Skip to main content
Ukraine Re-taken Areas (2)

Di antara garisan musuh

Kemusnahan penjagaan kesihatan di Ukraine

Organisasi kemanusiaan perubatan antarabangsa Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) mendedahkan kemusnahan besar-besaran dan meluas kemudahan kesihatan di Ukraine, dan halangan teruk kepada rawatan perubatan di bawah pendudukan tentera Rusia.

Doctors Without Borders mengesa semua pihak bertelagah untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan tanggungjawab mereka untuk melindungi masyarakat dan infrastruktur awam selain memastikan akses tanpa halangan kepada ubat-ubatan dan bekalan perubatan yang menyelamatkan nyawa ke atas mereka yang memerlukan.

Susulan perang yang meningkat pada Februari 2022, pasukan Doctors Without Borders menilai keperluan perubatan dan kemanusiaan penduduk di 161 bandar dan kampung di wilayah Donetsk dan Kherson untuk memberikan bantuan perubatan kepada mereka yang tinggal berhampiran garisan hadapan. Walaupun memohon untuk bekerja di kedua-dua belah garisan hadapan, Doctors Without Borders sekadar mampu beroperasi di kawasan di bawah kawalan Ukraine dan pemerhatian kami terhad kepada kawasan itu.
 

 

Pasukan kami menyaksikan secara langsung rumah, kedai, taman permainan, sekolah dan hospital semuanya tinggal runtuhan. Di beberapa bandar dan kampung tempat kami bekerja, kemusnahan jelas kelihatan. Sepanjang 1,000 km garisan hadapan di Ukraine, beberapa kawasan terhapus begitu sahaja dari peta.
Christopher Stokes, Ketua Program

Hospital bukan tempat yang selamat

Menjelang pertengahan 2022, pekerja perubatan Doctors Without Borders menyaksikan serangan ke atas infrastruktur penjagaan kesihatan. Dalam dua keadaan berasingan, di Mikolaiv pada April dan di Apostolove pada Jun, mereka menyaksikan kesan peluru yang ketara memenuhi hospital, menyebabkan aktiviti perubatan ditangguhkan selama beberapa hari dan menghalang pesakit daripada mendapatkan rawatan perubatan. Dalam tiga kes lain pada 8, 11 dan 15 Oktober 2022, pasukan MSF turut mengesan periuk api anti-personel dalam kawasan hospital yang berfungsi, yang mana kawasan itu sebelum ini ditakluki Russia di wilayah Kherson, Donetsk dan Izyum.

“Penggunaan periuk api berleluasa di kawasan garisan hadapan, namun untuk menemuinya di kemudahan perubatan ia adalah suatu yang mengejutkan: satu tindakan tidak berperikemanusiaan yang luar biasa. Ia menghantar mesej yang jelas kepada mereka yang datang untuk mendapatkan ubat atau rawatan: hospital bukan tempat yang selamat”, kata Vincenzo Porpiglia, Penyelaras Projek untuk aktiviti Doctors Without Borders di wilayah Donetsk.

Pasukan perubatan Doctors Without Borders juga mendapati beberapa kemudahan perubatan di kawasan pernah ditakluki Russia di kedua-dua wilayah Kherson dan Donetsk menjadi sasaran kecurian, manakala kenderaan perubatan termasuk ambulans dimusnahkan. Di dalam dua kemudahan ini juga mereka melihat senjata dan bahan letupan.

Ukraine re-taken areas

Hospital yang musnah di Lyman, Donetsk Oblast. © Colin Delfosse/MSF

Penjagaan kesihatan dibawah penaklukan

Kenyataan daripada pekerja penjagaan kesihatan dan pesakit yang berada di bawah penaklukan Russia menunjukkan sekatan teruk terhadap akses kepada ubat-ubatan penting, rawatan atau kemudahan perubatan. Kenyataan ini disokong rekod perubatan Doctors Without Borders susulan 11,000 konsultasi (November 2022-Februari 2023). Pasukan perubatan MSF sering terpaksa merawat pesakit untuk keadaan kronik yang tidak dirawat selama beberapa bulan.

Menurut pesakit kami, orang ramai tidak dapat mengakses penjagaan kesihatan terutamanya disebabkan sekatan pergerakan, kerana kemusnahan besar-besaran kemudahan kesihatan atau akibat kelakuan sukar diramal sesetengah unit Russia. Pesakit juga melaporkan kemudahan perubatan dan farmasi yang masih ada dirompak dan bekalan ubat-ubatan tidak dijamin secara sistematik oleh pihak yang menakluki. Temu bual dijalankan selaras diagnosis perubatan ramai pesakit Doctors Without Borders yang selama berbulan-bulan tidak menerima rawatan.

Doctors Without Borders mengingatkan pihak yang bertelagah tentang tanggungjawab mereka untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam. Hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan lain tidak boleh menjadi sasaran. Pihak bertelagah juga mesti membenarkan bekalan ubat-ubatan yang menyelamatkan nyawa, bekalan perubatan tanpa halangan dan menyediakan akses selamat serta tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan bebas ke atas mereka yang memerlukan.

Doctors Without Borders mula bekerja di Ukraine pada 1999. Sejak 24 Februari 2022, kami meningkatkan dan mengorientasikan semula aktiviti secara ketara untuk bertindak balas terhadap keperluan dicetuskan oleh perang di Ukraine. Hari ini Doctors Without Borders bekerja di Apostolove, Dnipro, Fastiv, Ivano-Frankivsk, Kharkiv, Konstiantynivka, Kropyvnytskyi, Kryyih Rih, Kyiv, Lviv, Lyman, Mykolaiv, Odessa, Pokrovsk, Sloviansk, Ternopil, Uzhhoroy. Perkhidmatan perubatan kami termasuk antara lain rawatan untuk Tuberkulosis, pembedahan kecemasan, rawatan untuk keganasan seksual, fisioterapi dan kesihatan mental. Kami juga menguruskan sepasukan ambulans, dan kereta api pemindahan perubatan khusus yang memindahkan 2,558 pesakit pada 2022 – 700 daripadanya mengalami kecederaan trauma.