Gaza: Keganasan dan pembunuhan di pusat pengagihan makanan terus meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa yang terselamat, setahun kemudian
Staf Doctors Without Borders memeriksa keadaan pesakit di pusat penjagaan kesihatan primer Al Mawasi, Khan Younis, Gaza, Wilayah Palestin yang Diduduki, 2026. © Nour Alsaqqa/MSF
Baitulmaqdis / Amman, 3 Jun 2026 – Setahun lalu, apa yang disebut sebagai Gaza Humanitarian Foundation (GHF) mula mengendalikan pusat pengagihan makanan bercorak ketenteraan di seluruh Semenanjung Gaza, menggantikan sistem pengagihan bantuan yang diselaraskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
GHF, yang dikendalikan oleh Israel dengan sokongan kewangan daripada Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu lain, ditutup dalam tempoh enam bulan selepas keganasan berkaitannya membunuh dan mencederakan ribuan orang.¹ Doctors Without Borders masih merawat ramai pesakit yang terkesan akibat keganasan ini, termasuk mereka yang hidup dengan trauma dan kecederaan yang mungkin kekal sepanjang hayat.
Ketika pelbagai rancangan baharu untuk Semenanjung Gaza terus dibincangkan, Doctors Without Borders mengingatkan Israel dan Amerika Syarikat bahawa pemiliteran bantuan kemanusiaan berisiko mencetuskan keganasan dan kemudaratan yang serius, dan tidak boleh sekali-kali diulangi.
“Seperti yang didokumentasikan oleh MSF² melalui bukti perubatan, orang ramai yang mencari makanan dalam keadaan terdesak dan terkepung telah berdepan tahap keganasan yang mengerikan, sama ada secara bersasar mahupun secara rambang,” kata Joan Tubau, Ketua Misi Doctors Without Borders bagi Wilayah Palestin yang Diduduki.
“Kanak-kanak ditembak di dada ketika cuba mendapatkan makanan, orang ramai remuk atau sesak nafas dalam kejadian rempuhan, dan seluruh kumpulan manusia ditembak di pusat pengagihan. Hari ini, ramai pesakit yang terkesan akibat GHF bergantung sepenuhnya kepada bantuan kebajikan dan dapur komuniti kerana masalah pergerakan, selain ketidakupayaan untuk bekerja dan menyara keluarga mereka.”
GHF ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk Gaza selepas berbulan-bulan Israel melaksanakan sekatan penuh, sekali gus menggantikan kira-kira 400 lokasi bantuan sedia ada. Empat lokasi GHF mula beroperasi pada akhir Mei 2025 dan “dikawal keselamatannya” oleh kontraktor bersenjata swasta dari Amerika Syarikat, manakala tentera Israel mengekalkan kawalan ke atas kawasan perimeter yang lebih luas.
Antara Jun hingga Oktober 2025, pasukan Doctors Without Borders merekodkan sekurang-kurangnya 32 kematian dan merawat 1,885 pesakit yang mengalami kecederaan di pusat penjagaan kesihatan primer Al Attar dan Al Mawasi milik Doctors Without Borders di Khan Younis.
Walaupun hanya wujud sementara, skim bantuan yang memudaratkan ini membawa kesan sosial yang lebih luas apabila ia memaksa orang ramai hidup dalam ketakutan melampau, kekurangan dan persaingan untuk mendapatkan bantuan, sehingga mencetuskan trauma serta mengubah dinamika dalam komuniti.Nicholas Papachrysostomou, Penyelaras Kecemasaan Doctors Without Borders
Staf Doctors Without Borders memeriksa kecederaan Saad Hussein, yang terpaksa hidup dengan fiksator luaran selepas cedera pada 2025 ketika pengagihan makanan oleh Gaza Humanitarian Foundation. Pusat penjagaan kesihatan primer Al Mawasi, Khan Younis, Gaza, Wilayah Palestin yang Diduduki, 2026. © Nour Alsaqqa/MSF
“Rakan saya dibunuh di depan mata saya sendiri. Bayangan itu masih menghantui saya,” kata Karim, seorang tukang gunting rambut. Beliau mengalami kecederaan yang mengubah hidupnya apabila saraf di kakinya rosak secara kekal. “Kami berdua ditangkap dan digari dengan tangan di belakang oleh tentera Israel. Sebuah dron dipanggil untuk berlegar di atas saya, dan empat lelaki diarahkan untuk membawa saya pergi.”
Seorang lagi pesakit, Muhammad, ditembak sembilan kali. Beliau berharap dapat berjalan semula, namun masih menanggung kesakitan kronik dan memerlukan fisioterapi.
