Sedekad selepas serangan di Kunduz
Pada malam 3 Oktober 2015, dunia dikejutkan dengan tragedi yang meragut puluhan nyawa. Selama lebih sejam, Pusat Trauma Kunduz menjadi sasaran serangan udara berterusan oleh tentera Amerika Syarikat. Bangunan utama hospital – yang menempatkan unit rawatan rapi, bilik kecemasan, makmal, x-ray, jabatan pesakit luar, serta wad kesihatan mental dan fisioterapi – dibedil berulang kali dengan ketepatan yang memusnahkan.
Apabila api akhirnya dipadamkan dan debu mula reda, kenyataan pahit terungkai. Seramai 42 orang terkorban, terdiri daripada 24 pesakit, 14 staf Doctors Without Borders (Médecins Sans Frontières, MSF), dan empat penjaga pesakit. Ada yang terperangkap dan hangus di atas katil, ada yang kehilangan anggota badan, malah ada yang ditembak dari udara ketika berusaha menyelamatkan diri daripada bangunan yang sedang marak terbakar.
Sehingga kini, tragedi Kunduz kekal sebagai serangan paling dahsyat yang pernah dilakukan terhadap fasiliti MSF.
Dalam Kenangan: Abdul Maqsood, Abdul Salam, Mohibullah, Naseer Ahmad, Mohammad Ehsan Osmani, Lal Mohammad, Najibullah, Shafiqullah, Aminullah Bajawri, Abdul Satar Zaheer, Ziaurahman, Abdul Nasir, Zabiullah dan Tahseel. Semoga roh kalian – dan mereka yang terkorban bersama pada hari itu – terus hidup dalam ingatan dan hati kami. Pengorbanan kalian menjadi saksi keberanian dan kemanusiaan yang tidak akan pernah dilupakan.
Dr. Sayed Hamed Hashemy, seorang pakar bedah yang bertugas di salah satu bilik pembedahan pada malam serangan itu, kembali ke hospital dua minggu selepas pengeboman. Beliau menggambarkan apa yang dilihatnya:
“Segalanya hangus terbakar,” katanya. “Bilik pembedahan tempat saya bekerja malam itu berlubang di bahagian siling dan dinding. Silinder oksigen dan meja pembedahan hancur berkecai. Masa seolah-olah terhenti — anda boleh merasakan detik ketika semua orang berhenti bekerja.”
Cat di dinding melepuh dan menggelupas akibat panasnya api; serpihan logam yang cacat bercampur dengan runtuhan di lantai, manakala bumbung ternganga menampakkan langit. Aktiviti perubatan Doctors Without Borders di timur laut Afghanistan terhenti sepenuhnya.
- Apa yang dimushnahkan?
Projek Doctors Without Borders di Kunduz bermula pada Ogos 2011 dengan penubuhan sebuah hospital 55 katil. Di sini, pesakit yang cedera akibat letupan bom, serpihan peluru dan tembakan mendapat rawatan pembedahan segera serta penjagaan susulan — satu keperluan mendesak di tengah konflik bersenjata yang berterusan.
Sebelum hospital ini dibuka, mangsa kecederaan parah di wilayah itu terpaksa menempuh perjalanan jauh dan berbahaya ke Kabul atau Pakistan, atau mencari rawatan di klinik swasta yang mahal. Setelah beroperasi, kemudahan ini berkembang pesat — daripada 70 katil kepada 92 katil menjelang tahun 2015. Hospital Kunduz menjadi satu-satunya pusat trauma khusus di utara Afghanistan.
Pada September 2015, pertempuran di Kunduz semakin sengit apabila pasukan Taliban menawan kota tersebut, sebelum akhirnya kehilangan kawalan beberapa minggu kemudian. Hospital ini berada di barisan hadapan dan dibanjiri pesakit yang cedera. Jumlah katil ditambah daripada 110 kepada 150, namun ruang tetap tidak mencukupi — pesakit dirawat di pejabat, di bilik pemeriksaan, malah distabilkan di atas tilam di lantai. Walau dalam keadaan genting itu, pusat trauma terus beroperasi tanpa mengira pihak mana yang menguasai kota tersebut.
“Kami sangat berbangga kerana dapat merawat semua orang — wanita, lelaki, kanak-kanak — tanpa mengira etnik atau fahaman politik,” kata Dr. Esmatullah Esmat, salah seorang yang terselamat daripada serangan itu dan kini bertugas sebagai penasihat perubatan projek bagi pusat trauma Kunduz.
