Palestin: Doctors Without Borders kecam serangan Israel ke atas tapak agihan air di Gaza
Sebuah lori air Doctors Without Borders membekalkan sumber air minum bersih yang amat penting. Gaza, Palestin 2025 © MSF
Pada petang Isnin, 15 September, Pasukan Israel melepaskan tembakan ke arah sebuah lori air Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) yang jelas dikenal pasti, ketika ia sedang mengagihkan 10,000 liter air minuman di kawasan Sheikh Radwan, sebelah timur Gaza. Laluan serta jadual kenderaan berkenaan telah dimaklumkan lebih awal kepada pihak berkuasa Israel, sebagaimana amalan harian Doctors Without Borders.
Serangan ini tidak boleh dianggap sebagai satu kesilapan. Ia merupakan cubaan yang disengajakan untuk mensabotaj pengagihan air kepada orang awam yang tidak berupaya meninggalkan kawasan tersebut — khususnya golongan miskin, pesakit, serta mereka yang paling terdedah, yang kini hidup dalam khemah atau di celah runtuhan kediaman mereka.
Sehingga 12 September, Doctors Without Borders menyokong unit kecemasan sebuah pusat kesihatan primer di Sheikh Radwan. Ia adalah satu-satunya struktur kesihatan yang masih berfungsi, dengan kapasiti kecemasan di kawasan tersebut, dan menerima purata 1,100 pesakit kecemasan setiap minggu. Namun, berikutan peningkatan operasi ketenteraan di kawasan berkenaan, Kementerian Kesihatan mengambil keputusan untuk memindahkan klinik itu ke lokasi lain. Sehingga kini, tiada tempat yang sesuai ditemui, menyebabkan penduduk yang masih kekal di Sheikh Radwan kehilangan sepenuhnya akses kepada sebarang perkhidmatan perubatan.
Lori air Doctors Without Borders yang diserang oleh pasukan Israel pada 15 September. Gaza, Palestin 2025 © MSF
Ratusan ribu rakyat Palestin sedang bergerak ke arah selatan, namun bagi kebanyakan penduduk yang terperangkap di Bandar Gaza, perpindahan bukanlah satu pilihan yang nyata. Mereka tidak mempunyai kemampuan untuk bergerak, sedang sakit atau terlalu lemah, atau menyedari bahawa di selatan tiada apa yang menanti mereka. Perkhidmatan yang tersedia di sana tidak sepadan untuk menampung penduduk sedia ada, apatah lagi ketibaan baharu.
Memaksa orang awam meninggalkan tempat tinggal dengan menyasarkan baki pusat perlindungan dan infrastruktur, sambil menyukarkan lagi penyaluran bantuan kemanusiaan, bukan sahaja bersifat zalim, malah jelas menyalahi undang-undang.
Kami menyeru pihak berkuasa Israel agar segera membuka laluan selamat untuk penghantaran bantuan kemanusiaan, termasuk makanan dan air, serta menghentikan serangan terhadap akses kemanusiaan dan orang awam. Akses bantuan kemanusiaan kepada orang awam mesti dibenarkan dan dilindungi.
Sudikah anda menyokong usaha kami?
Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.