Skip to main content

Sudan: Doctors Without Borders gesa bantuan segera untuk menyokong pelarian yang melarikan diri ke Chad

MSF staff at Tine transit camp, Chad

Staf Doctors Without Borders di Kem Tine, Chad (2024). Foto: Hareth Mohammed/MSF.

N'Djamena – Di kem transit Tine dan kem pelarian berdekatan di timur Chad, berhampiran sempadan Sudan, Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) kini mempertingkatkan bantuan kepada pelarian Sudan yang baru tiba, susulan serangan dan keganasan yang semakin memuncak di Darfur Utara.

Sejak akhir April, dianggarkan seramai 40,000 pelarian—kebanyakannya dari El Fasher dan kawasan kem pelarian sekitar—telah tiba di Tine, dalam wilayah Wadi Fira. Golongan ini, yang berada dalam keadaan amat terdedah, kini terpaksa bertahan dalam suasana sesak yang menyeksakan, dengan akses yang sangat terhad kepada keperluan asas seperti air bersih, makanan dan perlindungan.

Ramai yang tiba dalam keadaan kekurangan zat makanan dan mengalami tekanan psikologi yang mendalam akibat kekejaman yang disaksikan di Darfur Utara dan sepanjang laluan pelarian ke Chad. Kebanyakkan mereka ialah wanita dan kanak-kanak dari El Fasher dan Kem Zamzam untuk pelarian dalaman. Mereka telah berbulan-bulan mengharungi kebuluran selepas kawasan mereka dikepung oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF), manakala keadaan di Kem Zamzam telah mencapai tahap kebuluran menurut Jawatankuasa Kajian Kebuluran (Famine Review Committee).

“Kami berjalan sangat jauh untuk sampai ke sini. Kami merentasi beberapa buah kampung demi menyelamatkan diri daripada keganasan dan pengeboman. Sudah beberapa hari kami berada di sini tetapi masih sukar mendapatkan makanan dan air. Saya memakai pakaian yang sama selama beberapa hari,” kata seorang pelarian wanita berusia 20 tahun.

Kem transit Tine kini menempatkan lebih 18,000 orang, kebanyakannya tidur di atas tanah yang panas terik dalam suhu mencecah 40°C. Mereka tidak mempunyai tempat berteduh dan bekalan air serta makanan amat terhad, walaupun masyarakat setempat cuba menghulurkan bantuan seadanya.

Kami berjalan sangat jauh untuk sampai ke sini. Kami merentasi beberapa kampung untuk tiba di Tine, demi menyelamatkan diri daripada keganasan dan pengeboman. Sudah beberapa hari kami berada di sini, tetapi masih bergelut untuk mendapatkan makanan dan air. Pakaian yang kami pakai ini sudah berhari-hari tidak berganti.
seorang pelarian wanita berusia 20 tahun

Doctors Without Borders telah meningkatkan aktiviti perubatan dan kemanusiaannya di kem transit serta di sempadan Tine bagi memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan asas. Selain menjalankan saringan pemakanan dan pemberian vaksin di pos sempadan, sepanjang beberapa minggu, pasukan Doctors Without Borders telah melaksanakan lebih 900 rundingan perubatan setiap minggu di pos kesihatan di kem transit.

Di pos kesihatan ini, kadar kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun mencecah 29 peratus, dengan sembilan peratus daripadanya mengalami kekurangan zat makanan yang teruk.

Usaha vaksinasi rutin turut diberi keutamaan susulan pengesanan kes campak di kem tersebut. Kempen vaksinasi besar-besaran sedang dilaksanakan. Rawatan untuk wanita hamil dan mangsa keganasan seksual juga disediakan di pos kesihatan.

Doctors Without Borders turut menubuhkan sistem rujukan untuk pesakit kritikal ke hospital dan merancang untuk membina 50 tandas kecemasan tambahan. Pada masa yang sama, agihan makanan terapeutik dan barangan keperluan sedang dipersiapkan.

Organisasi ini kini mengagihkan sebanyak 60,000 liter air setiap hari, namun jumlah ini hanyalah separuh daripada keperluan sebenar semasa.

“Pelarian Sudan tiba dalam keadaan lemah dan letih, ramai yang mengalami kekurangan zat makanan dan memerlukan bantuan segera. Kami menyeru kepada penderma, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan organisasi kemanusiaan lain agar meningkatkan sokongan dari segi makanan, tempat perlindungan, sanitasi serta rawatan perubatan termasuk penjagaan kesihatan mental. Tindak balas kemanusiaan yang ada kini masih belum mencukupi. Musim hujan yang bakal tiba dijangka memburukkan lagi keadaan hidup, menyebarkan penyakit serta meningkatkan ketidakamanan makanan dan kekurangan sanitasi,” kata Claire San Filippo, Penyelaras Kecemasan Doctors Without Borders untuk Sudan.

Tindak balas kemanusiaan ketika ini masih belum mencukupi, dan musim hujan yang bakal tiba dijangka memburukkan lagi keadaan hidup, menyebarkan penyakit serta meningkatkan ketidakjaminan makanan dan kekurangan sanitasi.
Penyelaras kecemasan

Walaupun keperluan di kem transit Tine dan kem pelarian lain di Wadi Fira amat mendesak, Doctors Without Borders menyaksikan pengagihan bantuan yang amat terhad, meskipun terdapat solidariti yang kuat daripada komuniti tuan rumah dan organisasi akar umbi. Krisis kewangan yang melanda keseluruhan sektor kemanusiaan kini dirasai dengan jelas di timur Chad. Sementara itu, konflik bersenjata di Sudan masih berlarutan tanpa henti, dan semakin ramai penduduk berharap untuk melintasi sempadan ke Chad.

Doctors Without Borders turut beroperasi di beberapa kem pelarian lain di Wadi Fira seperti Kem Iridimi, lokasi penempatan semula bagi pelarian dari kem transit Tine. Bagi menangani keadaan kritikal di Kem Iridimi yang telah mencapai kapasiti maksimum, Doctors Without Borders baru-baru ini mula menyokong pusat kesihatan Iridimi. Tumpuan utama adalah memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan asas, program vaksinasi, pengukuhan pemantauan epidemiologi, kelancaran aliran pesakit, penguatan sistem rujukan, serta peningkatan tahap kebersihan di pusat kesihatan tersebut.

Di samping itu, Doctors Without Borders turut mengendalikan klinik bergerak di sepanjang sempadan Chad–Sudan, termasuk di kawasan seperti Kulbus dan Birak.

Situasi kemanusiaan di sempadan Chad–Sudan kini sekali lagi berada di ambang krisis. Sejak April 2025, lebih 70,000 pelarian baharu telah tiba di Chad. Negara ini kini menampung lebih sejuta pelarian, termasuk lebih 800,000 pelarian Sudan yang tiba sejak konflik meletus lebih dua tahun lalu.



Sudikah anda menyokong usaha kami?

Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.