Skip to main content

Palestin: Insiden berdarah ketika agihan bantuan di Utara Gaza

MSF staff standing near an ambulance

Pasukan Doctors Without Borders memindahkan mayat pesakit yang disahkan meninggal dunia sejurus tiba, selepas terkena tembakan di lokasi agihan bantuan oleh AS-Israel. Gaza, Palestin, 2025. © Nour Alsaqqa/MSF.

Caroline Willemen, Penyelaras Projek Doctors Without Borders:

“Pada 30 Julai, ketika orang ramai menghampiri trak bantuan berhampiran Zikim di utara Gaza, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah mereka. Ramai cedera akibat tembakan, dan juga dalam keadaan sesak apabila orang ramai panik dan melarikan diri. Petugas kesihatan di klinik Sheikh Radwan yang disokong oleh Doctors Without Borders di utara Gaza merawat 77 pesakit yang mengalami kecederaan, dan menerima lapan individu yang sudah meninggal dunia sewaktu tiba. Menurut Kementerian Kesihatan, hampir 600 orang di seluruh utara Gaza dirawat akibat kecederaan serupa yang berlaku dalam kekacauan dan keganasan berhampiran Zikim malam itu, ketika trak bantuan makanan sedang melalui kawasan tersebut.

Insiden berdarah seperti ini telah menjadi realiti harian di Gaza sejak sekian lama. Kaedah pengagihan bantuan yang digunakan kini hanya mencetuskan kekacauan dan pembunuhan. Bekalan makanan masih sangat terhad, dan tiada petanda bahawa bantuan yang mencukupi akan tiba secara konsisten. Akibatnya, setiap hari, orang awam mempertaruhkan nyawa mereka demi mendapatkan makanan.”

Testimoni daripada seorang pesakit yang dirawat di unit rawatan jangka pendek yang disokong Doctors Without Borders, bersebelahan klinik kami di Bandar Gaza, selepas mengalami kecederaan ketika agihan makanan di Zikim pada 25 Julai:

“Saya cuba pergi ke Zikim pada hari Khamis, 24 Julai, untuk mendapatkan tepung. Saya menunggu sepanjang malam, tetapi pulang dengan tangan kosong.

Pada hari Jumaat, saya cuba lagi. Ayah saya tidak benarkan saya pergi kerana kali terakhir saya ke sana, saya melihat ramai orang mati akibat serangan peluru dan tembakan daripada kereta kebal. Tapi kami sekeluarga ada 10 orang, jadi saya pergi tanpa memberitahu sesiapa.

Sebaik sahaja trak bantuan tiba, pada mulanya ia bergerak laju tetapi kemudian memperlahankan kelajuan kerana orang terlalu ramai. Ketika trak membuat pusingan, beberapa beg tepung seberat 50 kilogram terjatuh dan mencederakan orang ramai. Tentera Israel mengarahkan pemandu trak untuk terus bergerak, walaupun dikelilingi orang. Pemandu cuba mengundurkan trak untuk beredar, tetapi kawasan terlalu sesak dan ramai dilanggar. Ada tujuh pemuda lain bersama saya — semuanya maut apabila trak mengundur. Saya sedang duduk dengan kaki dilunjurkan ke hadapan. Sebelah kaki saya terasa gatal, jadi saya tarik kaki itu — hanya itu yang menyelamatkan saya. Trak itu melanggar satu kaki saya sahaja.

Seorang wanita datang membantu dan cuba hentikan pendarahan dengan selendang, tetapi dia tidak mampu angkat saya. Saya nampak seorang rakan dan mereka berdua cuba bawa saya, sambil menenangkan saya. Akhirnya saya pengsan. Kami tidak dapat cari pengangkutan. Ramai ingat saya akan mati dan enggan tumpangkan saya, sehinggalah kami jumpa tuktuk yang sanggup bawa saya ke pusat perubatan Hamad. Mereka percikkan air ke muka saya supaya saya tetap sedar. Di situ, mereka balut kaki saya dengan kayu palet dan ikat guna baju kerana tiada bahan lain. Saya nampak orang lain yang cedera akibat tembakan dan pergaduhan. Ada yang mati kerana dirempuh orang ramai.

Saya cedera jam 5 petang, tapi hanya tiba di Hospital Al Shifa pada jam 11 malam. Hospital penuh sesak. Saya terpaksa tunggu hingga jam 3 pagi untuk dibedah.

Sekarang saya sudah cedera, pilihan untuk keluarga kami makin terhad. Abang saya keluar setiap hari buat kerja-kerja kecil — tolong angkat barang dan apa saja untuk cari duit. Ayah cuba sewakan kereta kami untuk dapatkan pendapatan. Ada hari kami dapat makan roti, ada hari langsung tiada makanan. Tapi tiada seorang pun daripada kami akan kembali ke Zikim.

Impian saya cuma satu — agar semua ini berakhir dan kami dapat bina semula rumah dan perniagaan ayah yang sudah musnah.



Sudikah anda menyokong usaha kami?

Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.