubatan, psikososial dan sosio-undang-undang kepada anak jalanan.
  • 1996 hingga 1999: Kami melancarkan projek pencegahan dan kawalan STI/HIV/AIDS di Davao City.
  • 1998: Kami memberikan sokongan berterusan untuk projek penjagaan kesihatan bagi anak jalanan, Wat San dan projek kerjasama farmasi. 
  • Julai 2000: Kami mula memberi bantuan kepada penduduk yang terpinggir akibat konflik antara pemerintah Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). 
  • 2012: Dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, klinik bergerak menyediakan perkhidmatan di daerah dilanda taufan di Cagayan de Oro dan Iligan City. 
  • 2013: MSF menyediakan bantuan pasca bencana taufan Haiyan. 
  • 2015: Usahasama dimeterai bersama Jabatan Kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif kepada penduduk di kawasan setinggan di Manila. 
In Tondo, Manila, MSF worked with local NGO Likhaan. This photo was taken in 2019, before the pandemic. ©Melanie Wenger

Petugas MSF bekerja bersama NGO tempatan, Likhaan di Tondo, Manila. Gambar ini dirakam pada 2019, sebelum pandemik. © Melanie Wenger 

  • Oktober 2016: Kami mula bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan Likhaan, yang menawarkan perkhidmatan dan penjagaan kesihatan seksual serta reproduktif bersepadu di Manila.  
  • Oktober 2017: Kami mula memberi sokongan kepada Jabatan Kesihatan di kawasan pasca konflik Bandar Marawi. 
  • 2018: Kami menyediakan sekitar 18,000 konsultasi, termasuk lebih 12,000 mengenai kontrasepsi, rawatan perubatan untuk 65 orang yang terselamat daripada keganasan seksual dan 1,700 konsultasi pra serta pasca kelahiran. 
  • 2020: Pasukan membantu aktiviti pengesanan kontak dalam masyarakat serta pelaksanaan pendekatan IPC di kemudahan kesihatan yang menyediakan rawatan kepada pesakit COVID-19. 
  • Jun hingga Oktober 2020: Kami mula membantu Hospital San Lazaro di Manila dalam aspek sumber manusia, PPE, kelengkapan biomedik dan farmasi.
  • Julai 2020: Pusat maklumat mudah alih COVID-19 menyampaikan mesej mempromosikan kesihatan kepada populasi rentan di Marawi. Pasukan ini melatih pasukan kesihatan tempatan yang bertanggungjawab dalam pengawasan COVID-19.
  • November 2020: Dua taufan membadai Filipina berturut-turut. Kami menjalankan latihan pencegahan dan kawalan jangkitan (IPC) berkaitan COVID-19, selain menyumbang kelengkapan pelindung diri (PPE) untuk mereka yang berada di pusat pemindahan.
  • Disember 2020: Selepas lima tahun, segala aktivitidi Lila Clinic diserahkan kepada Likhaan.

 

Menyokong perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif di kawasan setinggan di Manila

Pada 2015, kerajaan Filipina meningkatkan usaha memerangi barah serviks, mengutamakan wanita di wilayah termiskin di negara ini. Penilaian oleh Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) mendapati perlunya kepada penjagaan kesihatan seksual dan reproduktif di kawasan setinggan bandar di Tondo di ibu kota Manila. 

Pada 2016, kami melancarkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan tempatan Likhaan, untuk menyokong klinik yang menyediakan pemeriksaan untuk kanser serviks dan krioterapi, bersama kesihatan seksual dan perkhidmatan perancangan keluarga yang lain. Pasukan kami memberikan maklumat mengenai hal kesihatan seksual seperti jangkitan kelamin, serta konsultasi dan rawatan percuma. 

Antara 2016 dan 2020, hampir 12,000 wanita disaring termasuk 6,400 yang disaring buat pertama kali. Dengan bantuan Manila City Health, projek itu melancarkan pusingan pertama vaksinasi pada Februari 2017. Lebih 25,000 gadis berusia sembilan hingga 13 tahun menerima vaksin tersebut. 

Pada 2019, projek ini sudah menyediakan bantuan perubatan dalam bentuk 35,600 perundingan pesakit luar dan 1,120 perundingan antinatal. Pasukan juga menjalankan 15,049 sesi perancangan keluarga dengan 4,352 wanita disaring. 

Selama lima tahun, projek ini menyokong populasi San Andres dan Tondo, dua komuniti paling padat penduduk dan miskin di Manila. Pada akhir 2020, aktiviti tersebut diserahkan kepada Likhaan. 

