Skip to main content

Bab Harapan Baharu: Memutus Rantaian Jangkitan Hepatitis C di Kem Pelarian Rohingya

A Rohingya refugee receiving Hepatitis C treatment at MSF's Balukhali clinic in the Rohingya refugee camp, Cox's Bazar, Bangladesh

Seorang pelarian Rohingya yang menghidap hepatitis C kini sedang menjalani rawatan di klinik Doctors Without Borders di Balukhali. Staf Doctors Without Borders memberikan ubat kepadanya sebagai sebahagian daripada usaha membendung penularan penyakit ini.
Bangladesh, 2025 © Farah Tanjee/MSF

MSF medical team leader standing in front of Balukhali clinic in the Rohingya refugee camp in Bangladesh.

Dr Fatema Ferdousee, Ketua Pasukan Perubatan di klinik Doctors Without Borders di Balukhali, memantau pelaksanaan aktiviti berkaitan hepatitis C.
Bangladesh, 2025 © Farah Tanjee/MSF

"Saya menggelar hepatitis C sebagai "pembunuh senyap". Ini kerana dalam kebanyakan kes, ia tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala yang ketara. Ramai individu boleh dijangkiti selama bertahun-tahun—malah berdekad—tanpa menyedarinya."

Saya Dr. Fatema Ferdousee, Ketua Pasukan Perubatan bagi projek Hepatitis C di Balukhali. Hepatitis virus, khususnya jenis B dan C, merupakan krisis kesihatan global yang meragut lebih 1.3 juta nyawa setiap tahun. Namun, keadaan di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar jauh lebih mencemaskan. Kepadatan penduduk yang melampau dan kekurangan akses kepada rawatan kesihatan telah mencetuskan suasana yang amat sesuai untuk penularan penyakit ini.

Kajian terbaharu oleh Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) mendedahkan kenyataan yang amat membimbangkan – hampir 20% daripada pelarian Rohingya yang diuji di kem ini dijangkiti Hepatitis C aktif.

Pasukan kami di Balukhali kini sedang melaksanakan saringan dan ujian di tiga buah kem: Kem 9, Kem 8E dan Kem 10. Sasaran kami adalah sekitar 57,000 individu – dan kami bertekad untuk menyaring kesemuanya serta menyediakan perkhidmatan rawatan Hepatitis C yang amat diperlukan.

Saya sering menyebut Hepatitis C sebagai “pembunuh senyap” – kerana jangkitan ini selalunya tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala. Ramai yang dijangkiti bertahun-tahun tanpa menyedarinya. Kalaupun ada gejala, ia sangat ringan – seperti demam biasa, rasa loya, atau muntah – tetapi kebiasaannya, tiada apa-apa langsung. Hakikat inilah yang menjadikan Hepatitis C begitu berbahaya; ia perlahan-lahan merosakkan hati dan boleh menyebabkan sirosis atau kanser hati pada peringkat akhir.

Oleh itu, kami menumpukan usaha kepada tiga perkara utama: meningkatkan kesedaran, menyediakan saringan dan rawatan menyeluruh, serta menghapuskan stigma sosial berkaitan penyakit ini.

Dalam aspek kesedaran, kami giat memberi penerangan kepada komuniti mengenai risiko Hepatitis C dan kepentingan mendapatkan rawatan awal. Dari tahun 2020 hingga 2024, MSF telah menjalankan 12,000 ujian. Di Balukhali, usaha saringan khas bermula pertengahan Mei 2025. Sehingga kini, kami telah menyaring 2,275 individu dan 496 daripadanya positif dalam ujian awal. Ini baru permulaan. Kami memastikan mereka yang disahkan positif diberikan rawatan.

