Skip to main content

Afghanistan: Hospital Doctors Without Borders di Kandahar memberi harapan kepada pesakit TB

MSF nurse checks a patient's vitals signs in the consultation room on the women's side of the MSF drug-reistant tuberculosis (DR-TB) hospital

Jururawat Doctors Without Borders memeriksa tanda vital pesakit di bilik perundingan di bahagian wanita hospital tuberkulosis rintang-ubat (DR-TB) di bandar Kandahar, Wilayah Kandahar. Afghanistan, 2022. © Lynzy Billing 

Kos untuk mendapatkan rawatan juga meningkat. "Rumah saya jauh dari Uruzgan, jadi apabila ke sana untuk berjumpa doktor, saya perlu mengeluarkan belanja 6,000 Afghani (AS$67) untuk tambang kereta selain 13,000 (AS$146) lagi untuk ubat yang mereka berikan."

Jumlah dibelanjakan Jawahira setiap kali melawat doktor adalah kira-kira satu pertiga daripada purata pendapatan bulanan di Afghanistan. Menurut Bank Dunia, dianggarkan 60 peratus penduduk di negara itu tidak bekerja dan tidak menerima pendapatan langsung, sementara kesan sekatan, digabungkan dengan langkah kewangan tambahan terhadap kerajaan Emiriah Islam Afghanistan (IEA) kini dirasai di seluruh negara. Orang ramai sentiasa bergelut walaupun untuk membeli barangan makanan asas, apatah lagi perbelanjaan perjalanan dan kos perubatan untuk ke hospital. Sementara itu, sistem penjagaan kesihatan awam kekurangan sumber, kurang kakitangan dan kekurangan pembiayaan.

A nurse walks down the hallway of the women's inpatient ward at the MS drug-resistant tuberculosis (DR-TB) hospital in Kandahar city

Seorang jururawat berjalan di laluan dalam wad wanita di hospital tuberkulosis rintang-ubat (DR-TB) MSF di bandar Kandahar, Wilayah Kandahar. Afghanistan, 2022. © Lynzy Billing

Kisah Jawahira itu sebagaian daripada banyak lagi yang dicertakan pesakit Doctors Without Borders yang menunjukkan bagaimana, selalunya, keadaan ekonomi Afghanistan yang rosak dan sistem penjagaan kesihatan yang tidak berfungsi menyebabkan mereka yang memerlukan rawatan perubatan lanjutan tidak mempunyai pilihan yang munasabah. Mereka sama ada terpaksa berhutang, atau sekadar berpuas hati dengan melawat kemudahan kesihatan yang mereka mampu, namun kualiti penjagaannya mungkin kurang baik.

Hospital TB Doctors Without Borders dengan 24 katil di Kandahar satu-satunya fasiliti perubatan yang menyediakan rawatan lanjutan TB di selatan Afghanistan. Ramai dalam kalangan pesakit datang dari wilayah berdekatan seperti Helmand, Uruzgan, Nimroz dan Zabul, namun yang lain terpaksa melalui perjalanan sehingga 350 kilometer jauhnya, dari wilayah seperti Farah, Dikondi, Badghis, Ghazni dan Paktika.

Kawasan tadahan kami sangat besar, mustahil untuk mengetahui dengan tepat berapa ramai yang ada di dalamnya. Ramai yang melalui perjalanan jauh, dan kami membantu mereka dengan membayar kos pengangkutan, perbelanjaan rumah dan makanan untuk meringankan sedikit beban ekonomi.
Allieu Tommy, Penasihat Medikal

Tanpa insentif sebegitu, kebanyakan pesakit tidak akan mampu untuk datang bagi mendapatkan rawatan.

Kurang kesedaran mengenai TB

Kesukaran untuk sampai dan membayar kos rawatan perubatan bukan satu-satunya halangan kepada rawatan TB dihadapi penduduk di Afghanistan. Satu lagi ialah kekurangan pengetahuan meluas tentang penyakit ini.

“Anak perempuan kami Bibi berusia sembilan tahun dan sudah sakit sejak kecil, namun kami tidak tahu apa penyakitnya – kami tidak pernah mendengar nama TB sebelum ini,” kata bapanya, Hamdullah.

Pasukan Doctors Without Borders menggerakkan aktiviti promosi kesihatan secara berkala dalam komuniti tempatan di Kandahar untuk meningkatkan pemahaman orang ramai tentang TB. Mereka juga memberikan maklumat tentang TB kepada pesakit dan penjaga di hospital di Kandahar. "Apabila seseorang itu tiba buat kali pertama dan mengetahui bahawa mereka menghidap TB, kami menerangkan kepada mereka tentang apa itu TB, bagaimana ia berjangkit, serta kaedah berjaga-jaga yang perlu diambil ketika bersama ahli keluarga dan berapa lama rawatan memakan masa," jelas jururawat Doctors Without Borders Taiba Azizi.

