Skip to main content

Serangan dron di sempadan Chad-Sudan: Doctors Without Borders merawat 116 mangsa cedera dalam tempoh sebulan

Hospital compound Tine

Orang ramai berjalan di kawasan pekarangan sebuah hospital di Tiné, Chad, Mac 2026. © MSF

Sejak awal Mei, seramai 116 orang yang cedera akibat serangan ini telah dirawat di Hospital Tiné. Antara 17 hingga 26 Mei sahaja, 69 pesakit cedera dimasukkan ke hospital. Pada 24 Mei, satu serangan mengenai sebuah kafeteria yang sesak di pasar Tina, menyebabkan 35 orang cedera tiba di hospital pada hari yang sama. Tiga orang disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, manakala beberapa lagi dilaporkan maut di lokasi kejadian. Wanita dan kanak-kanak turut menjadi antara mangsa.

“Kami menerima pesakit selepas mereka menempuh perjalanan berjam-jam, selalunya dalam keadaan yang amat sukar dan kritikal,” kata Issiaka Abdou, Ketua Misi Doctors Without Borders di Chad. “Kecederaan yang kami rawat selalunya amat parah, termasuk melecur teruk, trauma akibat letupan dan pelbagai kecederaan lain. Baru-baru ini, kami merawat seorang kanak-kanak yang mengalami lecur teruk pada muka, lengan dan kaki. Setiap kelewatan dalam proses pemindahan mengurangkan peluang pesakit paling kritikal untuk terus hidup.”

Perubahan profil pesakit yang membimbangkan

Pasukan perubatan Doctors Without Borders juga melihat perubahan yang membimbangkan dalam profil pesakit yang diterima.

“Sejak beberapa hari kebelakangan ini, kami melihat semakin ramai wanita dan kanak-kanak dalam kalangan mereka yang cedera,” kata Issiaka Abdou. “Pada 26 Mei, semua pesakit yang diterima susulan serangan dron ialah orang awam. Ini menunjukkan betapa terdedahnya penduduk yang tinggal di kawasan sempadan ini kepada keganasan.”

Wilayah sempadan antara Chad dan Sudan terjejas teruk akibat konflik di Darfur, perpindahan penduduk, serta akses yang terhad kepada perkhidmatan asas, termasuk penjagaan kesihatan. Serangan yang berulang kali berlaku semakin memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah pun kritikal.

“Fasiliti kesihatan di wilayah ini beroperasi dalam keadaan yang amat mencabar, dengan keperluan yang tinggi dan sumber yang terhad,” kata Cissé Boucari Hamadoum, Penyelaras Projek Doctors Without Borders di Tiné. “Walaupun berdepan kekangan ini, pasukan kami terus menyediakan rawatan perubatan kecemasan dan memberi respons terhadap kemasukan pesakit cedera secara beramai-ramai, dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa kesihatan Chad.”

Aktiviti Doctors Without Borders

Doctors Without Borders menyediakan rawatan perubatan kepada pesakit di Hospital Tiné dan, apabila diperlukan, mengatur rujukan ke fasiliti kesihatan lain, termasuk di Abéché, bagi kes-kes yang paling serius.

Orang awam tidak seharusnya menanggung akibat konflik. Penduduk mesti dilindungi, dan mereka yang cedera perlu mendapat akses kepada rawatan perubatan dengan segera dan selamat. Sejak perang di Sudan tercetus pada April 2023, lebih 900,000 pelarian Sudan telah mendapatkan perlindungan di timur Chad. Sebagai respons terhadap krisis ini, Doctors Without Borders telah memperluas aktivitinya di wilayah Sila, Wadi Fira dan Ouaddaï.

Di timur Chad, pasukan Doctors Without Borders beroperasi di Adré, Ouré Cassoni, Iridimi, Touloum dan Aboutengué, serta kampung-kampung sekitar di wilayah Ouaddaï, selain Tiné di wilayah Wadi Fira. Pasukan kami menyediakan rawatan perubatan kecemasan dan menyokong fasiliti kesihatan yang memberi perkhidmatan kepada komuniti pelarian dan komuniti tuan rumah.

 


Sudikah anda menyokong usaha kami?

Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.