Aspek ketiga – menghapuskan stigma – juga sangat penting. Setiap pagi, seramai 23 anggota pasukan kami – termasuk 16 sukarelawan kesihatan komuniti (bersama dua ketua pasukan) dan lima jururawat – turun padang dari rumah ke rumah. Mereka bukan sekadar melakukan ujian, tetapi turut memberi penerangan jelas tentang Hepatitis C: apa itu penyakit ini, bagaimana ia merebak, dan mengapa mereka yang positif perlu menjalani ujian lanjut serta rawatan susulan.

Maklum balas daripada komuniti amat memberangsangkan. Ramai yang sudah lama menanti peluang mendapatkan rawatan. Dengan keterbatasan sistem kesihatan dan ketiadaan rawatan di peringkat kerajaan, mereka amat mengharapkan bantuan. Setiap kali kami mendekati komuniti, sambutan yang diberi sangat baik – ramai yang sudi berbicara dan berkongsi.

Namun, cabaran tetap ada. Sesekali, timbul kerisauan bahawa ujian positif mungkin menjejaskan peluang perkahwinan atau menyebabkan pengasingan sosial. Tetapi ini bukan masalah besar – apabila diberi penerangan yang betul, kebanyakan orang faham. Penyakit ini tidak menular melalui sentuhan biasa – ia memerlukan sentuhan darah ke darah. Dan kerana ketiadaan gejala yang ketara, ramai tidak menyedari risiko yang dihadapi. Tetapi apabila mereka tahu kos rawatan dan akibat jangka panjang, mereka mahu dirawat.

Perjuangan melawan Hepatitis C ini bukan tugas seorang. Ia menuntut usaha kolektif seluruh komuniti. Di kawasan yang begitu padat seperti kem ini, saya percaya bahawa dengan menyebarkan pengetahuan yang ada, kita boleh capai lebih ramai. Matlamat kami ialah menghapuskan Hepatitis C di kem pelarian Rohingya melalui ujian, rawatan dan kesedaran secara menyeluruh. Usaha ini mampu meningkatkan tahap kesihatan masyarakat dan membawa masa depan yang lebih cerah buat semua.

A Rohingya refugee receiving hepatitis C treatment at MSF's Balukhali clinic stands in front of the Rohingya refugee camp in Bangladesh.

Nur Kayas, seorang wanita Rohingya yang tinggal bersama keluarganya di Kem 8W, disahkan menghidap Hepatitis C bersama suaminya selepas disaring oleh pasukan Doctors Without Borders.
Bangladesh, 2025 © Farah Tanjee/MSF

"Saya benar-benar terkejut. Saya tidak pernah tahu saya menghidap penyakit ini kerana tiada sebarang tanda." 

Nama saya Nur, dan saya berumur 30 tahun. Hari ini saya datang ke klinik kerana sebelum ini saya telah menjalani ujian darah, dan mereka minta saya datang semula pada pukul 10 pagi untuk mengambil laporan kedua. Saya sudah menunggu agak lama di sini.

Ya, saya telah menerima laporan saya — dan keputusan menunjukkan saya positif Hepatitis C. Berita baiknya, saya akan menerima rawatan! Mereka memberitahu saya untuk mendapatkan kad kesihatan bagi memulakan rawatan. Saya rasa sedikit lega. Tetapi sewaktu pertama kali mendengar berita ini, saya benar-benar dilanda ketakutan. Saya tidak tahu apa-apa tentang penyakit ini, dan sepanjang hidup saya, saya jarang ambil ubat. Saya seorang ibu kepada empat orang anak dan sentiasa menganggap diri saya sihat. Tiada simptom, tiada rasa sakit, tiada sengal badan — sebab itu apabila diberitahu keputusan ujian darah, saya amat terkejut. Saya tidak pernah menyangka bahawa saya menghidap penyakit ini kerana tiada tanda-tanda yang ketara.

Rupa-rupanya, saya bukan seorang sahaja dalam keluarga. Suami saya juga disahkan menghidap Hepatitis C. Beliau turut menjalani pemeriksaan bersama saya di klinik.

