Jebel Marra: Lubang hitam dalam tindak balas kemanusiaan di Sudan
Pasar Sortoni dahulunya merupakan sumber utama bekalan makanan bagi penduduk kem pelarian. Namun sejak tercetusnya konflik semasa, gangguan rantaian bekalan dan kekurangan berulang telah menyebabkan lonjakan harga yang tidak terkawal. Lebih membimbangkan, tiada pengagihan makanan dijalankan sejak dua tahun lalu — menjadikan akses kepada makanan bagi seluruh penduduk kem semakin terjejas.
Sudan, 2025 © Thibault Fendler/MSF.
Darfur, 15 Julai 2025 – Ketika konflik berpanjangan dan pengasingan terus memutuskan akses kepada perkhidmatan asas di seluruh kawasan Darfur, komuniti di selatan Jebel Marra, Sortoni dan Rokero — sebuah kawasan pergunungan yang terpencil — telah dinafikan bantuan yang mencukupi dan diabaikan oleh pelaku bantuan sejak lebih dua tahun lalu, walaupun terpaksa bertahan dalam keadaan yang amat daif. Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) menyeru agar para penderma dan pelaku kemanusiaan lain mempertingkatkan sokongan untuk memenuhi keperluan yang semakin mendesak.
“Kami lihat lori-lori bantuan lalu di hadapan kami, tetapi tidak pernah berhenti,” kata Zeineb, seorang penduduk komuniti di Sortoni. “Kami juga sedang menderita. Mengapa kami seolah-olah tidak dipedulikan?
Salah satu daripada dua telaga terbuka yang terletak di pinggir kawasan Sortoni menjadi sumber utama air bagi majoriti daripada 55,000 penduduk kem pelarian di situ. Air dari telaga ini dianggap tidak benar-benar selamat untuk diminum, namun pilihan alternatif hampir tidak wujud.
Sudan, 2025 © Thibault Fendler/MSF.
Sortoni, sebuah perkampungan yang dahulunya menjadi pusat bantuan kemanusiaan di rantau ini, kini seakan-akan terbiar. Ia menempatkan sebuah kem yang diwujudkan selepas tercetusnya keganasan pada tahun 2016 dan pernah menampung seramai 55,000 orang yang kehilangan tempat tinggal. Sejak meletusnya perang, kebanyakan organisasi bantuan telah menarik diri, meninggalkan bangunan kosong dan paip air yang kering.
Doctors Without Borders kekal sebagai satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang masih beroperasi di Sortoni, menyediakan perkhidmatan kesihatan asas dan program pemakanan. Namun, keperluan jauh melebihi sumber yang ada — sejak awal tahun 2025, seramai 612 kanak-kanak di bawah usia lima tahun telah dimasukkan bagi rawatan kekurangan zat makanan akut.
Akses kepada penjagaan kesihatan kekal sebagai antara isu paling mendesak dan mencabar di kawasan-kawasan yang terjejas akibat konflik di seluruh Darfur. Doctors Without Borders telah berusaha menyediakan rawatan perubatan kepada komuniti yang terputus hubungan — sama ada akibat geografi mahupun konflik bersenjata.Di selatan Jebel Marra, meskipun berdepan dengan bentuk muka bumi yang sukar dan ancaman keselamatan yang berterusan, pasukan Doctors Without Borders berjaya menjalankan lebih 23,200 konsultasi perubatan dan merawat hampir 3,000 pesakit malaria dalam separuh pertama tahun 2025 sahaja.
“Memberi rawatan perubatan di Jebel Marra bukan sekadar isu logistik,” kata Resit Elcin, Penyelaras Projek Doctors Without Borders di Kass. “Kami merentasi kawasan pergunungan demi menyokong penduduk yang hidup terpinggir dan berdepan kesukaran mendapatkan perkhidmatan kesihatan asas setelah sekian lama diabaikan akibat konflik.”
Pusat penjagaan kesihatan primer Doctors Without Borders di Sortoni menyediakan perkhidmatan konsultasi perubatan, vaksinasi, saringan dan rawatan kekurangan zat makanan serta penjagaan bersalin. Ia merupakan satu-satunya fasiliti kesihatan yang tersedia bagi 55,000 penduduk kem pelarian dalaman, termasuk komuniti dari kampung-kampung sekitar. Sudan, 2025 © Thibault Fendler/MSF.
Semasa kempen vaksinasi campak di Rokero pada 24 November, di mana pasukan Doctors Without Borders telah memvaksin lebih 9,000 kanak-kanak, Ketua Misi Doctors Without Borders di Darfur Tengah, Marwan Taher, menyaksikan sendiri betapa jelasnya keperluan bantuan kemanusiaan di setiap sudut. Sistem kesihatan berada di ambang keruntuhan, ketidakjaminan makanan semakin parah, dan gelombang penduduk yang dipaksa lari dari kediaman mereka terus tiba. Doctors Without Borders kini merupakan salah satu daripada hanya empat pertubuhan bantuan antarabangsa yang masih beroperasi di kawasan ini — dengan keupayaan yang jauh lebih kecil berbanding keperluan yang perlu dipenuhi.
Pada Jun 2025, lebih 75,000 kanak-kanak telah divaksin di Rokero susulan wabak campak yang melanda kawasan tersebut.
Situasi kemanusiaan di Darfur berada pada tahap kritikal, dengan kawasan yang luas masih sukar diakses dan keperluan yang terus meningkat. Kehadiran berterusan Doctors Without Borders di lokasi-lokasi seperti Jebel Marra Selatan, Rokero dan Sortoni membuktikan bahawa kerja-kerja kemanusiaan masih boleh dilaksanakan — walaupun dalam keadaan yang paling mencabar. Namun tanpa sokongan antarabangsa yang segera dan berkesan, masa depan komuniti-komuniti ini akan terus suram.
Sudikah anda menyokong tugas tindak balas kecemasan kami?
Bantu kami menyediakan penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa ketika kecemasan dengan melakukan sumbangan hari ini.