Syria: Keperluan mendesak bagi rakyat yang terperangkap dalam kem pelarian berisiko tinggi
Pesakit muda yang mengalami kecederaan akibat kebakaran bermain di kawasan rekreasi hospital Doctors Without Borders di Atmeh, barat laut Syria. Syria, April 2025. © Abdulrahman Sadeq/MSF
Selepas 13 tahun peperangan dan kejatuhan rejim Assad, lebih 7.2 juta rakyat Syria masih hidup dalam keadaan pelarian di dalam negara sendiri — menetap di kem yang serba kekurangan, tanpa bekalan elektrik atau sistem pemanasan yang selamat. Akibatnya, kes kecederaan melecur semakin kerap berlaku, terutamanya apabila penduduk menggunakan kaedah pemanasan yang berisiko tinggi. Di hospital Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) di Atmeh, barat laut Syria, ribuan pesakit melecur teruk dirawat setiap tahun.
Namun, keadaan menjadi lebih parah sejak pemotongan besar-besaran dana bantuan oleh pentadbiran Trump tahun ini, yang telah memaksa banyak fasiliti kesihatan ditutup. Sokongan dana kemanusiaan untuk Syria mesti ditingkatkan segera — agar bantuan yang menyeluruh dapat diberikan kepada jutaan rakyat Syria yang masih bergelut untuk meneruskan hidup.
Sebelum khemah Mohammed hangus dijilat api, ia kelihatan seperti ribuan khemah lain yang bertaburan di tanah ladang berhampiran sempadan Turki-Syria — beratapkan plastik nipis yang lembap, tempat beliau dan keluarganya memanaskan badan sambil minum teh di sisi dapur kayu usang.
Seperti banyak kem pelarian di barat laut Syria, Kem Anin Al Sahel terletak di kawasan pergunungan yang terpencil. Akses kepada perkhidmatan asas seperti pemanasan dan rawatan kesihatan amat terhad, manakala musim sejuk datang membawa cabaran yang menggigit. Hujan lebat dan suhu beku mengubah tanah menjadi selut, sementara angin sejuk menerpa khemah-khemah nipis yang menempatkan ribuan keluarga pelarian.
Pada suatu pagi musim sejuk itu, Mohammed cuba menyalakan dapur kayu mereka menggunakan diesel — bahan bakar murah dan mudah diperoleh di kem. Namun sebaik sahaja beliau menuang diesel dari tong plastik ke atas kayu api, tong itu meletup.
“Dalam botol itu cuma tinggal setengah liter diesel. Tapi bila meletup, api mula menyambar tubuh saya — dari kaki hingga ke tangan. Bila tangan saya terbakar, saya sudah tak mampu padamkan api,” katanya.
Kini, Mohammed terbaring di katil hospital di Atmeh, Syria barat laut, dengan kedua-dua tangan dan lengannya berbalut. Beliau masih teringat detik cemas ketika api marak membakar khemah dalam beberapa saat, dan adik-beradiknya panik cuba memadamkan api dengan selimut.
Mohammed segera dikejarkan ke Hospital Al Sahil untuk rawatan kecemasan, sebelum dipindahkan ke hospital pakar melecur kendalian Doctors Without Borders di Atmeh — satu-satunya fasiliti khusus untuk rawatan melecur di seluruh wilayah tersebut.
Pasukan kesihatan mental sedang menjalankan sesi kaunseling bersama seorang pesakit melecur di hospital pakar melecur Doctors Without Borders di Atmeh, barat laut Syria. Syria, April 2025. © Abdulrahman Sadeq/MSF
Kisah Mohammed bukan luar biasa di wilayah ini — ia adalah realiti pahit yang terlalu biasa bagi pelarian Syria. Sejak 2012, Doctors Without Borders membuka unit rawatan melecur di Atmeh untuk merawat mangsa kebakaran dan air mendidih dalam kalangan komuniti pelarian. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kemudahan ini berkembang menjadi hospital pembedahan dan pemulihan. Pada tahun 2024 sahaja, hospital ini menerima 8,340 kes kecemasan berkaitan melecur — purata 23 pesakit setiap hari.
