Skip to main content

Gempa bumi dahsyat landa Myanmar: Kesan, tindak balas dan usaha bantuan Berterusan

Pada 28 Mac lalu, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter menggegarkan Myanmar. Pusat gempa dikenal pasti di Sagaing pada kedalaman 10 kilometer. Gegaran kuat ini turut dirasai di Thailand, Bangladesh, China dan Laos, mengakibatkan kerosakan besar terhadap infrastruktur serta bangunan.

Sehingga 8 April 2025, angka rasmi mencatatkan lebih 3,600 kematian, lebih 5,000 orang cedera, dan seramai 15 juta penduduk terjejas teruk akibat bencana ini.

myanmar earthquake epicenter

Keperluan segera pasca gempa bumi

  • Air dan sanitasi:Sistem sanitasi domestik yang rosak teruk menimbulkan keperluan mendesak untuk membekalkan air minuman yang selamat bagi mencegah penularan penyakit bawaan air.
  • Kesihatan: Beberapa fasiliti kesihatan telah mengalami kerosakan, manakala gangguan bekalan elektrik yang berterusan menjejaskan operasi hospital. Pasukan kecemasan sedang digerakkan untuk memberi sokongan, namun risiko wabak penyakit bawaan air terus meningkat.
  • Tempat tinggal:Keperluan segera untuk penyediaan tempat tinggal yang selamat dan bersesuaian dengan konteks amat penting, memandangkan populasi yang kehilangan tempat tinggal kini berlindung di kawasan sementara yang daif — lebih-lebih lagi menjelang musim monsun dan taufan.
  • Bekalan perubatan:Myanmar memiliki tenaga kerja kesihatan yang berkemahiran tinggi, namun berdepan kekurangan bekalan dan peralatan perubatan penting yang amat kritikal.
  • Perlindungan dan kesihatan mental:Terdapat kebimbangan mengenai pemisahan kanak-kanak daripada keluarga serta tekanan emosi yang dihadapi. Bantuan sokongan kepada mangsa keganasan berasaskan jantina (GBV) termasuk penyediaan kit kebersihan dan bantuan kecemasan.

Sudikah anda menyokong usaha kami?

Sokong usaha kecemasan kami di Myanmar dan lebih 70 negara lain


Artikle berkaitan

Bersatu dalam krisis: Kisah staf dari misi bantuan gempa bumi di Myanmar
Bersatu dalam krisis: Kisah staf dari misi bantuan gempa bumi di Myanmar
Pada 28 Mac, gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda tengah Myanmar. Gegaran yang berpusat di bandar Sagaing itu turut dirasai di Thailand, Banglade...
Myanmar: Sebulan berlalu – kisah ketabahan mangsa gempa bumi
Myanmar: Sebulan berlalu – kisah ketabahan mangsa gempa bumi
Pada 28 Mac lalu, gempa bumi bermagnitud 7.7 menggegarkan Myanmar, meragut dan mencederakan ribuan nyawa. Sejak itu, pasukan Doctors Without Borders/M...

Bagaimanakah Doctors Without Borders bertindak balas terhadap gempa bumi di Myanmar?

Matlamat semasa kami adalah untuk menyokong komuniti yang terkesan akibat krisis ini dengan menyediakan air minuman selamat, kemudahan tandas dan sanitasi yang bersih, tempat perlindungan sementara, barangan asas isi rumah, sokongan kesihatan mental dan rawatan perubatan.

Penilaian keperluan masih dijalankan di beberapa kawasan. Justeru, pasukan kami mengekalkan pendekatan yang fleksibel—menyesuaikan aktiviti berdasarkan keperluan semasa komuniti terjejas.

BANDAR MANDALAY DAN WILAYAH MANDALAY

Air dan sanitasi
Di Mandalay, pasukan kami telah mencapai kemajuan ketara dalam usaha meningkatkan keadaan air, sanitasi dan kebersihan (WASH) di hospital serta kawasan perlindungan sementara di kampung-kampung sekitar.
Usaha ini merangkumi pemulihan akses kepada air bersih, sanitasi, dan bekalan elektrik di fasiliti kesihatan yang rosak akibat gempa bumi, terutamanya yang berkhidmat untuk komuniti luar bandar dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal. Antara inisiatif utama ialah penggerudian telaga tiub bagi menjamin bekalan air jangka panjang. Di Kampung Ba Le Ba sahaja—yang menempatkan 475 keluarga—sebanyak 140 sumber air telah berjaya dipulihkan.

Pengurusan sisa dan haba
Untuk menyokong pengurusan sisa yang lebih sistematik, puluhan tong sampah telah dipasang, di samping penilaian menyeluruh dilakukan terhadap kawasan kutipan sisa bagi mewujudkan sistem pelupusan sisa pepejal yang lebih tersusun dan berkesan.

