Skip to main content

Sudan Selatan: Doctors Without Borders henti operasi di dua daerah susulan kes penculikan petugas kesihatan

MSF transports

Kenderaan Doctors Without Borders membawa bekalan dan petugas kesihatan menuju ke klinik bergerak di Daerah Morobo, Equatoria Tengah. Sudan Selatan, 2023. © Manon Massiat/MSF

Juba, 5 Ogos 2025Doctors Without Borders telah menggantung semua aktiviti operasinya di daerah Yei River dan Morobo, Negeri Equatoria Tengah, Sudan Selatan, untuk tempoh minimum enam minggu susulan insiden penculikan terhadap seorang kakitangannya — hanya empat hari selepas kejadian penculikan melibatkan kakitangan Kementerian Kesihatan yang berlaku di lokasi dan laluan yang sama, ketika menaiki ambulans milik Doctors Without Borders.

Insiden penculikan berlaku ketika usaha pemindahan kakitangan Doctors Without Borders dari Morobo ke Yei, berikutan situasi keselamatan yang semakin merosot. Konvoi empat kenderaan itu telah dihentikan oleh sekumpulan lelaki bersenjata. Mereka mengarahkan ketua konvoi yang juga kakitangan Doctors Without Borders keluar dari kenderaan dan membawanya masuk ke kawasan belukar, manakala baki kenderaan dan kakitangan lain dibenarkan meneruskan perjalanan ke Yei.

“Kami amat marah dengan serangan yang menyasarkan petugas kemanusiaan ini. Serangan terhadap mereka yang bertugas membantu golongan paling terpinggir dalam masyarakat mesti dihentikan,” tegas Dr. Ferdinand Atte, Ketua Misi Doctors Without Borders di Sudan Selatan. “Walaupun kami komited memberikan bantuan perubatan kepada mereka yang memerlukan, kami tidak dapat membiarkan kakitangan kami terus bekerja dalam keadaan yang tidak selamat.”

Insiden penculikan ini mencerminkan satu corak keganasan yang membimbangkan terhadap petugas kesihatan dan kemanusiaan di daerah terbabit. Dalam tempoh tiga bulan sahaja, beberapa insiden keganasan dilaporkan di Morobo, termasuk penculikan secara paksa, pembakaran, rompakan ganas di hospital, serta kerosakan terhadap infrastruktur perubatan. Tujuh daripada insiden ini melibatkan penculikan petugas bantuan.

Kami amat marah dengan serangan yang menyasarkan petugas kemanusiaan ini. Serangan terhadap mereka yang membantu golongan paling terpinggir dalam masyarakat mesti dihentikan. Walaupun kami komited sepenuhnya untuk terus memberikan rawatan kepada mereka yang memerlukan, kami tidak boleh membiarkan kakitangan kami bekerja dalam persekitaran yang tidak selamat.
Dr. Ferdinand Atte, Ketua Misi

“Kami menuntut pertanggungjawaban serta jaminan konkrit daripada pihak berkuasa dan semua pihak yang terlibat dalam konflik, termasuk kumpulan bersenjata di daerah Morobo dan Yei River. Adalah amat penting untuk memastikan akses yang selamat dan tanpa halangan kepada penduduk yang memerlukan bantuan, serta perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam, termasuk petugas kesihatan, pesakit, dan fasiliti perubatan, sebelum kami boleh mempertimbangkan untuk menyambung semula aktiviti kami,” tambah Dr. Ferdinand.

Penduduk di daerah Yei River dan Morobo tinggal di kawasan terpencil dan sukar diakses, yang sering terputus daripada perkhidmatan asas akibat kekurangan infrastruktur serta konflik bersenjata. Justeru, mereka sangat bergantung kepada organisasi kemanusiaan seperti Doctors Without Borders untuk mendapatkan perkhidmatan asas.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh kurang tiga bulan Doctors Without Borders terpaksa mengurangkan penyampaian perkhidmatan perubatan di kawasan berkenaan. Pada bulan Mei lalu, kami terpaksa mengurangkan aktiviti susulan peningkatan risiko keselamatan di kawasan tersebut. Doctors Without Borders juga telah menggantung semua aktiviti di kem-kem pelarian dalaman di Morobo ekoran keganasan yang berterusan.

Hari ini, Doctors Without Borders terpaksa membuat keputusan yang amat sukar untuk menggantung semua aktiviti di kedua-dua daerah tersebut sehingga diberitahu kelak — satu lagi tambahan kepada senarai projek dan fasiliti kesihatan yang terpaksa ditutup tahun ini akibat serangan dan ancaman keselamatan.

“Doctors Without Borders merupakan antara segelintir organisasi perubatan yang masih memberikan sokongan kepada beberapa kemudahan kesihatan di kawasan ini. Apabila serangan sebegini berlaku, rakyat tempatan yang paling terkesan kerana akses mereka kepada rawatan kesihatan asas menjadi semakin terjejas,” ujar Dr Ferdinand.

Di daerah Yei River dan Morobo, Doctors Without Borders menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas dengan menyokong empat fasiliti Kementerian Kesihatan, termasuk perkhidmatan pesakit luar, program imunisasi rutin serta penjagaan kesihatan ibu dan anak. Doctors Without Borders turut menggerakkan klinik mudah alih dan menyokong usaha penjagaan kesihatan berasaskan komuniti menerusi program Inisiatif Kesihatan Boma.

Sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2025, Doctors Without Borders telah menjalankan 14,500 konsultasi pesakit luar, 1,192 pemeriksaan antenatal, serta membantu 438 proses kelahiran di kawasan ini.


Serangan terhadap kemudahan kesihatan di Sudan Selatan pada 2025

Sepanjang tahun 2025, Doctors Without Borders menyaksikan peningkatan membimbangkan dalam siri serangan ke atas petugas dan kemudahan kesihatan di Sudan Selatan :

  • Pada Januari lalu, dua bot perubatan Doctors Without Borders yang jelas ditandai telah diserang dalam perjalanan dari Nasir ke Ulang di negeri Upper Nile. Penyerang yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah bot berkenaan, memaksa staf Doctors Without Borders untuk terjun ke sungai dan berenang menyelamatkan diri ke sebuah perkampungan berhampiran. Seorang staf mengalami kecederaan semasa melarikan diri dan terpaksa menerima rawatan perubatan.
  • Pada 14 April, hospital Doctors Without Borders di Ulang telah dijarah secara ganas oleh sekumpulan lelaki bersenjata pada waktu siang. Serangan ini bukan sahaja memusnahkan harta benda, malah mengancam nyawa pesakit dan staf yang bertugas. Ekoran kejadian itu, semua operasi hospital dan perkhidmatan luar ditutup sepenuhnya. Hospital tersebut merupakan satu-satunya fasiliti kesihatan yang masih beroperasi di daerah berkenaan. Penutupan ini memberi kesan buruk kepada lebih 150,000 penduduk yang kini terputus akses kepada rawatan kesihatan yang amat diperlukan.
  • Pada 3 Mei, hospital Doctors Without Borders di Old Fangak, negeri Jonglei, dibom oleh dua helikopter tempur, mengakibatkan kemusnahan farmasi dan bekalan ubat-ubatan penting. Kemusnahan ini menjadikan operasi perubatan di fasiliti tersebut tidak lagi dapat dijalankan. Helikopter berkenaan turut melepaskan tembakan ke arah komuniti setempat, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 27 lagi cedera. Empat daripada yang cedera merupakan staf Doctors Without Borders sendiri.

 


Sudikah anda menyokong usaha kami?

Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.