Seperti jutaan rakyat Syria lain, Alia dan keluarganya melarikan diri daripada serangan udara ketika perang saudara dan kini menetap di Kem Al-Salata, Khirbet Al-Jouz. Rumah mereka musnah dan kampung asal masih dipenuhi periuk api. Sejak kejatuhan rejim Assad pada 2024, mereka masih belum dapat pulang ke tempat asal.
“Orang di kem ini perlukan segalanya — bahkan perkhidmatan air pun telah terputus sejak Syria dibebaskan,” kata Alia. “Sudah 13 tahun kami hidup dalam kesejukan, kelaparan, dan penderitaan.”
Seperti Mohammed, Alia juga melecur apabila menuang diesel ke dalam dapur pemanas. Beliau dirawat selama dua minggu di hospital Doctors Without Borders, menjalani pembedahan dan rawatan luka harian. Namun hari ini, beliau masih menetap dalam keadaan berisiko tinggi yang sama — tanpa penyelesaian jangka panjang.
“Saya ada tiga orang anak dan suami yang sudah tua. Saya tak tahu bagaimana nak teruskan hidup. Tiada air, tiada bantuan — hidup di kem ini makin sukar dari hari ke hari.”
Seorang anggota pasukan percetakan 3D sedang menjalankan imbasan wajah ke atas pesakit muda yang mengalami kecederaan melecur teruk pada muka. Imbasan ini akan digunakan untuk mencetak topeng mampatan khas bagi merawat parut dan bengkak, serta membantu pergerakan dan pemulihan pesakit. Syria, April 2025. © Abdulrahman Sadeq/MSF
Lebih memburukkan keadaan, pemotongan dana oleh kerajaan Amerika Syarikat — dilaksanakan di bawah pentadbiran Trump — telah menyekat akses kepada rawatan kesihatan secara drastik. Sehingga akhir Februari 2025, seramai 4.4 juta orang di sembilan wilayah di Syria terkesan akibat pemotongan ini, yang telah menyebabkan lebih 150 fasiliti kesihatan ditutup, termasuk 19 hospital, 97 pusat penjagaan kesihatan primer, 20 pasukan mudah alih, dan 15 pusat khusus.
Di barat laut Syria, penilaian terkini mendapati pemotongan bantuan luar telah memberi kesan kepada 178 fasiliti kesihatan di wilayah Idlib dan Aleppo.
“Dulu ada pusat kesihatan dan hospital,” kata Mohammed. “Sekarang, kebanyakannya dah tutup. Bahkan hospital bersalin dan kanak-kanak pun ditutup selepas dana dihentikan.”
Dengan pilihan yang sangat terhad, hospital Doctors Without Borders di Atmeh kekal menjadi talian hayat yang amat penting. Di sini, pesakit menerima rawatan pembedahan, fisioterapi, sokongan kesihatan mental — malah teknologi percetakan 3D turut digunakan untuk menghasilkan topeng muka khas yang membantu mengurangkan parut dan mempercepatkan pemulihan.
“Di hospital Doctors Without Borders, jururawat menukar balutan luka saya. Saya dah jalani dua pembedahan — buang tisu mati dan cantuman kulit,” kata Mohammed. “Tapi saya tinggal di luar bandar Jisr al-Shughur dan terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke hospital.”
Walaupun perang di Syria telah tamat, orang seperti Mohammed dan Alia masih belum dapat pulang. Ancaman periuk api, infrastruktur yang musnah, dan ketiadaan perkhidmatan asas menyebabkan mereka terus terperangkap di kem pelarian — manakala pemotongan dana kerajaan AS hanya menambah beban dalam situasi yang sudah pun kritikal.