Agihan barangan bukan makanan (NFI)
Di bandar Mandalay dan wilayah sekitarnya, lebih 2,000 keluarga yang terkesan akibat gempa telah menerima kit barangan asas bukan makanan, termasuk keperluan harian dan kelengkapan asas isi rumah.

Perkhidmatan kesihatan
Untuk meningkatkan akses kepada rawatan perubatan bagi komuniti terkesan, klinik mudah alih sementara telah dihantar ke lebih lapan lokasi sekitar bandar dan wilayah Mandalay. Doctors Without Borders juga menyokong pemulihan perkhidmatan asas di fasiliti kesihatan yang rosak, termasuk rawatan tuberkulosis (TB).
Selain itu, aktiviti pemantauan penyakit turut dijalankan bagi mencegah dan bertindak awal terhadap potensi penularan penyakit seperti kolera, denggi dan malaria.

Kesihatan mental
Doctors Without Borders memperluas sokongan kesihatan mental di peringkat komuniti dengan melatih lebih 200 sukarelawan—termasuk pensyarah, guru, pelajar perubatan, doktor dan jururawat—dalam kaedah Psychological First Aid (PFA). Sukarelawan terlatih kini menjalankan sesi PFA, kaunseling individu dan terapi berkumpulan, terutamanya untuk kanak-kanak di kawasan terjejas.

Pemulihan fasiliti kesihatan
Pasukan kami turut membantu hospital yang rosak dengan sokongan logistik penting. Di Hospital Tada-U, sebuah khemah perubatan bersaiz besar telah disediakan bagi menempatkan pesakit, dan sebanyak 10 katil hospital turut disumbangkan.

Sebagai langkah tambahan untuk mengurangkan tekanan haba yang boleh mencecah hingga 40°C, kipas telah dipasang di kawasan utama tempat perlindungan sementara bagi memperbaiki pengaliran udara dan meningkatkan keselesaan pesakit.

MSB229560

Seorang pesakit hadir ke klinik mudah alih kami untuk pemeriksaan tekanan darah dan tahap insulin. Beliau berada di dalam sebuah masjid ketika gempa bumi melanda dan berjaya menyelamatkan diri selepas terkena serpihan runtuhan.
Myanmar, April 2025. © MSF

mym

Semasa klinik mudah alih kami di biara Tada-U, seorang bidan memeriksa keadaan seorang mangsa gempa bumi yang kehilangan suami dan hampir kehilangan anak lelakinya. Masih bergelut dengan trauma, beliau kini menghadapi keresahan dan ketakutan terhadap kegelapan.
Myanmar, April 2025. © MSF

Malay

Pesakit menunggu giliran di klinik mudah alih di kem Bhone Oh, Mandalay. Pasukan kami menawarkan konsultasi perubatan untuk penyakit tidak berjangkit dan sokongan kesihatan mental.
Myanmar, April 2025. © MSF

n s

Sesi kesihatan mental untuk kanak-kanak: melukis bersama dan saling menghargai kreativiti serta usaha masing-masing semasa klinik mudah alih kami di kem Bhone Oh, Mandalay.
Myanmar, April 2025. © MSF

hi

Dua buah lori sedang dimuatkan dengan kit barangan bukan makanan di gudang kami di Mandalay. Setiap kit mengandungi keperluan asas seperti selimut, kanvas, kelambu, barangan kebersihan dan kelengkapan isi rumah.
Myanmar, April 2025. © MSF

WILAYAH SHAN SELATAN, TASIK INLE

Rawatan Perubatan dan Promosi Kesihatan
Klinik mudah alih Doctors Without Borders kini beroperasi di empat buah kampung, menyediakan perkhidmatan kesihatan asas dan merujuk pesakit kepada fasiliti rawatan lanjutan apabila perlu.
Pasukan kami turut menjalankan kempen pendidikan kesihatan yang memberi tumpuan kepada amalan kebersihan dan pencegahan penyakit di peringkat komuniti.

Latihan Infection Prevention and Control (IPC) juga telah diberikan kepada kakitangan di tiga hospital rujukan untuk memperkukuh keselamatan dan kesiapsiagaan sistem kesihatan.

Kesihatan Mental
Pasukan kami menyediakan sokongan kesihatan mental berasaskan komuniti melalui kaedah Psychological First Aid (PFA) kepada individu yang terjejas akibat gempa bumi.

Air dan Sanitasi
Doctors Without Borders telah membaik pulih sistem rawatan air, termasuk unit reverse osmosis dan sistem air permukaan, serta memulihkan bekalan elektrik di kawasan terjejas.

Selain itu, pasukan turut membaiki tandas komuniti dan telaga tiub bagi meningkatkan akses kepada air bersih dan sanitasi yang selamat.

