Dr Javid Abdelmoneim dilantik sebagai Presiden Antarabangsa baharu Doctors Without Borders (MSF)
Dr Javid Abdelmoneim di atas kapal penyelamat Aquarius pada tahun 2016. Laut Mediterranean Tengah, Julai 2016 © Alva Simpson White/MSF
3 September 2025, Geneva – Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) telah memilih Dr Mohamed Javid Abdelmoneim sebagai Presiden Antarabangsa baharu. Beliau memulakan mandat tiga tahunnya selepas pemilihannya oleh para wakil dalam badan tadbir urus tertinggi Doctors Without Borders, iaitu Perhimpunan Agung Antarabangsa, yang berlangsung pada 27 Jun di Colombo, Sri Lanka.
Dr Javid ialah seorang doktor perubatan kecemasan berketurunan Sudan–Iran yang memiliki pengalaman luas dalam Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (NHS) serta bersama Doctors Without Borders. Dilahirkan di Cambridge, United Kingdom, beliau menamatkan pengajian perubatan di University College London, memperoleh diploma daripada London School of Hygiene and Tropical Medicine, dan merupakan Fellow kepada Royal College of Physicians.
Sejak menyertai Doctors Without Borders pada September 2009 sebagai doktor kecemasan di Basra, Iraq, Dr Javid telah berkhidmat dalam pelbagai peranan perubatan dan penyelarasan program di Haiti, Ethiopia, Sudan Selatan, Syria, Chad, Ukraine, United Kingdom, misi penyelamatan di Laut Mediterranean, serta di Sierra Leone ketika wabak Ebola di Afrika Barat. Tugas terbaharunya bersama Doctors Without Borders adalah sebagai ketua pasukan perubatan di Gaza, Palestin, dan di Omdurman, Sudan, sehingga Februari tahun ini.
Dr Javid juga pernah berkhidmat dalam lembaga MSF United Kingdom sejak Mei 2015 dan kemudiannya dilantik sebagai presidennya pada 2017, satu jawatan yang dipegang sehingga 2021.
Dr Javid Abdelmoneim, Presiden Antarabangsa MSF. Geneva, Switzerland, September 2025 © Pierre-Yves Bernard/MSF
Selain daripada kerja kemanusiaan dan klinikalnya, Dr Javid juga merupakan seorang pengacara televisyen berpengalaman. Beliau pernah dicalonkan untuk anugerah berprestij Emmy dan BAFTA hasil keterlibatannya dalam siri dokumentari sains serta program hiburan kesihatan yang ditayangkan di Netflix, BBC, HBO, Channel 4 dan Al Jazeera English.
“Kami mengucapkan tahniah kepada Javid atas pemilihannya dan mengalu-alukan beliau dengan penuh mesra ketika beliau memulakan mandat sebagai Presiden Antarabangsa,” kata Christopher Lockyear, Setiausaha Agung Doctors Without Borders International. “Pengalaman luas beliau dalam bidang perubatan dan kemanusiaan, ditambah pula dengan kebolehan sebagai seorang pemidato yang berwibawa, akan menjadi kekuatan besar untuk mewakili Doctors Without Borders dan memimpin gerakan kita sepanjang tiga tahun akan datang.”
Dr Javid menggantikan Dr Christos Christou, yang telah menamatkan dua penggal mandatnya sebagai Presiden Antarabangsa Doctors Without Borders, jawatan yang disandang sejak September 2019.
“Christos telah menabur bakti kepada Doctors Without Borders dengan penuh dedikasi sepanjang enam tahun yang penuh cabaran ini,” ujar Lockyear. “Beliau telah menjalankan peranan itu dengan ketabahan dan iltizam yang tinggi, sambil menyoroti beberapa krisis dunia yang sering terabai.”