Skip to main content

Gaza: Kehancuran nyawa dan tempat tinggal menyekat kepulangan selamat di Rafah

Ambulance parked in Rafah city, southern Gaza.

Sebuah ambulans kelihatan berhenti di bandar Rafah, selatan Gaza. Wilayah Palestin, Januari 2025. © MSF

"Perkhidmatan kesihatan – termasuk bentuk bantuan kemanusiaan yang lain – serta usaha membina semula bandar ini amat diperlukan bagi mengembalikan kehidupan di Rafah. Namun, keadaan di kebanyakan kawasan masih terlalu berbahaya untuk penduduk pulang," kata Pascale Coissard, Penyokong Penyelaras Kecemasan Doctors Without Borders.

“Ketika dalam perjalanan melawat bekas klinik Doctors Without Borders di Shabboura, Rafah, kami melihat seorang kanak-kanak bermain dengan sebutir peluru di kawasan Mawasi. Walaupun letupan bom tidak lagi kedengaran, bahaya tetap wujud,” tambah beliau.

Penduduk kini berusaha membina semula kehidupan daripada runtuhan. Rafah musnah teruk – rumah, kedai, jalan raya dan fasiliti kesihatan ranap; manakala sistem bekalan elektrik dan air turut rosak. Kawasan ini juga masih tidak selamat disebabkan peluru meriam yang tidak meletup berselerakan di celah-celah runtuhan bangunan, dan proses pembersihannya dijangka mengambil masa bertahun-tahun.

Pada Mei 2024, Rafah mencatatkan kehadiran pelarian Palestin paling tinggi di seluruh Semenanjung Gaza, dengan anggaran 1.5 juta orang berlindung di dalam khemah dan tempat perlindungan sementara. Dalam keadaan yang begitu daif dan tidak berperikemanusiaan ini, penduduk terdedah kepada wabak penyakit, kekurangan zat makanan, serta tekanan psikologi akibat pemindahan paksa yang berulang kali.

Pasukan Doctors Without Borders yang bertugas di Rafah telah menyediakan perkhidmatan kesihatan asas dan sokongan kesihatan mental di klinik Shabboura, di samping membantu penjagaan pediatrik dan materniti di Hospital Emirati di bawah Kementerian Kesihatan. Namun, segala aktiviti terpaksa dihentikan dan pasukan dipindahkan susulan serangan bom yang berterusan dan arahan pemindahan oleh pihak tentera Israel. Ancaman pencerobohan darat yang dibimbangi sejak sekian lama akhirnya menjadi kenyataan pada 6 Mei 2024.

Operasi ketenteraan oleh Israel telah menyebabkan Rafah menjadi kosong, kemusnahan besar-besaran ke atas bandar tersebut, serta penutupan lintasan Rafah—yang seterusnya menyukarkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke seluruh Semenanjung Gaza. Rafah juga merupakan tempat tinggal ramai petugas Doctors Without Borders, yang akhirnya turut terpaksa melarikan diri ke kawasan lain dalam Gaza.

“Amat menyakitkan apabila kembali ke tempat yang dahulunya penuh dengan kehidupan,” ujar Nadia Abo Mallouh, Penyokong Penyelaras Perubatan Doctors Without Borders, yang pernah bertugas di Hospital Emirati.

Kami langsung tidak dapat mengenal pasti jalan-jalan yang dahulunya menghala ke Hospital Emiriah. Sukar untuk digambarkan betapa hiba hati melihat sebuah hospital yang pernah menjadi nadi kehidupan kini sunyi sepi, tanpa sebarang tanda kehidupan — segalanya musnah dan ranap sama sekali.
Nadia Abo Mallouh, Penyelaras Perubatan
A woman walking through the ruins of Rafah city, southern Gaza.

Penyelaras Sokongan Perubatan Doctors Without Borders melangkah menyusuri runtuhan kota Rafah, Gaza Selatan. Wilayah Palestin, Januari 2025. © MSF

Akibat kemusnahan infrastruktur yang teruk, perkhidmatan asas seperti kesihatan dan kebajikan kini lumpuh sepenuhnya. Ramai penduduk yang cuba kembali ke Rafah terpaksa berdepan realiti pahit – kediaman mereka musnah, malah ada kawasan kejiranan yang langsung tidak dapat dikenali lagi. Proses untuk kembali hidup seperti sediakala dijangka mengambil masa yang amat panjang dan berliku.

"Sejujurnya, pemandangan di Rafah amat mengerikan – kemusnahan di mana-mana,” luah Hadi Abo-Eneen, pengawal keselamatan Doctors Without Borders yang telah dipindahkan dari bandar Rafah pada Mei 2024 dan kembali ke kawasan tersebut selepas gencatan senjata diumumkan.

"Saya terus berjalan, berharap dapat menjumpai sesuatu dari rumah saya. Tapi semuanya musnah. Saya benar-benar terkejut – ini adalah seluruh hidup saya. Rumah itu menyimpan memori keluarga saya, isteri dan anak-anak. Segala barang keperluan, pakaian, pinggan mangkuk, kenangan perkahwinan – semuanya hilang,” katanya dalam nada sebak.

Buat masa ini, ribuan penduduk masih berteduh di khemah-khemah sementara, terutamanya di kawasan pantai Mawasi. Di situ, mereka hidup tanpa perlindungan sempurna, tanpa makanan dan air bersih yang mencukupi, serta hanya mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan kesihatan. Dalam masa yang sama, rakyat Palestin di utara Gaza turut berdepan nasib serupa – selepas pencerobohan tentera Israel yang ganas mengakibatkan kemusnahan total kepada bandar tersebut.



Sudikah anda sokong tindak balas kecemasan kami?

Bantu kami menyediakan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa semasa kecemasan dengan membuat derma hari ini.