Selepas serangan tersebut, hospital yang musnah teruk tidak lagi dapat berfungsi. Akses kepada rawatan kecemasan berkurangan secara mendadak bagi ribuan penduduk — pada saat mereka paling memerlukannya. Lebih setahun diperlukan sebelum Doctors Without Borders dapat kembali menyediakan rawatan perubatan di bandar Kunduz, dan tempoh yang lebih panjang lagi untuk memulakan semula rawatan trauma. Dalam tempoh itu, hospital wilayah Kunduz berusaha sedaya upaya mengisi kekosongan tersebut.
Walaupun pusat trauma tidak lagi beroperasi, Doctors Without Borders tetap meneruskan sokongan kepada District Advanced Post (DAP) di daerah Chahardara — kawasan yang ketika itu dikuasai pihak pembangkang. Jururawat di sana memberi rawatan segera kepada mangsa yang cedera, namun rujukan ke pusat trauma Kunduz tidak lagi dapat dilakukan. Hanya rawatan asas yang mampu diberikan — dan satu talian hayat pun terputus.
- Apa yang menyusul?
Sebagai sebuah organisasi, Doctors Without Borders perlu memahami apa yang telah berlaku dan menghadapi kehilangan pesakit, rakan, serta rakan sekerja. Serangan itu berlaku walaupun Doctors Without Borders telah berkongsi koordinat GPS hospital tersebut dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Kementerian Dalam Negeri dan Pertahanan Afghanistan, serta Tentera AS di Kabul.
Selepas kejadian, walaupun pelbagai perbincangan dijalankan dengan pihak berkuasa AS dan Afghanistan di semua peringkat, Doctors Without Borders tidak berpuas hati bahawa siasatan bebas dan berkecuali dapat dijalankan oleh pihak terlibat. Oleh itu, kami menyeru agar Suruhanjaya Penemuan Fakta Kemanusiaan Antarabangsa (International Humanitarian Fact-Finding Commission) menjalankan siasatan bebas. Namun, tanpa persetujuan kerajaan AS dan Afghanistan, siasatan itu tidak dapat diteruskan. Pada November 2015, kami menerbitkan laporan semakan dalaman kami sendiri.
Pada Januari 2017, Doctors Without Borders mengambil keputusan untuk membina semula hospital trauma baharu di lokasi berbeza dalam bandar Kunduz. Setelah tanah diperoleh dan dibersihkan daripada periuk api, kerja pembinaan bermula pada penghujung 2018. Dalam masa yang sama, pada Julai 2017, kami membuka sebuah klinik pesakit luar kecil di Kunduz untuk merawat kecederaan ringan, namun klinik itu terpaksa ditutup pada April 2020 akibat pandemik COVID-19 dan tidak dibuka semula.
Apabila pertempuran di Kunduz kembali memuncak pada tahun 2021 dan pembinaan hospital baharu masih belum siap sepenuhnya, pasukan Doctors Without Borders menubuhkan unit trauma sementara berkapasiti 25 katil di pejabat mereka bagi merawat mangsa perang. Akhirnya, pada Isnin, 16 Ogos 2021, semua pesakit dari unit sementara itu dipindahkan ke Pusat Trauma Kunduz yang baharu. Seorang petugas kesihatan yang bertugas pada waktu itu berkata:
“Kami menjalankan kerja perubatan sementara pembinaan masih berjalan, tetapi kelajuan pasukan pembinaan dan semua yang terlibat membaik pulih kemudahan ini benar-benar mengagumkan.”
Apabila keadaan kembali tenang dan pertempuran berakhir, keperluan rawatan pesakit turut berubah. Jika dahulu pesakit datang dengan kecederaan akibat tembakan dan letupan bom, kini kebanyakan kes berpunca daripada kemalangan jalan raya apabila orang ramai mula berasa selamat untuk bergerak semula. Perubahan ini berterusan; pada tahun 2023, program antimicrobial resistance stewardship diperkenalkan, dan pada 2025, rawatan untuk pesakit melecur turut dimulakan.
Kunduz, 10 tahun kemudian: Komitmen kami masih diteruskan
Setiap pagi, staf perubatan Doctors Without Borders menilai keadaan pesakit di wad rawatan dalam Hospital Kunduz. Afghanistan, 2025. © Alexandre Marcou/MSF
“Dia sudah berada di hospital selama enam minggu,” jelas bapa kepada Buhanadin, 17 tahun. “Dia terjatuh dari pokok — lukanya amat parah.”
Buhanadin telah menjalani beberapa pembedahan yang melibatkan pemindahan kulit ke bahagian kakinya (di mana kulit diambil daripada bahagian lain tubuhnya untuk menutupi kawasan yang cedera) dan anggota badannya dipasang dengan penetap luaran bagi memastikan ia tidak bergerak. Kini, dia perlahan-lahan mula belajar berjalan semula.