A session on sexual violence level in the Lila Clinic, Manila. ©Melanie Wenger

Sesi berkenaan tahap keganasan seksual di Lila Clinic, Manila. © Melanie Wenger 

Kisah pesakit: Menyelamatkan nyawa halimunan 

"Kita melihat mereka di televisyen, mati pada usia muda kerana barah rahim," jelas Mary Jane. 

Kerajaan mempertingkatkan usahanya untuk memerangi barah serviks di luar bandar, tetapi Tondo secara teknikal berada di Manila, pusat ekonomi negara. Pada dasarnya, Mary Jane adalah halimunan. 

Mary Jane menghantar anak perempuannya bersama anak saudaranya untuk divaksin. Memandangkan mereka sedar tentang penyakit yang membawa maut itu, mereka tahu bahawasanya imunisasi, amat penting walaupun menakutkan. 

Kali pertama, anak saudara Mary Jane berkata, dia sedikit gugup. "Saya tidak melihat jarum. Saya melihat ibu saya." 

Menyediakan penjagaan kesihatan utama selepas pengepungan Marawi 

Pada Mei 2017, kumpulan berkaitan IS mengepung kota Marawi, di bahagian selatan negara itu. Konflik meletus antara tentera Filipina dan kumpulan terbabit. Pengepungan berlarutan lima bulan, dengan sekitar 370,000 penduduk tempatan terpaksa meninggalkan rumah mereka. 

 Selepas pengepungan, Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) memastikan mereka yang terpaksa meninggalkan kediaman itu menerima akses air bersih dan percuma, supaya aspek kebersihan yang baik dapat dipastikan untuk mencegah wabak penyakit. Kaunselor kesihatan mental menganjurkan aktiviti psikososial bagi mereka yang menghadapi kejutan selepas bebas daripada keganasan. Tekanan juga mempengaruhi kanak-kanak, dan sesi terapi permainan diadakan supaya mereka kembali merasakan diri sebagai kanak-kanak.

Supporting mental health after the Marawi siege ©Melanie Wenger

Menyokong kesihatan mental selepas pengepungan Marawi © Melanie Wenger 

Sejak berakhirnya pengepungan pada Oktober 2017, wabak campak, denggi dan polio menular. Sejurus selesai pengepungan, pasukan kami mula menyediakan sumber tenaga manusia dan bekalan perubatan di bahagian paling ramai penghuni pasca konflik Marawi. Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières (MSF) merawat 2,300 pesakit antara tempoh antara lewat Oktober hingga akhir Disember 2018. 

Lebih tiga tahun kemudian, sekitar 70,000 terus hidup dalam keadaan teruk di kawasan perlindungan sementara, dengan 50,000 lagi dianggarkan tinggal di rumah anggota keluarga. 

Kami kini menyokong tiga pusat kesihatan di daerah ini, menyediakan penjagaan kesihatan mental, merawat penyakit tidak berjangkit dan memberikan ubat percuma. 

Primary healthcare in Marawi ©Veejay Villafranca/MSF

Penjagaan kesihatan utama di Marawi © Veejay Villafranca/MSF

Kisah pesakit: Terpinggir

Sobaida Comadug, 60, menghabiskan keseluruhan hayatnya di Marawi. Dia menggambarkan cabaran harian dihadapi: kekurangan air; tempat perlindungan sementara jauh daripada pasar; makanan mahal. Semua faktor ini mendorong pengambilan makanan dalam bentuk sedia dimakan, sedangkan doktor mengesyorkan makanan sihat untuk menyokong rawatan bagi penyakit tidak berjangkit. 

"Lebih sukar untuk memasak makanan sihat. Kami jauh daripada penjual buah-buahan serta sayur-sayuran, dan walaupun kami memilikinya, kami tidak mempunyai air bersih untuk mencucinya," kata Sobaida.

Pasukan perubatan tiba sehari selepas Taufan Haiyan

Pada 2013, Taufan Haiyan - satu daripada taufan terkuat pernah direkodkan - menyebabkan lebih 6,300 kematian dan empat juta lagi kehilangan tempat tinggal di Filipina. Infrastruktur penting rosak atau musnah, bekalan kecemasan dihanyutkan. Keperluan untuk perubatan sangat besar dan risiko wabak penyakit berjangkit juga tinggi.

A health worker treats a paediatric patient. ©MSF

Seorang petugas kesihatan merawat pesakit pediatrik. © MSF

Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières berjaya menghantar pasukan ke kawasan terjejas dalam masa sehari selepas taufan membadai. 

