Skip to main content

Penyakit Ebola di DRC: Doctors Without Borders memperluas respons terhadap wabak yang berkembang pantas

MSF staff are being trained at Brussels headquarter prior to their deployment on Ebola disease response

Doctors Without Borders staff are being trained at Brussels headquarter prior to their deployment on Ebola disease response. Belgium, 2026. © Pierre Fromentin/MSF

Pasukan Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) kini bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk membendung penularan penyakit ini dan memperkukuh penjagaan pesakit.

Setakat 28 Mei, sebanyak 125 kes disahkan, 906 kes disyaki dan 223 kematian telah dilaporkan secara rasmi di wilayah Ituri, North Kivu dan South Kivu. Namun, skala sebenar wabak ini masih mustahil untuk diukur. Keupayaan ujian yang amat terhad serta kesukaran mengakses beberapa kawasan tertentu bermakna angka-angka ini perlu ditafsirkan dengan berhati-hati.

Ituri, yang menjadi pusat penularan wabak ini, mencatatkan lebih 90 peratus daripada jumlah kes disyaki yang dilaporkan. Bilangan kes juga semakin meningkat di zon kesihatan Mongbwalu dan Rwampara.

“Kami bekerja dalam konteks yang amat mencabar,” kata Dr Alan Gonzalez, Timbalan Pengarah Operasi Doctors Without Borders. “Sejak dua minggu lalu, keupayaan kami untuk membawa bekalan dan pasukan ke kawasan terjejas terhalang oleh sekatan perjalanan udara dan darat.”

Kapasiti ujian masih belum mencukupi dan ratusan sampel masih menunggu untuk diproses di makmal. Kemudahan pengasingan serta kapasiti penjagaan pesakit juga masih tidak memadai. Keadaan ini menghalang usaha memperluas tindak balas dengan cepat, selain menimbulkan kebimbangan dan ketakutan yang berasas dalam kalangan masyarakat.
Dr Alan Gonzalez, Timbalan Pengarah Operasi

Menurut beliau, kapasiti ujian masih belum mencukupi dan ratusan sampel masih menunggu untuk diproses di makmal. Kemudahan pengasingan serta kapasiti penjagaan pesakit juga masih tidak memadai. Keadaan ini menghalang usaha memperluas tindak balas dengan cepat, selain menimbulkan kebimbangan dan ketakutan yang berasas dalam kalangan masyarakat.

Pada masa ini, hanya sebilangan kecil organisasi khusus — termasuk Doctors Without Borders — yang terlibat dalam tindak balas di Ituri, sedangkan keperluan penduduk jauh melebihi kapasiti yang tersedia.

Di Ituri, pasukan Doctors Without Borders telah memulakan pembinaan pusat rawatan Ebola (ETC) dengan kapasiti 65 katil untuk menerima pesakit yang disahkan dijangkiti dan pesakit yang disyaki menghidap penyakit tersebut. Kami juga menyokong Kementerian Kesihatan dalam penjagaan dan pengasingan pesakit disyaki di Hospital Rujukan Am Mongbwalu serta Hospital Rujukan Am Fataki.

Di Bunia, ibu negeri Ituri, Doctors Without Borders telah mewujudkan sistem pengasingan untuk pesakit di Hospital Salama. Kami turut menyokong beberapa kemudahan kesihatan di dalam dan sekitar bandar itu bagi memperkukuh rawatan selamat untuk kes disyaki dan disahkan. Pasukan kami juga sedang memperkukuh langkah pencegahan dan kawalan jangkitan. Usaha ini amat penting untuk mencegah jangkitan yang diperoleh di hospital, khususnya ketika perkhidmatan kesihatan berada di bawah tekanan yang sangat besar.

Pada masa yang sama, pasukan perubatan, logistik dan promosi kesihatan turut menyokong aktiviti pengawasan epidemiologi serta kesedaran komuniti. Kerjasama rapat dengan masyarakat amat penting kerana di banyak kawasan, kebimbangan, ketakutan dan penyebaran khabar angin menyukarkan usaha tindak balas, malah boleh menyebabkan orang ramai lambat mendapatkan rawatan.

