Skip to main content

Afghanistan: “Sukar untuk percaya bahawa kami seakan-akan kurang penting”

MSF staff walk down the corridor in the female inpatient department at the MSF-supported Boost hospital

Kakitangan Doctors Without Borders berjalan di koridor di bahagian pesakit dalam wanita di hospital Boost yang disokong Doctors Without Borders. Afghanistan, 2022. © Oriane Zerah

Meskipun pekerja kesihatan, termasuk kakitangan Doctors Without Borders, kini dikecualikan daripada larangan itu, tiada jaminan rasmi bahawa mereka akan dapat terus bekerja tanpa halangan. Dalam konteks kebergantungan tinggi terhadap sokongan kemanusiaan dan badan bukan kerajaan, penyertaan petugas NGO wanita dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan adalah satu keperluan mutlak. Wanita mewakili lebih 51 peratus kakitangan perubatan Doctors Without Borders di Afghanistan.

Selepas Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) mengecam keputusan Emiriah Islam melalui kenyataan media pada 29 Disember 2022, segelintir petugas wanita organisasi menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan dan kekecewaan mereka.

Women wait in the triage area of the emergency room at the MSF-supported Boost hospital.

Wanita menunggu di ruang triage bilik kecemasan di hospital Boost yang disokong Doctors Without Borders. Afghanistan, 2022. © Oriane Zerah

“Di hospital, kami mempunyai ramai pesakit wanita. Apabila mereka sakit atau perlu melahirkan anak, mereka mesti mempunyai tempat untuk pergi. Jika Taliban menghalang kakitangan wanita bekerja, tiada siapa yang akan dapat menjaga mereka”, kata Farzaneh* seorang wanita Afghanistan yang bertugas bersama Doctors Without Borders. “Kesihatan seorang wanita menentukan kesihatan seluruh keluarganya: jika tiada akses kepada perkhidmatan pra-natal dan selepas bersalin, nyawa kanak-kanak akan terancam juga. Larangan ini tidak akan menjejaskan wanita sahaja. Ia akan menjejaskan negara.” Seorang lagi kakitangan Doctors Without Borders berkata: "Jika larangan ini dilanjutkan kepada petugas kesihatan, maka keadaan akan menjadi sangat sukar untuk pesakit wanita juga. Ramai keluarga tidak akan menerima wanita dilayan oleh lelaki. Semua ini boleh membahayakan wanita Afghanistan dalam beberapa cara, termasuk dengan peningkatan kematian ibu dan bayi.”

Di samping memburukkan lagi isu akses kepada bantuan kemanusiaan sedia ada, larangan Emiriah Islam itu menambahkan lagi situasi teruk sosial dan ekonomi di negara yang sedia lumpuh akibat pengangguran dan sekatan dikenakan oleh kerajaan asing dan khususnya oleh pentadbiran AS, yang masih mengawal banyak dana daripada Bank Pusat Afghanistan. “Ada tujuh orang dalam keluarga saya yang saya tanggung. Jika saya menganggur, tiada siapa yang dapat menyara keluarga," jelas Benesh, seorang lagi wanita Afghanistan yang bertugas bersama Doctors Without Borders. “Ramai wanita di Afghanistan adalah pencari nafkah untuk keluarga mereka kerana lelaki tidak dapat bekerja, telah melarikan diri dari negara ini atau telah meninggal dunia. Setiap hari saya banyak berfikir tentang apa yang akan saya lakukan jika saya tidak dibenarkan bekerja lagi.”

nurses in a consultation room on the women's side of the Médecins Sans Frontières (MSF) drug-resistant tuberculosis (DR-TB) hospital in Kandahar city, Kandahar Province.

Jururawat Doctors Without Borders di bilik konsultasi bahagian wanita di hospital tuberkulosis rintang ubat (DR-TB) di bandar Kandahar, Wilayah Kandahar. Afghanistan, 2022. © Lynzy Billing

Wanita dan kanak-kanak antara kumpulan paling terdedah di Afghanistan, dan kebimbangan dibangkitkan kakitangan wanita Doctors Without Borders mewakili suara wanita Afghanistan yang lain. “Larangan baru-baru ini telah menyebabkan masalah psikologi kepada ramai wanita dan keluarga mereka. Kami bimbang setiap hari berada di tempat kerja mungkin menjadi yang terakhir buat kami. Pergi ke pejabat nampaknya semakin sukar. Saya dapat lihat petugas di pusat pemeriksaan mencari apa sahaja alasan untuk menghalang wanita daripada bergerak bebas. Contohnya, kakak saya sakit baru-baru ini dan semasa pergi ke hospital kami untuk pemeriksaan, mereka tidak membenarkannya kerana dia tidak mempunyai mahram (pengiring). Dia berdiri di sana selama kira-kira 50 minit, di luar dalam kesejukan. Kemudian abang saya datang, dan mereka membenarkan mereka pergi. Sukar untuk percayai bahawa kami seakan-akan kurang penting.”

“Saya juga ingin mengatakan satu perkara kepada orang yang mungkin membaca ini: tolong jangan lupakan wanita di Afghanistan," kata Soraya, seorang lagi rakan sekerja wanita Afghanistan. “Tiada masyarakat boleh berjaya tanpa kedua-duanya wanita dan lelaki. Kita semua perlu terlibat dalam komuniti kita untuk menjadikan keadaan lebih baik.”

 

.*Nama semua wanita yang dipetik dalam artikel ini diubah untuk melindungi identiti mereka.

Categories