Sebenarnya, kami pernah menjalani ujian Hepatitis C kira-kira setahun yang lalu, ketika ayah mentua saya meninggal dunia. Tetapi ketika itu, keputusan kami negatif. Sebelum itu, kami tidak pernah menjalani ujian. Jadi, saya tidak tahu jika ada ahli keluarga yang lain — selain isi rumah kami — yang turut dijangkiti. Dalam rumah kami, tinggal juga empat adik-beradik ipar lelaki yang belum berkahwin serta empat ipar perempuan. Selepas pusingan ujian yang terbaru ini, kami mendapat tahu bahawa saya, suami, salah seorang ipar perempuan, dan ibu mentua saya semuanya positif Hepatitis C.

Kami sudah tinggal di Bangladesh selama lapan tahun. Saya berkahwin sejak di negara asal saya, Myanmar. Dua anak lelaki sulung saya dilahirkan di Burma, di rumah — dibantu oleh ibu saya dan bidan tradisional. Ibu saya banyak membantu, bukan hanya semasa bersalin tetapi juga dalam menguruskan rumah, memasak, dan menjaga anak-anak. Dua anak bongsu saya pula lahir di Bangladesh, juga di rumah. Ketika itu, ibu saya sudah tua dan tidak mampu membantu seperti dahulu, jadi kakak saya datang dari Jamtoli untuk membantu sepanjang tempoh bersalin dan berpantang. Setelah saya sihat, beliau pulang ke rumahnya.

Hari ini, selepas datang ke klinik, saya belajar banyak perkara daripada kaunselor kesihatan. Mereka menerangkan bagaimana Hepatitis C boleh merebak — terutamanya melalui sentuhan darah ke darah. Contohnya, jika pisau cukur digunakan semula ke atas orang lain, atau jika suntikan ubat diberikan oleh farmasi atau doktor kampung yang tidak menukar jarum suntikan antara pesakit, penyakit ini boleh menular. Ia juga boleh tersebar melalui perkongsian alat seperti pemotong kuku atau barang peribadi lain yang mungkin tercemar dengan darah. Tetapi saya juga belajar sesuatu yang melegakan — penyakit ini tidak berjangkit melalui perkongsian makanan.

Dengan maklumat ini, saya terfikir — adakah saya mungkin dijangkiti sewaktu proses bersalin, terutama ketika melahirkan anak di rumah tanpa kemudahan perubatan yang lengkap? Tetapi sejujurnya, saya masih tidak tahu bagaimana saya mendapat jangkitan ini. Sepanjang hidup saya, saya terlibat dalam pelbagai kerja — dan saya tidak dapat mengenal pasti bila atau bagaimana ia berlaku.

An MSF medical staff standing in front of Jamtoli Primary Healthcare Center at Rohingya refugee camp in Cox's Bazar, Bangladesh

Nazmul Haque, Penolong Pegawai Perubatan di Pusat Penjagaan Kesihatan Primer Doctors Without Borders di Jamtoli, Kem 16, Cox’s Bazar.
Bangladesh, 2025 © Farah Tanjee/MSF

"Untuk memutuskan rantaian jangkitan Hepatitis C di kem pelarian Rohingya, rawatan mesti digandingkan dengan pencegahan." 

Nama saya Nazmul Hoque, dan saya merupakan Penolong Pegawai Perubatan di organisasi Doctors Without Borders.

Apabila seseorang pesakit disahkan menghidap Hepatitis C, mereka akan dirujuk kepada doktor perubatan untuk mendapatkan preskripsi awal. Kami, sebagai penolong pegawai perubatan, memainkan peranan penting dalam sesi konsultasi susulan. Kami memantau pematuhan pesakit terhadap rawatan, memeriksa sekiranya terdapat komplikasi baharu, serta mengambil langkah susulan yang bersesuaian. Kami juga memberi maklumat tentang tarikh temu janji seterusnya dan mengingatkan mereka mengenai rejim rawatan yang perlu diikuti.