“Makanan tidak pernah cukup untuk semua orang. Ramai orang remuk dalam kesesakan kerana pintu besi yang sempit itu tidak cukup lebar. Saya melihat ramai yang terkorban, termasuk wanita. Seorang ditembak di dada dan seorang lagi di belakang. Mereka melepaskan tembakan dari pelbagai arah. Tentera Israel yang menembak saya berada di atas sebuah bukit,” katanya. “Ketika terbaring di atas tanah, saya mengangkat tangan dan merayu, ‘Tolong berhenti, cukuplah.’ Tetapi dia menembak tangan saya, seolah-olah sekadar untuk berseronok.”
Mustafa, seorang pemandu teksi dari Rafah, mengalami jangkitan pada tumit yang kemudian mereput selepas luka tembakan mematahkan dua tulangnya.
“GHF amat mengaibkan. Ribuan orang akan berlari ke arahnya, kemudian IDF akan melepaskan tembakan ke arah kami dari kedudukan tetap. Dua pertiga daripada orang cedera di Gaza yang saya kenali ialah kes yang berlaku di GHF,” kata Mustafa. Anak saudaranya yang berusia 17 tahun ditembak di kepala dan terbunuh akibat tembakan penembak hendap.
Pesakit menunggu giliran di pusat penjagaan kesihatan primer Al Mawasi Doctors Without Borders, di Semenanjung Gaza, Wilayah Palestin yang Diduduki, 2026. © Nour Alsaqqa/MSF
Kesaksian ini mencerminkan pengalaman ramai pesakit lain yang terpaksa hidup dengan fiksator luaran, atau masih memerlukan pemantauan perubatan yang rapi dan berterusan.
“Walaupun hanya wujud sementara, skim bantuan yang memudaratkan ini membawa kesan sosial yang lebih luas apabila ia memaksa orang ramai hidup dalam ketakutan melampau, kekurangan dan persaingan untuk mendapatkan bantuan, sehingga mencetuskan trauma serta mengubah dinamika dalam komuniti,” kata Nicholas Papachrysostomou, Penyelaras Kecemasan Doctors Without Borders untuk Gaza.
GHF turut memainkan peranan penting dalam krisis malnutrisi yang dicetuskan oleh Israel. Pengurangan drastik pusat pengagihan makanan dan bantuan, ditambah pula dengan kepungan menyeluruh, keganasan yang semakin meningkat, perpindahan besar-besaran dan kemusnahan kemudahan kesihatan, secara langsung menyumbang kepada kebuluran yang diisytiharkan pada pertengahan 2025.³ Krisis ini membawa kesan yang amat buruk kepada kumpulan rentan seperti wanita hamil, bayi baru lahir dan kanak-kanak.
“Tidak ada apa-apa tentang GHF yang boleh dianggap sebagai penyelesaian kemanusiaan. Setahun kemudian, skala kemudaratan yang menimpa orang ramai di pusat pengagihan GHF, tanpa sebarang kebertanggungjawaban, menuntut satu siasatan bebas. Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 22 Oktober 2025 mengukuhkan kewajipan Israel untuk memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan, serta mengecam model bantuan, termasuk GHF, yang gagal meringankan penderitaan,” kata Joan Tubau.
Doctors Without Borders menggesa Israel, Amerika Syarikat dan semua pihak yang mempunyai pengaruh supaya memastikan bantuan tidak dimiliterkan, boleh diakses, dan berlandaskan prinsip kebebasan, kesaksamaan, keberkecualian dan kemanusiaan. Bantuan kemanusiaan mesti dapat sampai kepada semua orang awam dengan selamat, berdasarkan tahap kerentanan dan keperluan mereka, di mana sahaja mereka memilih untuk tinggal, serta pada skala yang mencukupi.
*Nama pesakit telah ditukar bagi melindungi identiti mereka.
1 Tiada angka kumulatif rasmi mengenai jumlah keseluruhan korban dan kecederaan yang dikaitkan dengan GHF. OHCHR menyatakan bahawa GHF menyebabkan lebih 2,140 kematian setakat September 2025 dan lebih 4,000 kecederaan setakat Ogos 2025, namun angka ini dianggarkan jauh lebih rendah daripada jumlah sebenar. Korban dan kecederaan ini turut merangkumi insiden yang berlaku di laluan bekalan, ketika orang ramai yang terdesak cuba mendapatkan makanan.
2 Laporan Doctors Without Borders (MSF) (Ogos 2025).
Sudikah anda menyokong usaha kami?
Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.