Sudan: Krisis berganda selepas dua tahun perang tingkatkan jumlah penduduk memerlukan bantuan ke tahap tertinggi
Sekeluarga pelarian dari Sudan mencari perlindungan di sebuah kem pelarian sementara. Sudan, November 2024. © Faiz Abubakr
Perang saudara yang berpanjangan antara Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dan Angkatan Tentera Sudan (SAF) kini memasuki tahun ketiga, dengan rakyat terus menjadi mangsa yang tersembunyi dari pandangan dunia — dibom, dikepung, dipaksa lari dari kediaman sendiri serta dinafikan akses kepada makanan, rawatan perubatan dan perkhidmatan asas yang mampu menyelamatkan nyawa.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 60 peratus daripada keseluruhan penduduk Sudan yang berjumlah 50 juta kini memerlukan bantuan kemanusiaan. Negara itu kini menghadapi krisis kesihatan berganda ketika sistem penjagaan kesihatan awam semakin lumpuh.
Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) sekali lagi menggesa semua pihak yang bertelagah serta sekutu mereka agar memastikan perlindungan terhadap orang awam, petugas kemanusiaan dan pasukan perubatan. Sekatan terhadap pergerakan bekalan bantuan serta staf perlu dihentikan segera — lebih-lebih lagi dengan musim hujan yang semakin hampir, yang dijangka akan memburukkan lagi keadaan.
“Pihak-pihak yang bertelagah bukan sahaja gagal melindungi orang awam — mereka sebenarnya memperhebat penderitaan rakyat,” tegas Claire San Filippo, Penyelaras Kecemasan MSF.
Di mana sahaja anda memandang di Sudan, keperluan kemanusiaan kelihatan begitu mendesak, meluas dan tidak tertunai. Jutaan penduduk hampir tidak menerima sebarang bantuan, kemudahan perubatan dan petugas kesihatan terus menjadi sasaran serangan, manakala sistem bantuan kemanusiaan global pula gagal menyalurkan walau sebahagian kecil daripada apa yang amat diperlukan.Claire San Filippo, Penyelaras Kecemasan
Sudikah anda menyokong usaha kami?
Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.
Sejak garis hadapan peperangan berubah, khususnya di Khartoum dan Darfur, rakyat awam terus hidup dalam ketakutan terhadap serangan balas yang dilakukan secara sembarangan oleh kedua-dua pihak yang bertelagah – Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dan Angkatan Tentera Sudan (SAF). Selama dua tahun kebelakangan ini, kedua-dua pihak telah melancarkan pengeboman tanpa diskriminasi ke atas kawasan berpenduduk padat.
RSF dan milisia sekutunya pula didakwa melaksanakan kempen kekejaman yang sistematik — termasuk keganasan seksual, penculikan, pembunuhan beramai-ramai, penjarahan bantuan kemanusiaan, pemusnahan kawasan perumahan awam, serta pendudukan kemudahan perubatan. Kedua-dua pihak juga telah mengepung bandar, merobohkan infrastruktur penting, dan menyekat akses bantuan kemanusiaan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebuluran yang meluas kini sedang melanda Sudan — satu-satunya negara di dunia ketika ini yang menyaksikan pengisytiharan kebuluran secara rasmi di beberapa kawasan serentak. Kebuluran mula diisytiharkan di Kem Zamzam bagi pelarian dalaman pada bulan Ogos dan sejak itu, merebak ke sepuluh kawasan lain. Tujuh belas kawasan tambahan kini berada di ambang krisis yang sama. Tanpa campur tangan segera, ratusan ribu nyawa kini berada dalam keadaan amat genting.
Seorang staf menjalankan saringan kekurangan zat makanan semasa klinik bergerak di lokasi penempatan Al Tadamon, Negeri Al Gedaref, Sudan. November 2024. © Faiz Abubakr
Pada bulan Mac lalu, Doctors Without Borders telah menyokong kempen imunisasi susulan pelbagai antigen bagi kanak-kanak bawah umur dua tahun di wilayah Darfur Selatan. Seramai lebih 17,000 kanak-kanak dari 11 daripada 14 kawasan pentadbiran telah menerima vaksinasi, di mana mereka turut menjalani saringan pemakanan. Hasilnya amat membimbangkan: 7 peratus daripada kanak-kanak yang disaring mengalami kekurangan zat makanan akut teruk (SAM), manakala 30 peratus menunjukkan tanda-tanda kekurangan zat makanan akut secara keseluruhan (GAM).
Situasi yang lebih memburukkan lagi tercatat pada Disember 2024 di kawasan Tawila, Darfur Utara, semasa pengagihan makanan terapeutik. Pasukan Doctors Without Borders telah menyaring lebih 9,500 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dan mendapati kadar kekurangan zat makanan akut global mencapai 35.5 peratus – angka yang amat mengejutkan – dengan 7 peratus daripada jumlah tersebut mengalami SAM.
Krisis ini tidak berlaku secara berasingan. Sudan kini sedang bergelut dengan pelbagai kecemasan kesihatan yang berlaku serentak dan bertindih. Sejak bermulanya konflik, Doctors Without Borders telah merawat lebih 12,000 pesakit — termasuk wanita dan kanak-kanak — yang cedera akibat serangan bersenjata. Pada minggu pertama Februari 2025 sahaja, pasukan perubatan di tiga wilayah — Khartoum, Darfur Utara, dan Darfur Selatan — telah menerima kemasukan besar-besaran pesakit yang tercedera akibat peperangan.