Selain itu, kami turut memberi kaunseling kepada pesakit sewaktu mereka memulakan rawatan, dan mengulang penerangan ini setiap kali mereka datang untuk pemeriksaan susulan. Yang paling penting, kami terangkan cara-cara mencegah jangkitan Hepatitis C daripada terus merebak.

Salah satu cabaran terbesar di sini ialah amalan masyarakat yang masih mendapatkan suntikan atau ‘saline drip’ daripada pengamal tidak formal. Apabila seseorang merasa lemah atau hilang selera makan, mereka percaya bahawa menerima suntikan glukosa atau air garam akan membuatkan mereka lebih sihat. Kami sentiasa menasihatkan agar amalan ini dihentikan. Ramai pengamal ini tidak memiliki latihan perubatan yang sah, dan ada yang menggunakan jarum suntikan yang sama untuk empat atau lima orang pesakit. Inilah antara punca utama penularan penyakit bawaan darah seperti Hepatitis C, HIV, dan Hepatitis B. Melalui sesi kaunseling, kami cuba menutup pintu utama penularan penyakit ini.

Pasukan promosi kesihatan dan outreach kami menjalankan saringan dari rumah ke rumah menggunakan ujian diagnostik pantas (RDT) selepas memberikan penerangan lengkap kepada penduduk mengenai proses ujian dan keputusan yang mungkin diterima. Sekiranya keputusan awal menunjukkan positif, jururawat kami akan mengambil sampel untuk ujian pengesahan PCR (Polymerase Chain Reaction). Sampel ini disimpan dalam kotak ais dan dihantar ke hospital kami untuk ujian lanjut. Pesakit diminta datang semula pada keesokan harinya untuk mengambil keputusan.

Bagi mereka yang negatif, kami berikan kaunseling komprehensif mengenai pencegahan. Manakala mereka yang positif akan dirujuk kepada doktor untuk rawatan lanjut.

Sejak kempen "uji dan rawat" ini dilancarkan, kesedaran masyarakat mengenai Hepatitis C meningkat dengan ketara. Sebelum ini, rawatan Hepatitis C amat terhad kerana bekalan ubat yang sedikit. Hanya pesakit yang menunjukkan gejala atau mempunyai masalah fungsi hati akan dipilih untuk menerima rawatan. Mereka yang tidak bergejala diminta menunggu pemeriksaan seterusnya. Ini amat mengecewakan bagi mereka. Kebanyakan mereka tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di luar kem, tambahan pula pergerakan mereka amat terhad. Maka, ramai yang terpaksa hidup dengan penyakit ini tanpa rawatan.

Pada awal kempen, ramai pesakit berkongsi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga mereka juga pernah dijangkiti Hepatitis C tetapi tidak pernah dirawat. Hari ini, mereka akhirnya menerima rawatan. Dahulu, ramai tidak tahu bagaimana penyakit ini merebak, tetapi melalui sesi kaunseling yang dijalankan, mereka kini faham risiko jangkitan serta cara mengelaknya.

Penting untuk difahami bahawa kadar jangkitan Hepatitis C di peringkat kebangsaan di Bangladesh dianggarkan antara 1% hingga 3% daripada populasi umum.* Maka, pencegahan dan rawatan yang berkesan perlu diberikan bukan hanya kepada komuniti Rohingya, tetapi kepada semua.

Untuk memutuskan rantaian jangkitan Hepatitis C di kem pelarian Rohingya, rawatan mesti digandingkan dengan pencegahan. Ini bermakna memastikan akses sejagat kepada amalan perubatan yang selamat – seperti suntikan steril dan pemindahan darah yang terkawal – serta memperkasa komuniti dengan maklumat kesihatan mengenai risiko jangkitan dan amalan kebersihan.

* Sumber: National Lever Foundation Bangladesh