Usaha bantuan merangkumi 11,624 penyertaan pembedahan; 29,188 vaksinasi untuk tetanus, campak, polio dan hepatitis; 27,044 sesi penjagaan kesihatan mental dan/atau kaunseling; 2,445 kelahiran bayi; klinik bergerak di 133 lokasi berbeza; pembinaan satu hospital separa tetap; pemulihan tujuh hospital; pengedaran 71,979 kit bantuan; pek makanan untuk 50,000 orang; dan pengagihan 14,473,500 liter air. 

Secara keseluruhan, kami menghantar 1,855 tan kargo dan mengerahkan hampir 800 pekerja bantuan ke negara ini.

Kisah pesakit: Hilang segalanya

"Ketika taufan melanda bandar kami, kami terpaksa berlindung di rumah orang tua saya," kata ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Niño Padernos. "Angin begitu kuat sehingga menerbangkan bumbung rumah. Niño tercampak dalam air. Kita tidak boleh menyelimuti atau mengeringkannya kerana semua barang kita basah. Kami tidak mempunyai apa-apa, kami kehilangan segalanya. " 

Taufan Haiyan mencetus malapetaka di Guiuan, sebuah bandar menempatkan 45,000 penduduk di timur pulau Samar. Lebih seminggu selepas ribut, Niño dan keluarganya tinggal di rumah sementara yang dibina menggunakan kayu patah sisa daripada kediaman mereka yang musnah. 

"Dua hari lalu dia demam. Ia tidak sembuh," kata ibu Niño. "Saya sangat risau. Tidak ada pusat kesihatan percuma di kawasan bandar kami; ia musnah. Kami bertanya di mana boleh bawa anak kami. Kami tidak mempunyai wang untuk rawatannya dan dia satu-satunya anak kami. Kami diberitahu untuk datang ke Guiuan. Mereka mengatakan MSF memberi rawatan percuma dan dapat membantu kami." Mereka bergerak dari bandar Buabua, satu jam setengah perjalanan menaiki motosikal dari bandar Guiuan. 

Niño dimasukkan ke hospital sementara MSF di Guiuan, di mana dia dirawat. 

Kisah dari lapangan: Selepas ribut 

Sepuluh hari selepas taufan melanda, Penyelaras Kecemasan Caroline Seguin berkongsi cerita mengenai cabaran besar dari segi logistik untuk membawa bantuan kecemasan. 

Bringing services and supplies to distant towns ©MSF

Membawa khidmat dan bekalan ke bandar yang jauh © MSF 

"Kami berjaya membawa lebih 150 kakitangan dan ratusan tan bekalan ke negara ini. Keperluan penjagaan kesihatan sangat penting, terutama dengan keadaan hidup yang memburukkan lagi risiko jangkitan saluran pernafasan, radang paru-paru dan penyakit bawaan air. Di kebanyakan tempat kami bertugas, sistem kesihatan teruk terjejas dan fokus kami untuk memulihkan perkhidmatan kesihatan primer serta hospital yang berkualiti. Di Guiuan, khemah didirikan sebagai hospital di premis asal hospital yang rosak. Di Tacloban, sebuah hospital menggunakan khemah gelembung angin akan dibangunkan dan menyediakan semua perkhidmatan termasuk bilik kecemasan, jabatan pesakit dalam dan bilik pembedahan. Pasukan kami akan segera menubuhkan unit bersalin, obstetrik dan ginekologi. Keperluan untuk perkhidmatan kesihatan mental amat mendesak. Ia sangat penting dalam tindak balas kami, dan mudah dilaksanakan berbanding perkhidmatan lain yang lebih mencabar dari segi logistik. " 

Tindak balas COVID-19 

Menyokong Hospital San Lazaro

Pada Januari 2020, kes pertama COVID-19 dalam negara dirawat di Hospital San Lazaro (SLH), Pusat Perubatan Khas Hospital Kebangsaan untuk Penyakit Berjangkit di Manila. 

Staff get swabbed for COVID-19 after their deployment at San Lazaro Hospital. ©Veejay Villafranca/MSF

Petugas menjalani ujian calitan untuk COVID-19 selepas ditugaskan di Hospital San Lazaro. © Veejay Villafranca/MSF 

SLH mempunyai dua Unit Rawatan Rapi COVID-19 dan tiga wad. Doktor Tanpa Sempadan/Médecins Sans Frontières mempertingkatkan kapasiti ujian, pengurusan data dan pengurusan di SLH, dengan peralatan bioperubatan, bekalan ubatan, peralatan pelindung diri, latihan untuk pencegahan dan kawalan jangkitan, serta peningkatan infrastruktur. 

