Trauma di Gaza: “Tiada apa yang dapat mempersiapkan anda untuk ini"
Dr Mohammed Abu Mughaiseeb adalah rujukan perubatan Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) di Gaza. Artikel ini pada asalnya diterbitkan di msf.org pada Oktober 2, 2018. Palestin. © Alva Simpson White/MSF
Enam bulan terakhir paling sukar saya alami sepanjang 15 tahun bersama Doctors Without Borders di Gaza. Ia dibandingkan dengan perang 2008, 2012, dan 2014. Bagi saya, seorang doktor dari Gaza, tinggal dan bekerja di sini sepanjang hidup saya, rasanya saya tahu had kami dari segi apa yang Gaza boleh hadapi. Sungguh sukar untuk bertolak ansur dengan jumlah kecederaan mengejutkan yang tiba dari pagar beberapa bulan terakhir ini.
Saya tidak akan lupa hari Isnin, 14 Mei. Pihak berkuasa kesihatan tempatan merekodkan 2,271 orang cedera dalam satu hari. Ini termasuk 1,359 orang yang tercedera akibat peluru hidup.
Saya bersama pasukan pembedahan kami di hospital al-Aqsa, salah sebuah hospital utama di Gaza.
Pada jam 3 petang kami mula menerima kebanjiran pesakit yang datang dari demonstrasi. Lebih daripada 300 orang yang cedera tiba walaupun dalam tempoh kurang empat jam.
Saya tidak pernah melihat begitu ramai pesakit dalam hidup saya; pesakit beratur untuk masuk ke dewan bedah. Koridor penuh; semua orang menangis, menjerit, berdarah.
Tidak kira betapa kuat kami bekerja dan berapa ramai bilangan kami, kami tidak mampu menghadapi sebegitu banyak mangsa yang cedera. Ia terlalu banyak. Tembakan demi tembakan.
Pasukan kami bekerja selama 50 jam menyokong Kementerian Kesihatan. Ia mengingatkan kami ketika kami bekerja sewaktu perang pada 2014. Namun hakikatnya, tiada apa yang dapat mempersiapkan anda untuk ini.
Apa yang kami temui hari ini?
Masih lagi, setiap minggu kes trauma baharu tiba. Majoriti adalah lelaki muda dengan luka tembakan pada kaki mereka yang berpotensi menyebabkan kecacatan yang mengubah hidup.
Klinik MSF di Gaza © Yuna Cho/MSF
Ataallah,18 tahun, menerima sesi fisioterapi di klinik Doctors Without Borders di Gaza. Dia mendapat kesan tembakan semasa protes itu dan kaki kanannya dipotong. © Yuna Cho/MSF
Ruang menunggu jabatan pesakit luar Doctors Without Borders di klinik Al Awda, Gaza. © Yuna Cho/MSF
Struktur perubatan di Gaza runtuh disebabkan permintaan kekurangan yang berterusan. Kumpulan pesakit Doctors Without Borders terus bertambah dan menyamai kira-kira 40 peratus daripada jumlah mereka yang cedera akibat tembakan di Gaza, yang kini berjumlah lebih 5,000 orang.
Namun semakin kami maju dalam merawat kecederaan akibat tembakan ini, semakin kami melihat kerumitan tentang apa yang perlu dilakukan. Ia sukar, dari segi perubatan dan logistik.
Sebilangan besar pesakit Doctors Without Borders memerlukan intervensi pakar untuk pembedahan rekonstruktif anggota, bermaksud beberapa pembedahan untuk sesetengah pesakit, namun prosedur itu musthil dapat dilakukan di Gaza pada masa ini.
Osteomielitis adalah jangkitan yang mendalam pada tulang. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan luka tidak sembuh dan meningkatkan risiko amputasi. Dan ketika masa berlalu, ia menjadi lebih teruk. Jangkitan ini perlu dirawat secepat mungkin.
Sungguh menakutkan untuk memikirkan bahawa ia boleh mengundang kepada amputasi terhadap lelaki muda ini. Namun jangkitan itu tidak mudah untuk didiagnosis dan pada masa ini tiada struktur di Gaza bagi menganalisis sampel tulang untuk mengenal pastinya.
Doctors Without Borders sedang berusaha untuk menubuhkan makmal mikrobiologi di sini, menyediakan bekalan dan latihan, supaya dapat menguji sampel tulang untuk osteomielitis. Namun begitu, setelah kami dapat mengenal pasti jangkitan, rawatan memerlukan kursus rawatan antibiotik yang panjang dan kompleks untuk setiap pesakit dan intervensi pembedahan berulang.
Saya bergerak ke seluruh tebing Gaza dan melihat lelaki muda di mana-mana sahaja bertongkat dengan kerangka besi luaran pada kaki mereka, atau duduk di kerusi roda. Ia pemandangan biasa. Dan selalunya mereka tersenyum dan meneruskan hidup dengan kecederaan dialami. Namun bagi saya, sebagai seorang doktor, saya tahu prognosis jangka panjang adalah suram.
Untuk berbicara dengan pesakit, seorang lelaki muda, mengetahui bahawa dia boleh kehilangan kakinya akibat peluru yang telah menghancurkan tulangnya dan masa depannya, dan mendengar dia bertanya kepada saya "Adakah saya akan berjalan dengan bebas lagi?" Ini sangat sukar. Sebab saya tahu, dari segi perubatan, disebabkan situasi yang kami sering berdepan, pastinya sukar untuk dia berjalan semula.
Saya perlu menyampaikan mesej bahawa kami akan melakukan yang terbaik, namun risikonya tinggi dan ada risiko dia kehilangan kakinya. Untuk memberitahu ini kepada seorang lelaki muda dengan kehidupannya yang menunggu di hadapan, itu sangat sukar. Dan ia bukan hanya seorang pesakit - ia perbualan yang perlu kami lakukan berkali-kali dengan ramai pesakit.
Sudah tentu, kami terus cuba mencari jalan untuk merawat mereka ini dalam ruang batasan yang kami hadapi: hospital yang sesak dan, disebabkan sekatan, bekalan elektrik empat jam sehari, kekurangan bahan api, bekalan perubatan yang habis, kekurangan pakar bedah dan doktor pakar, jururawat yang keletihan dan petugas medik menguruskan hospital dan tidak dibayar gaji penuh selama berbulan-bulan, sekatan ke atas pesakit yang meninggalkan Gaza untuk menerima rawatan perubatan di tempat lain. . .Senarainya tidak terhenti di situ.
Dan di sekeliling kami melihat hari-hari di Gaza semakin merosot. Keadaan sosial dan ekonomi merudum. Sekarang anda melihat kanak-kanak mengemis di jalanan; situasi yang kami tidak lihat setahun dua yang lalu.
Doctors Without Borders perlu mendaki gunung yang besar, dan kita tidak boleh melakukannya sendirian. Kami cuba. Kami berusaha. Kami perlu meneruskannya. Bagi kami, ini adalah soal etika perubatan. Mereka yang cedera ini mesti mendapatkan rawatan yang mereka perlukan.
Namun dari tempat saya berdiri, melihat kepada masa depan ibarat melihat ke dalam terowong gelap. Dan cahaya di hujung terowong. Saya tidak pasti jika ia ada di sana. Ia terus berkelip hidup dan mati.
Seorang doktor perubatan di Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF). Dia seorang doktor warga Palestin yang juga rujukan perubatan Doctors Without Borders di Gaza.