Tempat Tinggal dan Agihan Barangan Bukan Makanan (NFI)
Doctors Without Borders telah mengagihkan bahan binaan asas—seperti buluh, kayu, paku dan tukul—untuk membantu keluarga membina semula kediaman mereka. Kit kebersihan turut diedarkan bagi memperbaiki tahap sanitasi dan mencegah penyakit.

BANDAR SAGAING

Rawatan Perubatan
Klinik mudah alih di bandar Sagaing menyediakan perkhidmatan kesihatan asas di dua lokasi, termasuk rawatan dan susulan untuk penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

Kesihatan Mental
Pasukan Doctors Without Borders turut memberi sokongan kesihatan mental melalui kaedah Psychological First Aid (PFA), sesi terapi berkumpulan untuk kanak-kanak, serta sesi kaunseling individu untuk orang dewasa yang terjejas akibat krisis.

Cabaran dalam tindak balas yang sedang berjalan

Akses segera ke kawasan terjejas amat diperlukan

Kenyataan daripada Paul Brockmann, Pengurus Operasi untuk Myanmar, Bangladesh dan Malaysia, Doctors Without Borders:

“Kakitangan kemanusiaan perubatan kami di Myanmar dan negara-negara jiran mempunyai keupayaan untuk bertindak balas secara menyeluruh terhadap keperluan komuniti yang terjejas—sebaik sahaja pihak berkuasa membenarkan akses segera dan tanpa halangan untuk pasukan menjalankan penilaian dan menyediakan rawatan perubatan.

Memandangkan skala dan intensiti gempa bumi ini, kesannya ke atas penduduk boleh menjadi sangat dahsyat, terutamanya bagi mereka yang memerlukan bantuan kecemasan yang menyelamatkan nyawa akibat kecederaan trauma. Kami juga bimbang terhadap individu yang menjadi lebih rentan selepas kehilangan tempat tinggal, akses kepada penjagaan kesihatan asas dan bekalan air minuman selamat—yang penting untuk mencegah penularan penyakit bawaan air.

Keupayaan untuk menghantar pasukan penilaian dan, sebaiknya, pasukan bedah dalam jam dan hari terawal selepas gempa amat penting jika kita ingin menyediakan rawatan pembedahan yang boleh menyelamatkan nyawa dan anggota badan mangsa yang cedera.

Bagi memastikan tindak balas yang berkesan, akses segera ke kawasan terjejas serta kelulusan pantas bagi bekalan penting dan kemasukan petugas adalah sangat kritikal.”

Situasi bertambah rumit akibat konflik yang berterusan

Kenyataan daripada Federica Franco, Ketua Misi Doctors Without Borders di Myanmar:

“Walaupun kami tidak berada di kawasan yang paling teruk terjejas akibat gempa bumi, semua pasukan kami di negara ini turut merasai gegaran tersebut, dan semua pejabat kami telah dipindahkan. Sejujurnya, ia adalah gempa bumi yang agak lama, dan itulah sebabnya ia menimbulkan ketakutan kepada ramai antara kami.

Syukur, semua kakitangan kami berada dalam keadaan selamat, namun kami amat bimbang terhadap penduduk di kawasan yang terjejas. Buat masa ini, sukar untuk memahami sepenuhnya tahap kerosakan yang berlaku.

Situasi menjadi sangat rumit kerana terdapat gangguan komunikasi yang serius di beberapa kawasan yang paling teruk dilanda, dan ini berpunca daripada konflik yang masih berterusan.”

Kesan alam sekitar akibat musim hujan yang bakal tiba

Apabila Myanmar memasuki musim hujan, cabaran logistik bagi usaha tindak balas gempa bumi dijangka bertambah rumit—terutamanya di kawasan yang telah sedia teruk terjejas. Hujan lebat berpotensi mencetuskan banjir, tanah runtuh dan kerosakan infrastruktur tambahan, sekali gus menyukarkan lagi akses ke komuniti terpencil atau rentan.

Dalam masa yang sama, cuaca panas melampau dengan suhu melebihi 40°C terus mengancam kesihatan awam dan memburukkan lagi keadaan.

Memandangkan skala dan intensiti gempa bumi yang berlaku, kesannya terhadap individu yang memerlukan rawatan trauma kecemasan—khususnya bagi kecederaan akibat rempuhan—amat membimbangkan dan boleh membawa akibat yang serius.

Kami juga prihatin terhadap golongan yang semakin rentan akibat kehilangan akses kepada tempat perlindungan, perkhidmatan kesihatan dan bekalan air minuman yang selamat.
Usaha bantuan perubatan yang segera amat penting bagi membendung penularan penyakit berjangkit, termasuk penyakit bawaan air, vektor dan penyakit endemik.


Sudikah anda menyokong usaha kami?

Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.