Afghanistan, 2025. © Alexandre Marcou/MSF
Faizullah ialah seorang pemandu minibus dari wilayah Takhar. Beliau cedera parah dalam satu kemalangan jalan raya pada waktu malam. Oleh kerana tidak mampu menanggung kos rawatan di wilayahnya, beliau datang ke Pusat Trauma Kunduz Doctors Without Borders untuk mendapatkan rawatan percuma bagi kecederaan di kaki kirinya. Kini, Faizullah datang sekali seminggu dari wilayah asalnya untuk sesi rawatan susulan dan fisioterapi.
Afghanistan, 2025. © Alexandre Marcou/MSF
Pintu masuk utama Pusat Trauma Kunduz Doctors Without Borders. Enam tahun selepas serangan yang meragut banyak nyawa, Doctors Without Borders membuka semula kemudahan ini — terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi asal. Hari ini, hospital ini kebanyakannya merawat pesakit yang mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya.
Walaupun konflik telah berakhir dan keadaan keselamatan semakin baik, masih ada pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan akibat pertempuran terpencil, tembakan, bahan letupan yang tidak meletup, serta kecederaan trauma lain. Antara Januari hingga Julai 2025 sahaja, sebanyak 12,431 kes kecemasan telah direkodkan.
Afghanistan, 2025. © Alexandre Marcou/MSF
Pusat Trauma Kunduz hari ini
“Anak saya cedera parah — saya langsung tidak mengharap dia akan pulih kerana hatinya pun hancur teruk,” kata Fatima, ibu kepada seorang pesakit yang dimasukkan ke Pusat Trauma Kunduz Doctors Without Borders di Afghanistan pada Julai 2025. “Namun hospital ini melakukan segala yang termampu untuk menyelamatkannya, menjaga dia siang dan malam. Saya amat bersyukur kerana kami ada hospital seperti ini.”
Pusat Trauma Kunduz yang baharu kini berdiri di sebuah negara yang tidak lagi dilanda perang, namun masih berdepan pelbagai cabaran besar. Pusat ini dilengkapi dengan unit kecemasan, unit rawatan rapi (ICU), wad pesakit dalam dan luar, bilik pembedahan, serta ruang khusus untuk fisioterapi.
Dengan kapasiti 79 katil, pusat trauma ini menyediakan rawatan menyeluruh kepada pesakit yang mengalami kecederaan akibat jatuh, kemalangan jalan raya, bahan letupan yang tidak meletup, dan pelbagai kecederaan trauma lain. Antara Januari hingga Jun 2025 sahaja, 10,253 pesakit telah dirawat di unit kecemasan dan 3,197 pembedahan telah dijalankan.
Bandar Kunduz hari ini jauh berbeza daripada Kunduz pada tahun 2015 — begitu juga dengan sifat kecederaan trauma yang kami rawat. Namun satu perkara yang tidak akan pernah berubah ialah prinsip kami di Doctors Without Borders: kami merawat setiap pesakit mengikut keperluan perubatannya. Kami tidak membezakan sesiapa — tanpa mengira bangsa, jantina, etnik, agama atau fahaman politik.Emilie Buyle, penyelaras projek
Serangan terhadap Kemudahan Kesihatan dan Petugas Perubatan
Sudah sepuluh tahun berlalu sejak serangan dahsyat terhadap Pusat Trauma Kunduz di Afghanistan. Namun, hospital serta petugas perubatan dan kemanusiaan masih terus diancam dan dijadikan sasaran di kawasan bergolak.
Serangan di Kunduz merupakan yang paling tragik dalam sejarah Doctors Without Borders, dilakukan oleh angkatan tentera Amerika Syarikat. Sejak itu, kami menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah negara yang bertanggungjawab terhadap serangan besar seperti pemusnahan hospital — bukan sahaja oleh kumpulan bersenjata bukan negara, tetapi juga oleh pihak berkuasa negara sendiri.
Kejadian ini kini jelas kelihatan di Palestin (khususnya serangan oleh Israel), di Haiti (oleh kumpulan bersenjata dan juga polis Haiti), di Ukraine (oleh tentera Rusia), serta di Sudan (oleh pasukan negara dan bukan negara). Apa yang dahulunya jarang berlaku kini semakin menjadi kebiasaan.
Kemudahan perubatan dan petugas kesihatan tidak seharusnya menjadi sasaran — dalam apa jua keadaan sekalipun.
Sokong kami
Bantulah kami menyediakan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa — hulurkan sumbangan anda hari ini.