Memberikan maklumat ini mudah tetapi berkesan. "Sekarang saya memahami simptomnya dan mereka yang berada di rumah tahu ia adalah penyakit yang berbahaya," kata Hamdullah. "Jika sesiapa pun melihatnya [Bibi] sebelum ini, mereka akan kata dia tidak akan sembuh. Namun kini, kita tahu dia boleh melepasinya. Dia sudah mula makan dan berjalan. Kami harap dia semakin sihat.”

Doctors Without Borders juga menguji ahli keluarga pesakit untuk TB, kerana penyakit ini sangat mudah berjangkit, terutamanya apabila tinggal berdekatan.

Rawatan rumah

Sesetengahnya mendapat penyakit yang tahan terhadap ubat TB konvensional dan memerlukan rawatan yang memakan masa antara sembilan hingga 12 bulan. Rawatan ini mungkin sukar untuk dilalui semasa berada di hospital dan jauh daripada rakan serta saudara mara. Akibatnya, ramai pesakit gagal mengikuti rawatan mereka sehingga akhir. Namun berikutan hasil penyelidikan cemerlang, pada 2023 rejimen rawatan lebih pendek selama enam bulan akan diperkenalkan yang akan memudahkan orang ramai untuk melengkapkan rawatan mereka.

Apa yang kami tawarkan ialah sistem di mana seseorang menghabiskan 30 hari pertama di kemudahan kami di bawah pemerhatian teliti, dan jika mereka tidak mengalami kesan sampingan besar daripada ubat-ubatan diambil, mereka dilepaskan untuk rawatan di rumah. Kakitangan kami kemudian melakukan susulan mingguan bersama mereka melalui telefon, bermakna pesakit hanya perlu kembali ke hospital sebulan sekali untuk memperbaharui ubat mereka dan menjalani konsultasi secara peribadi.
Taiba Azizi, jururawat

Wanita dan kanak-kanak paling rentan terhadap TB

Lebih 70 peratus pesakit di hospital TB Kandahar Doctors Without Borders adalah wanita dan kanak-kanak. “Wanita dan kanak-kanak tinggal di rumah dalam keadaan bilik yang berdebu dengan tahap ventilasi buruk untuk tempoh lebih lama berbanding lelaki,” kata Tommy. “Jika seorang wanita dijangkiti, kanak-kanak berkemungkinan dijangkiti penyakit itu juga. Faktor dari segi budaya juga memainkan peranan. Wanita berbisik atau bercakap dalam nada yang sangat rendah antara satu sama lain, terutamanya jika lelaki berada di dalam bilik. Jangkitan saluran pernafasan kemudiannya mudah berpindah disebabkan jarak yang dekat."

Cabaran tambahan bagi pesakit wanita adalah mereka kebiasaannya perlu ditemani ahli keluarga lelaki ke hospital, ditambah halangan ekonomi yang boleh mengurangkan akses mereka kepada rawatan kesihatan dengan ketara.

two-year-old pantient has her blood pressure taken by an MSF nurse at MSF drug-resistant tuberculosis hospital in Kandahar city

Pesakit berusia dua tahun diambil tekanan darahnya oleh jururawat Doctors Without Borders di hospital tuberkulosis rintang-ubat MSF di bandar Kandahar. Afghanistan, 2022. © Lynzy Billing

Dianggarkan tuberkulosis dan bentuk penyakit itu rintang ubat membunuh lebih 13,000 orang di Afghanistan setiap tahun. Akses kepada penjagaan yang betul kekal cabaran utama bagi pesakit di bahagian selatan negara, terutama disebabkan infrastruktur perubatan tidak mencukupi, tempoh rawatan dan halangan kewangan. Dan sementara hospital TB Doctors Without Borders di Kandahar menyediakan rawatan berkualiti dan percuma untuk ramai, ia tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang. Rakyat Afghanistan memerlukan sistem kesihatan yang memenuhi keperluan mereka.

Hospital TB Doctors Without Borders di Kandahar berfungsi untuk menyediakan pesakit dengan rawatan berkualiti, percuma dan berkesan. Hospital ini mempunyai makmal, klinik pesakit luar dan 24 katil untuk pesakit DR-TB dan komorbiditi, dan bagi mereka yang mengalami kesan sampingan teruk selepas mengambil ubat DR-TB. Pasukan Doctors Without Borders memberikan lebih 13,000 konsultasi untuk pesakit TB dalam kategori sensitif-ubat dan rintang-ubat setakat tahun ini dan menerima lebih 70 pesakit untuk rawatan pesakit dalam.

Doctors Without Borders turut menyediakan pesakit dengan sokongan kesihatan mental, menjalankan aktiviti promosi kesihatan dalam hospital dan di kawasan sekitar serta memberikan sokongan teknikal dan kewangan kepada makmal wilayah yang menawarkan ujian TB.

Categories