MSF teams setting up an isolation tent as part of the Ebola disease outbreak response

Pasukan Doctors Without Borders, dengan sokongan Kementerian Kesihatan, sedang menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan (IPC) di Klinik Salama di Bunia sebagai sebahagian daripada respons terhadap Ebola. Aktiviti ini merangkumi kerja-kerja nyah cemar di fasiliti berkenaan, pemasangan khemah pengasingan, pengukuhan kapasiti triage dan pengasingan, serta latihan kepada pekerja kesihatan mengenai penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) secara selamat dan prosedur kebersihan. Doctors Without Borders turut menyokong kesinambungan perkhidmatan kesihatan bukan Ebola di klinik tersebut. DRC, 2026. © Anna SCHÖNHOFER/MSF

Di sebalik wabak Ebola itu sendiri, pasukan Doctors Without Borders turut melihat bagaimana wabak ini menyukarkan akses penduduk kepada perkhidmatan kesihatan. Di beberapa kawasan, pesakit yang menghidap masalah kesihatan lain tidak lagi mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerana takut kepada Ebola atau langkah-langkah pengasingan. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan senyap kecemasan kesihatan lain.

Di North Kivu, respons sedang disusun berdasarkan sistem yang telah diwujudkan susulan beberapa epidemik yang melanda wilayah itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk penyakit Ebola, Mpox dan kolera. Di Goma, sebuah pusat rawatan Ebola (ETC) dengan kapasiti 80 katil telah didirikan, dan pesakit pertama telah pun dimasukkan. Unit pengasingan juga telah diwujudkan untuk individu yang disyaki menghidap penyakit ini di beberapa fasiliti kesihatan yang disokong Doctors Without Borders, termasuk di Walikale, Mweso dan Rutshuru, serta di Hospital Kyeshero. Di Butembo, Doctors Without Borders telah menghantar pasukan perubatan-logistik untuk menilai keperluan penduduk dan mengenal pasti kawasan respons, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Di South Kivu, di mana beberapa kes telah disahkan, pasukan Doctors Without Borders telah mula mendirikan dua pusat rawatan Ebola di Bukavu dan Lwiro. Pada masa yang sama, kami turut melatih pekerja kesihatan dalam langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan di kedua-dua bandar tersebut.

Cargo of medical equipment and medicines ready to be flown to the DRC.

Kargo peralatan perubatan dan ubat-ubatan yang sedia diterbangkan ke DRC. Pasukan logistik Doctors Without Borders telah menghantar lebih satu tan bekalan perubatan ke timur DRC sebagai sebahagian daripada respons terhadap wabak penyakit Ebola. Perancis, 26 Mei 2026. © Delphine Lapeyre/MSF

Respons perubatan kecemasan sedang digerakkan

“Wabak ini melanda wilayah yang sudah lama terjejas teruk akibat konflik berpanjangan dan perpindahan besar-besaran,” jelas Ewald Stals, wakil Doctors Without Borders di DRC.

“Di Ituri, serta di North Kivu dan South Kivu, keadaan tidak selamat telah memaksa berjuta-juta orang meninggalkan kediaman mereka untuk mencari perlindungan. Pergerakan penduduk yang berterusan ini diburukkan lagi oleh sistem kesihatan yang rapuh dan kekurangan pembiayaan,” kata Stals. “Di beberapa fasiliti kesihatan, kapasiti kemasukan dan pengasingan pesakit sudah hampir mencapai hadnya. Dalam keadaan ini, pengenalpastian kes dengan pantas, pengesanan kontak, serta pengasingan orang yang sakit menjadi amat sukar, sekali gus meningkatkan risiko penyakit ini terus merebak.”

Doctors Without Borders sedang melakukan segala yang termampu untuk menyokong respons ini. Meskipun berdepan kekangan keselamatan dan akses — termasuk penutupan sempadan serta pembatalan penerbangan — pasukan Doctors Without Borders terus bekerja tanpa henti bagi memastikan bekalan penting dapat terus dihantar ke kawasan terjejas. Beberapa ratus tan bekalan perubatan dan logistik telah pun dihantar ke Ituri dan North Kivu.

Ketika jumlah kes terus meningkat, dan respons masih dipertingkatkan, minggu-minggu mendatang akan menjadi tempoh yang amat penting untuk mengukuhkan kapasiti rawatan, mempercepat ujian, serta mengekalkan akses kepada perkhidmatan kesihatan asas di kawasan terjejas.


Sudikah anda menyokong usaha kami?

Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.