Gaza: Ketenteraan bantuan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak berkesan di Gaza
Deretan tong air menjadi lambang penantian untuk mendapatkan bekalan air, ketika penduduk Palestin di Jabalya, utara Semenanjung Gaza, menunggu ketibaan lori air. Wilayah Palestin, Februari 2025. © Nour Alsaqqa/MSF
Kenyataan berikut daripada Setiausaha Agung Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF), Christopher Lockyear, menghuraikan mengapa pendekatan Yayasan Kemanusiaan Gaza dalam pengagihan bantuan di Gaza, Palestin, adalah merbahaya dan cuai.
Permulaan yang amat mengecewakan bagi pengagihan bantuan makanan yang diselaraskan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza — sebuah badan yang baru ditubuhkan — mengesahkan bahawa rancangan AS-Israel untuk memperalatkan bantuan adalah tidak berkesan. Pada 27 Mei, petang pertama pengagihan di Rafah, selatan Gaza, puluhan orang telah ditembak dan cedera ketika bekalan asas yang sangat terhad diagihkan dalam suasana kelam-kabut.
Penduduk Palestin — yang telah dinafikan akses kepada makanan, air dan bantuan perubatan selama hampir tiga bulan — dikerumuni pagar ketika menunggu untuk menerima keperluan asas demi kelangsungan hidup. Insiden ini adalah peringatan jelas tentang layanan tidak berperikemanusiaan yang telah dikenakan oleh pihak berkuasa Israel selama lebih 19 bulan.
Melalui pendekatan yang berbahaya dan cuai ini, bantuan makanan tidak disalurkan ke kawasan yang paling diperlukan, sebaliknya hanya dihantar ke lokasi yang ditentukan oleh tentera Israel — tempat di mana orang awam dipaksa berkumpul. Ini menyebabkan golongan paling rentan — khususnya warga emas dan individu berkeperluan khas — hampir mustahil untuk mendapatkan makanan yang amat mereka perlukan.
Inisiatif ini tampak sebagai satu muslihat sinis untuk berpura-pura mematuhi Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa. Namun pada hakikatnya, bantuan digunakan sebagai alat untuk memaksa pemindahan penduduk, sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas yang dilihat bertujuan membersihkan Semenanjung Gaza secara etnik — dan untuk menghalalkan kesinambungan perang yang dilancarkan tanpa sebarang batasan.Christopher Lockyear, setiausaha agung
Dakwaan bahawa mekanisme yang gagal dan tidak berprinsip ini kononnya diperlukan untuk mengelakkan penyalahgunaan bantuan adalah tidak benar. Sejak permulaan perang, Doctors Without Borders telah merawat pesakit secara langsung apabila kami berjaya membawa masuk bekalan ke Gaza. Inisiatif ini jelas merupakan satu helah sinis untuk berpura-pura mematuhi Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa. Pada hakikatnya, bantuan digunakan sebagai alat untuk mengusir penduduk secara paksa — sebahagian daripada strategi lebih luas yang menyerupai usaha pembersihan etnik di Semenanjung Gaza — dan untuk mengabsahkan perang yang berterusan tanpa sebarang batas.
Pada masa yang sama, sistem kemanusiaan sedang dicekik oleh pelbagai sekatan yang dikenakan ke atasnya. Pihak berkuasa Israel membenarkan hanya beberapa buah trak bantuan memasuki Gaza, tetapi kemudiannya menghalangnya sebaik sahaja ia melintasi sempadan — menjadikan bantuan yang menyelamatkan nyawa gagal sampai kepada mereka yang paling memerlukanbya, termasuk kanak-kanak serta wanita hamil dan yang menyusukan anak.
Memaksa organisasi kemanusiaan untuk mengangkut jumlah bantuan yang begitu sedikit, dalam keadaan kepungan yang menyebabkan penderitaan dan keperluan melampau, telah membawa kepada kejadian rampasan bantuan. Inilah akibat apabila sesebuah masyarakat didorong ke ambang kehancuran, apabila struktur sosialnya dirobek oleh keganasan berterusan dan penafian hak asasi. Natijahnya ialah lebih banyak kematian dan kecederaan yang boleh dielakkan, serta mustahilnya untuk menyampaikan bantuan dengan cara yang menghormati maruah manusia. Ini sebahagian daripada taktik lebih besar untuk mengukuhkan naratif sepihak — bahawa satu-satunya cara untuk menyampaikan bantuan ialah dengan mengetentera-kannya.
Bersama arahan pengusiran dan kempen pengeboman yang meragut nyawa orang awam, penggunaan bantuan sebagai senjata dengan cara sebegini mungkin boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan. Hanya gencatan senjata yang berkekalan serta pembukaan segera sempadan Gaza untuk bantuan kemanusiaan — termasuk makanan, bekalan perubatan, bahan api dan kelengkapan — mampu meredakan bencana buatan manusia ini.
Sudikah anda menyokong usaha kami?
Bantulah kami menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan dengan menyumbang hari ini.