Lubnan: Doctors Without Borders bantu pulihkan perkhidmatan penting ketika ancaman ketenteraan dan pemindahan paksa berterusan
Seorang ketua pasukan Air dan Sanitasi (WATSAN) Doctors Without Borders memeriksa kualiti air sebagai sebahagian daripada operasi penghantaran air menggunakan lori tangki di Dahiyeh, yang menerima 50,000 liter air setiap hari. Lubnan, 2026. © Kristen Poels/MSF
Dahiyeh, sebuah kawasan pinggir bandar yang padat penduduk di selatan Beirut, Lubnan, kini seakan-akan menjadi garis hadapan di kawasan bandar. Kawasan ini mengalami kemusnahan meluas akibat ratusan serangan udara Israel sejak ketegangan memuncak pada 2 Mac 2026.
Penduduk di kawasan ini juga berulang kali diarahkan berpindah. Arahan terbaharu dikeluarkan pada 1 Jun, apabila tentera Israel mengancam untuk melancarkan serangan ke atas kawasan tersebut, sekali lagi memaksa ramai penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Doctors Without Borders, yang berada di lapangan untuk membantu memulihkan perkhidmatan asas, bimbang terhadap pemindahan paksa yang berterusan serta ketiadaan jaminan keselamatan bagi penduduk.
Keadaan di Dahiyeh menunjukkan keperluan mendesak untuk menangani bukan sahaja keperluan kemanusiaan segera, tetapi juga kesan jangka panjang akibat peningkatan ketegangan di Lubnan.Guilherme Bothelo, Penyelaras Doctors Without Borders Coordinator untuk Projek Beirut Kecemasaan
Dahiyeh, yang suatu ketika dahulu merupakan kawasan bandar yang hidup dan rancak, kini menanggung kesan berpanjangan akibat serangan Israel yang berulang pada pelbagai peringkat. Kemusnahan yang berlaku memberi kesan besar terhadap jalan raya, perkhidmatan awam dan infrastruktur air, menyebabkan ribuan penduduk tidak lagi mempunyai akses yang boleh diharap kepada perkhidmatan asas, sekali gus mendedahkan komuniti kepada risiko kesihatan yang semakin meningkat.
Sejak konflik bermula, kebanyakan fasiliti kesihatan di kawasan ini turut terjejas. Pusat kesihatan primer dan hospital kehilangan staf akibat pemindahan, mengalami kerosakan, atau terpaksa ditutup susulan risiko keselamatan yang serius. Keadaan ini terus mengehadkan akses penduduk kepada rawatan kesihatan.
Jamila, seorang ibu berusia 50 tahun yang dipindahkan, menghabiskan dua bulan tinggal di khemah berhampiran Dahiyeh tanpa pendapatan dan tanpa sokongan, bersama anak lelakinya, Wissam, berusia 14 tahun, yang mengalami masalah pertuturan.
“Tiada siapa peduli tentang saya,” katanya. “Berhari-hari saya tidak mendapat makanan atau air. Saya juga tidak dapat mandi.”
Keadaan Jamila bukanlah sesuatu yang luar biasa. Di seluruh Dahiyeh, ribuan keluarga yang dipindahkan berdepan kehilangan kediaman, selain terputus daripada rangkaian sokongan yang amat diperlukan, sehingga usaha untuk membina semula kehidupan terasa begitu jauh daripada capaian.
Dengan kerjasama Doctors Without Borders, pekerja perbandaran sedang menjalankan kerja pembaikan intensif ke atas saluran kumbahan di Burj El Barajneh selepas infrastruktur air rosak akibat serangan Israel pada Mac 2026. Lubnan, 2026. © Kristen Poels/MSF
Tindak Balas Doctors Without Borders
Sebagai tindak balas, Doctors Without Borders memperluas intervensi kecemasannya pada Mac dengan mengerahkan sembilan klinik bergerak bagi menyampaikan rawatan perubatan secara langsung kepada komuniti yang tidak lagi dapat mengakses fasiliti kesihatan. Unit bergerak ini menyediakan pelbagai perkhidmatan penting, termasuk konsultasi perubatan bagi sokongan kesihatan mental, rawatan untuk keadaan akut dan kronik, kesihatan seksual dan reproduktif, serta vaksinasi. Dalam tempoh enam minggu lalu, pasukan Doctors Without Borders telah menjalankan lebih 2,730 konsultasi perubatan.
