Skip to main content

Sudan Selatan: Doctors Without Borders kutuk sekeras-kerasnya pengeboman hospital di Old Fangak

An MSF hospital in Old Fangak, South Sudan, was deliberately bombed.

Kebakaran tercetus selepas pengeboman hospital di Old Fangak, Sudan Selatan

Serangan bermula sekitar jam 4.30 pagi apabila dua helikopter tempur melepaskan bom ke atas farmasi milik Doctors Without Borders, membakarnya hingga musnah. Serangan kemudiannya disusuli dengan tembakan ke arah bandar Old Fangak selama kira-kira 30 minit. Sekitar jam 7 pagi, sebuah dron pula menjatuhkan bom di kawasan pasar Old Fangak.

Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 20 lagi cedera akibat serangan ini.

“Pada jam 8 pagi, kami menerima kira-kira 20 orang yang cedera di hospital kami di Old Fangak, termasuk empat dalam keadaan kritikal. Terdapat laporan mengenai lebih ramai mangsa yang terkorban dan cedera dalam komuniti. Seorang pesakit dan dua penjaga—termasuk salah seorang staf kami—yang berada dalam hospital turut cedera akibat pengeboman. Pesakit yang tidak kritikal pula melarikan diri dari fasiliti,” kata Mamman Mustapha, Ketua Misi Doctors Without Borders di Sudan Selatan.

Pengeboman hospital kami di Old Fangak telah menyebabkan kerosakan besar, termasuk kemusnahan sepenuhnya farmasi hospital yang hangus terbakar. Farmasi ini menempatkan semua bekalan perubatan yang digunakan untuk perkhidmatan hospital serta aktiviti penjagaan kesihatan luar bandar. Kehilangan ini menjejaskan keupayaan kami untuk merawat pesakit dengan berkesan. Doctors Without Borders mengecam sekeras-kerasnya serangan ini — lebih-lebih lagi apabila lokasi semua kemudahan kami, termasuk Hospital Old Fangak, telah dikongsi lebih awal dengan semua pihak yang terlibat dalam konflik.
Mamman Mustapha, Ketua misi

Hospital Old Fangak merupakan satu-satunya kemudahan kesihatan di daerah Fangak, yang memberikan perkhidmatan kepada lebih 110,000 penduduk. Komuniti ini sudah pun menghadapi akses yang sangat terhad terhadap rawatan perubatan. Kini, akibat serangan terbaharu ini, situasi menjadi lebih kritikal.

“Kami masih menilai sepenuhnya tahap kerosakan dan kesannya terhadap keupayaan kami untuk terus memberikan rawatan. Namun, jelas serangan ini akan menyukarkan lagi penduduk mendapatkan rawatan yang mampu menyelamatkan nyawa,” kata Mustapha.

Doctors Without Borders menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik agar melindungi orang awam dan infrastruktur awam, termasuk petugas kesihatan, pesakit serta fasiliti kesihatan. Hospital tidak sepatutnya menjadi sasaran dalam mana-mana konflik bersenjata. Nyawa orang awam mesti sentiasa dipelihara.

Ini merupakan kali kedua kemudahan Doctors Without Borders menjadi sasaran dalam tempoh sebulan. Pada 14 April 2025, hospital kami di Ulang, Negeri Upper Nile telah digeledah oleh kumpulan bersenjata, menyebabkan seluruh populasi daerah Ulang terputus akses kepada rawatan kesihatan sekunder.


Sudikah anda menyokong usaha kami?

Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.