Kehidupan saya sebagai koordinator penerbangan wanita
Timbalan Koordinator Penerbangan, Stella Mwikali di lapangan terbang di Juba ketika taklimat pra-penerbangan. Sudan Selatan, 2022. © Verity Kowal/MSF
Banyak kawasan di mana Doctors Without Borders / Médecins Sans Frontières (MSF) bekerja hampir tidak boleh diakses melalui jalan raya. Musim hujan boleh membawa lumpur berbahaya yang boleh menyebabkan kereta terbenam didalamnya, rasa tidak selamat boleh mengundang risiko bahaya ketika memandu. Namun bekalan yang menyelamatkan nyawa masih perlu sampai ke hospital dan klinik kami, dan pesakit kritikal perlu dipindahkan ke penjagaan pakar. Di sinilah individu seperti Stella memainkan peranan…
Beberapa ketika bersama pesakit akan kekal dalam fikiran saya.
Tahun lalu kami menerima panggilan daripadan pasukan di Malakal, pekan terpencil di Sudan Selatan. Seorang wanita hamil mengalami masalah untuk bersalin – ia kecemasan perubatan.
Dia memerlukan pembedahan caesarean untuk menyelamatkan nyawanya dan juga bayinya. Ini bermakna pemindahan segera ke hospital Doctors Without Borders di Agok, di Kawasan Pentadbiran Khas Abyei– lebih 300 km jauhnya.
Kami mengatur penerbangan.
Kemudian, kami menyelaraskan penerbangan lain, untuk membawa wanita itu dan bayi barunya supaya selamat pulang.
Melakar laluan saya sendiri
Saya seorang timbalan penyelaras penerbangan untuk Doctors Without Borders. Penyelarasan penerbangan melibatkan tugas mewujudkan jadual perjalanan penerbangan, berfungsi sebagai penghantar, dan pelbagai aspek logistik penerbangan yang berbeza.
Saya sentiasa meminati kapal terbang. Semasa kecil saya akan mendongak ke langit dengan perasaan kagum. Namun ibu bapa saya mempunyai idea yang berbeza. Saya dari Kenya, dan bapa saya mahukan saya menyertai bidang pemuliharaan hidupan liar, manakala ibu saya mahukan saya menjadi seorang jurubank. Tetapi akhirnya mereka berubah fikiran. Ayah memberitahu saya bahawa dia akan menyokong kerjaya pilihan saya jika itu bermakna untuk kebahagiaan saya.
Jadi saya menyertai latihan dalam bidang penerbangan, pengkhususan dalam operasi dan penghantaran, selain keselamatan dan kualiti penerbangan.
Sudan Selatan, 2022. © Verity Kowal/MSF
Perjalanan saya menyertai Doctors Without Borders
Saya bekerja dengan syarikat penerbangan tempatan di Nairobi apabila pertama kali menerima permintaan daripada Doctors Without Borders. Mereka memerlukan kapal terbang untuk membawa bekalan perubatan. Saya mula menerima lebih banyak permintaan Doctors Without Borders. Kemudian saya mendapat tahu bahawa Doctors Without Borders juga mempunyai pesawatnya sendiri. Ia membuatkan saya berfikir…
Saya mahu bekerja untuk organisasi yang cuba menjadikan kehidupan orang ramai lebih baik. Saya melihat orang yang bekerja di organisasi berbeza yang akan memberikan senyuman kepada orang ramai - seperti kakak saya, yang menawarkan diri untuk kumpulan tempatan yang mengumpul dana untuk membantu membayar yuran sekolah kanak-kanak.
Pada 2019, Saya memohon untuk bekerja dengan Doctors Without Borders, dan pada Jun tahun sama saya menyertai pasukan terbabit! Setakat ini, saya sudah melakukan empat tugasan sebagai penyelaras penerbangan di Sudan Selatan serta Goma di Republik Demokratik Congo.
Penting
Di Sudan Selatan, pasukan kami menyediakan rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa. Ini bermakna bertindak balas terhadap wabak penyakit; melakukan kempen vaksinasi; menjalankan perkhidmatan pakar untuk ibu dan anak; serta membawa penjagaan kesihatan kepada masyarakat.
Pesawat penting untuk semua aktiviti ini. Pengangkutan jalan raya terhad di sini kerana infrastruktur yang lemah, tidak selamat dan banjir bermusim. Sekarang saya bekerja di Old Fangak, sebuah bandar berhampiran sungai yang tiada jalan raya atau kereta, hanya bot dan landasan terbang.
Selain memindahkan pesakit, pesawat kami memastikan bahawa doktor dan bekalan perubatan serta bantuan penting boleh sampai kepada mereka yang memerlukan.
Sudan Selatan, 2022. © Verity Kowal/MSF
Tindak balas kecemasan
Satu contoh yang saya tidak akan lupa ialah pada Februari 2021, apabila banjir di Jonglei dan Unity States memaksa orang ramai keluar dari rumah mereka. Ramai tidak mempunyai apa-apa: walaupun barangan asas yang penting untuk hidup, jadi Doctors Without Borders mengatur penerbangan dengan barangan bantuan, termasuk khemah dan selimut, serta rawatan perubatan.
Pertempuran ganas adalah isu berterusan di beberapa kawasan di negara ini, dan boleh menyebabkan ramai tercedera serta memerlukan rawatan perubatan segera. Saya memainkan peranan penting dalam keadaan ini. Semasa pertempuran awal tahun ini di Agok, saya ditugaskan untuk memindahkan pesakit ke hospital Doctors Without Borders yang lain serta memudahkan pemindahan kakitangan Doctors Without Borders
Cabaran
Walaupun peranan penyelaras penerbangan memberikan saya kepuasan, Sudan Selatan adalah konteks yang mencabar dan standard penerbangannya rendah. Lapangan terbang di rantau ini dikelilingi semak dan kawalan trafik udara tidak berada pada tahap terbaik.
Detik istimewa
Di sebalik cabaran, pekerjaan ini memberikan saya banyak detik yang tidak akan dilupakan. Suatu ketika saya terpaksa menghantar pulang seorang kanak-kanak kecil kepada keluarganya selepas sepanjang bulan berada di hospital. Saya masih ingat betapa gembiranya mereka. Melihat kegembiraan pada wajah keluarganya dan mereka yang menerima khidmat kami, itulah yang membuatkan saya terus bersemangat.
Stella menyertai Doctors Without Borders sebagai Timbalan Koordinator Penerbangan di Sudan Selatan.