Malangnya, separuh daripada klinik bergerak kami terpaksa dihentikan sementara berikutan kebimbangan keselamatan dan pergerakan penduduk baharu ke luar Dahiyeh. Klinik-klinik ini akan kembali beroperasi sebaik sahaja keadaan mengizinkan.
Pada masa yang sama, Doctors Without Borders menyokong pemulihan enam pusat kesihatan primer (PHCC) yang rosak akibat serangan Israel, selain mengagihkan barangan bukan makanan dan kit kebersihan kepada penduduk terjejas. Doctors Without Borders juga melaksanakan aktiviti air, sanitasi dan kebersihan (WASH) dengan penyelarasan rapat bersama pihak perbandaran. Usaha ini bertujuan memulihkan akses kepada air selamat dan meningkatkan tahap sanitasi bagi lebih 30,000 orang. Langkah ini sekali gus membantu mengurangkan risiko segera penularan penyakit dan memperbaiki keadaan hidup penduduk secara lebih menyeluruh.
“Golongan rentan, termasuk kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada, amat terdedah kepada risiko apabila perkhidmatan asas semakin sukar dicapai atau tidak lagi berfungsi dengan baik,” kata Guilherme Bothelo, Penyelaras Projek Kecemasan Beirut Doctors Without Borders.
“Keupayaan Doctors Without Borders untuk membawa rawatan perubatan lebih dekat kepada komuniti amat penting, khususnya bagi melengkapi perkhidmatan sedia ada ketika sistem berada dalam tekanan. Pada masa yang sama, matlamat kami adalah memastikan sokongan ini kekal bersifat sementara, sementara pihak berkuasa kesihatan tempatan memulihkan dan mengekalkan keupayaan mereka untuk menyediakan rawatan secara bebas.”
Pemandangan kerosakan besar di dalam Pusat Kesihatan Primer Perbandaran Haret Hreik susulan serangan Israel pada Mac 2026. Lubnan, 2026. © Kristen Poels/MSF
Halangan untuk pulang dengan selamat
Sejak Mac, ramai keluarga di seluruh negara terpaksa meninggalkan kediaman mereka berkali-kali, manakala sebahagian yang lain masih hidup dalam keadaan serba tidak menentu. Ketika arahan pemindahan paksa oleh tentera Israel terus mencetuskan pergerakan penduduk secara berulang, kebimbangan serius masih timbul tentang sama ada penduduk benar-benar boleh pulang dengan selamat ke tempat asal mereka.
Kemusnahan meluas terhadap perkhidmatan awam, khususnya sistem air, fasiliti kesihatan dan infrastruktur penting, menjadi halangan besar kepada usaha pemulihan. Tanpa akses yang boleh diharap kepada perkhidmatan ini, kepulangan ke rumah bukan sahaja sukar dilaksanakan, malah tidak selamat bagi ramai keluarga.
“Keadaan di Dahiyeh menunjukkan keperluan mendesak untuk menangani bukan sahaja keperluan kemanusiaan segera, tetapi juga kesan jangka panjang akibat peningkatan ketegangan di Lubnan,” kata Guilherme Bothelo.
“Ketika serangan Israel meningkat dengan ketara di selatan negara itu dan di Bekaa, kami bimbang keadaan seperti ini akan terus berulang, memaksa lebih ramai orang meninggalkan kediaman mereka dan terus menghakis keadaan yang diperlukan untuk kehidupan yang bermaruah dalam komuniti yang terjejas.
“Keadaan ini akan memberi tekanan yang lebih besar kepada sistem kesihatan yang sudahpun lemah akibat krisis berturut-turut.”
Sudikah anda menyokong usaha kami?
Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.