©Veejay Villafranca/MSF

© Veejay Villafranca/MSF

Kami juga menyokong SLH dalam aspek sumber manusia untuk membantu di Jabatan Makmal dan Epidemiologi, manakala doktor dan jururawat membantu di wad dan triage COVID-19, serta wad tuberkulosis. 

Melindungi daripada virus di kawasan setinggan 

Sukar untuk berlindung daripada pandemik dalam kalangan komuniti miskin kota di Manila yang padat, di mana satu ‘barangay’ (unit pentadbiran terkecil di Filipina) mempunyai antara populasi 55,000 hingga 61,000 orang. 

Untuk seketika pada 2020, pengasingan di rumah dibenarkan kerajaan. Di kawasan setinggan di Tondo, kami menyokong isi rumah dan kontak rapat mereka dengan lebih 2,000 kit kebersihan. Memandangkan mereka yang dalam kuarantin tidak dapat bekerja, kami bekerjasama dengan jemaah setempat untuk menyediakan bungkusan makanan mengikut keperluan. Mereka yang menjalani kuarantin juga mendapat sokongan kesihatan mental dan psikososial. 

Di pusat kesihatan barangay, kami membantu dalam meningkatkan langkah pencegahan dan pengendalian jangkitan (IPC) melalui latihan, penyediaan peralatan perlindungan diri, stesen mencuci tangan, bekalan pembersihan dan bahan pendidikan mengenai virus terbabit. Kami juga membantu dalam pengesanan kontak. 

Untuk membantu melindungi petugas kecemasan kesihatan di barangay, kami menyediakan bekalan IPC: pelitup muka, pelindung muka, alkohol dan sabun cucian tangan. Kami juga menghasilkan bahan video berkaitan komunikasi risiko.

Kisah dari lapangan: Cabaran pengasingan di setinggan 

Pengasingan di rumah sememangnya cukup mencabar dalam rumah yang kecil. Pekerja sosial Lyka Lucena berkata, "Pengasingan di rumah sangat sukar - hampir mustahil - bagi mereka yang tinggal di kawasan setinggan. Jarang sekali ditemui ruang terpisah untuk digunakan pesakit. Ramai yang berjuang untuk memenuhi keperluan asas berikutan masalah ekonomi seperti pengangguran secara tiba-tiba dan kehilangan sumber pendapatan bagi mereka yang berada dalam ekonomi tidak rasmi. " 

Isu kesihatan mental menjadikan keadaan lebih sukar. "Ramai yang menjalani kuarantin di rumah mengalami kegelisahan dan tekanan emosi. Mereka bimbang menjangkiti orang lain terutama orang yang tersayang. Mereka juga bimbang jatuh sakit atau kembali dijangkiti. Banyak pesakit mengalami kesunyian kerana terpisah dengan keluarga. Ramai yang berkongsi perasaan marah, kecewa, serta tidak berdaya dengan situasi mereka." 

Kisah pesakit: Bukan sekadar ubatan dan pelitup muka 

Memang selalunya pekerja kesihatan memberikan lebih daripada sekadar ubat dan prosedur. Jururawat Rhomina Suan berkongsi, “Ketika seorang pesakit ini dimasukkan ke wad, dia sangat risaukan anak-anaknya. Setelah dimasukkan ke wad, satu-satunya gejala yang dia alami adalah demam dan sakit tekak. Ujian calitan, walaupun selepas seminggu dimasukkan ke hospital, tetap positif. Beberapa hari kemudian, ketepuan oksigennya menurun, memaksa penggunaan topeng bantuan pernafasan (NRM). Kami memulakannya dengan dos antibiotik yang lain. Dia menjadi lebih cemas, kecewa. 

“Dia sentiasa kenal suara saya ketika saya memasuki biliknya. Dia selalu berkata, “Mina, kamu sangat ceria, bukan?” Saya menjawab, “Tentu saja, puan, saya ingin anda menjadi bertenaga seperti saya! Ingatlah, kami mahu tahap oksigen anda meningkat, supaya kami dapat menanggalkan NRM. '" 

Pesakit ini semakin pulih dan dibenarkan keluar wad beberapa hari kemudian.

Di luar sempadan kepulauan 

Kami mempunyai ramai petugas lapangan dan staf daripada Filipina yang bekerja dalam situasi cemas, selain pelbagai misi dan projek di serata dunia. 

Di Lubnan, pakar bius dari Filipina Karina Aguilar berkongsi mengenai peranannya di hospital di Bar Elias. 

Apa pula Koordinator Kewangan warga Filipina lakukan di Yaman? Ikuti kisah Melvin Kaibigan.