Lebih membimbangkan, Sudan turut berdepan salah satu krisis kesihatan ibu dan anak paling teruk di dunia ketika ini. Di dua fasiliti kesihatan yang disokong oleh Doctors Without Borders di Nyala, ibu negeri Darfur Selatan, 26 peratus wanita hamil dan menyusu yang hadir mendapatkan rawatan dikenal pasti mengalami kekurangan zat makanan akut.
Penularan penyakit seperti campak, kolera dan difteria kini semakin membimbangkan, didorong oleh keadaan hidup yang daif serta kempen imunisasi yang tergendala akibat konflik berterusan. Sokongan kesihatan mental dan bantuan kepada mangsa keganasan seksual pula masih sangat terhad. Krisis yang bertindih ini bukan sahaja mencerminkan keganasan konflik yang tidak berperikemanusiaan, tetapi juga menggambarkan akibat buruk daripada runtuhnya sistem penjagaan kesihatan awam dan respons kemanusiaan yang kian pincang.Marta Cazorla, Penyelaras Kecemasaan
Sejak April 2023, lebih 1.7 juta orang telah mendapatkan rawatan kesihatan di hospital, fasiliti perubatan dan klinik bergerak yang disokong atau dikendalikan oleh Doctors Without Borders. Lebih 320,000 pesakit pula telah dimasukkan ke wad kecemasan bagi menerima rawatan segera.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa lebih 13 juta penduduk telah dipaksa meninggalkan kediaman mereka akibat konflik yang berlarutan — ramai dalam kalangan mereka telah dipindahkan berulang kali. Daripada jumlah ini, seramai 8.9 juta orang masih berlindung di dalam wilayah Sudan, manakala 3.9 juta lagi melintasi sempadan ke negara-negara jiran. Kebanyakan mereka kini tinggal di kem sementara yang sesak dan tidak terurus, tanpa akses kepada makanan, air bersih, perkhidmatan kesihatan atau sebarang harapan untuk masa depan. Nasib mereka amat bergantung kepada bantuan kemanusiaan — namun bantuan ini hanya tersedia di lokasi yang masih mempunyai kehadiran organisasi bantuan.
Fasiliti Kesihatan Lumpuh
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 70 peratus fasiliti kesihatan di kawasan konflik kini hampir lumpuh atau telah ditutup sepenuhnya. Ini menjadikan jutaan penduduk terputus daripada rawatan asas ketika mereka paling memerlukannya — menjadikan krisis ini antara bencana kemanusiaan paling dahsyat dalam sejarah moden.
Sejak permulaan peperangan, Doctors Without Borders telah mencatat lebih 80 insiden keganasan yang menyasarkan kakitangan, fasiliti, kenderaan dan bekalan kami. Klinik-klinik telah dirompak dan dimusnahkan, ubat-ubatan dicuri, manakala petugas kesihatan turut menjadi sasaran — dipukul, diugut dan ada yang terbunuh.
“Bangunan musnah, katil hospital turut dilarikan, ubat-ubatan dibakar hingga tinggal abu. Dari jauh ia kelihatan seperti hospital, tetapi bila melangkah masuk, ia sebenarnya telah menjadi sarang ular dan belukar,” kata Muhammad Yusuf Ishaq Abdullah, Pegawai Promosi Kesihatan Doctors Without Borders di Tawila, Darfur Utara, menggambarkan keadaan Hospital Tawila selepas diserang dan dijarah pada Jun 2023.
Serangan ke atas fasiliti dan kakitangan perubatan ini mesti dihentikan serta-merta. Petugas kesihatan dan institusi perubatan bukanlah sasaran peperangan.
Bilik kecemasan di Hospital Al Nao, yang menerima sokongan daripada Doctors Without Borders, terletak di Omdurman, negeri Khartoum. Sudan, Mac 2025. © Tom Casey/MSF
Musim hujan akan tiba
Musim hujan yang bakal menjelang dijangka memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah pun berada pada tahap kritikal. Laluan bekalan berisiko terputus, kawasan yang luas boleh dilanda banjir, dan komuniti yang terjejas mungkin terasing sepenuhnya—pada saat keperluan makanan memuncak, dan kadar malnutrisi serta jangkitan malaria terus meningkat.
Doctors Without Borders menyeru agar langkah kesiapsiagaan segera dilaksanakan sebelum musim hujan melanda. Laluan sempadan tambahan perlu dibuka, manakala jalan raya dan jambatan utama mesti dibaik pulih serta dikekalkan aksesibilitinya, khususnya di wilayah Darfur yang saban tahun terputus hubungan akibat banjir bermusim.
Segala bentuk sekatan kemanusiaan mesti dihentikan, dan akses tanpa halangan wajib dijamin. Doctors Without Borders menggesa semua pihak—termasuk penderma, kerajaan dan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu—untuk memberikan keutamaan kepada penghantaran bantuan. Bantuan bukan sahaja perlu dibawa masuk ke dalam negara, malah perlu disalurkan secara pantas dan selamat ke kawasan paling terjejas dan terpencil.
Tanpa komitmen serius untuk mengatasi halangan politik, kewangan, logistik dan keselamatan yang menyukarkan penghantaran bantuan ke peringkat akar umbi, ribuan nyawa akan terus kekal di luar jangkauan bantuan.
Rakyat Sudan telah melalui penderitaan ini selama dua tahun—mereka tidak harus dan tidak boleh menunggu lebih lama lagi.
Sokong kami
Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.